Skip to main
Logo Malaysiakini

Kisah hidup profesor pekak, bisu kini sedia ditonton

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Sebuah filem Jepun berdasarkan kisah hidup seorang profesor pekak dan buta Satoshi Fukushima bersama ibunya mula ditayangkan di Negara Matahari Terbit itu pada 2022.

Sekalipun tidak meraih keuntungan komersial, A Mother’s Touch itu berjaya menyentuh perasaan penonton, membuatkan mereka ingin tahu lebih mendalam tentang lelaki yang berjaya “menguasai” dunianya yang gelap dan terasing dengan membina laluan baru untuk diri sendiri.

Filem arahan Jumpei Matsumoto itu dibawa ke Malaysia untuk tayangan khas pada 11 Mei lalu sempena sambutan Hari Ibu.

Ia dijayakan menerusi kerjasama Japan Foundation Kuala Lumpur, Golden Screen Cinemas serta Media Prima Bhd. Tayangannya turut dihadiri penerbit Tafakumi Yuki serta penulis skrip lakon layar Tomohiro Yokomaku.

Kini, filem berdurasi 120 minit itu boleh ditonton di platform penstriman video Malaysia, Tonton.

A Mother’s Touch berkisar tentang perjalanan hidup Fukushima dalam mencari erti sebenar kehidupannya di sebalik kekurangan diri serta ketabahan si ibu membantu meruntuhkan halangan demi halangan demi mencapai matlamat yang diidamkan.

Watak Fukushima dilakonkan oleh Taketo Tanaka sementara Koyuki Kato - yang dikenali menerusi lakonannya dalam filem Hollywood, The Last Samurai - membawakan watak ibu, Reiko.

Fukushima hilang penglihatan semasa masih kanak-kanak disebabkan oleh jangkitan mata, sebelum diikuti dengan hilang pendengaran ketika berusia 18 tahun.

“Filem ini berdasarkan kejadian dan individu sebenar walaupun memang ada sesetengah babak merupakan fiksyen yang digemblengkan dalam pengkisahan,” kata kepada Bernama.

Dia juga menambah Matsumoto yang mengarahkan filem itu merupakan kenalan Fukushima.

“Kami menghadiri satu ceramah Fukushima dan berpeluang bertemu dengan dia serta ibunya.

"Dari situlah bercambahnya idea untuk menghasilkan filem ini,” katanya lagi.

Antara momen yang menyerlah dalam filem itu ialah babak Fukushima dan Reiko membangunkan Yubitenji (Braille jari) yang menjadi pencapaian besar dalam komunikasi bagi golongan pekak buta.

Menggunakan jari-jemari bagi meniru papan kekunci Braille, Fukushima dan ibunya menjadi perintis dalam pewujudan komunikasi sentuhan.

Dalam kehidupan sebenar, misi Fukushima ialah menambah baik kesejahteraan dan kehidupan golongan kurang upaya.

Dia merupakan individu pekak buta pertama di dunia yang menjadi pensyarah universiti sepenuh masa serta terlibat dalam kajian pekak buta dan kurang upaya di Pusat Penyelidikan Sains dan Teknologi Lanjutan, University of Tokyo.

Fukushima juga merupakan pelajar pekak buta pertama yang diterima masuk ke Tokyo Metropolitan University yang dikenali sebagai pusat pengajian berprestij di Jepun.

Selain itu dia juga merupakan wakil rantau Asia di World Federation of the Deafblind selama lima penggal hingga Oktober 2022. Pada 2003, namanya tercatat dalam senarai Asian Heroes untuk Time Magazine.

Sementara itu, Yuki berkata dia kini terlibat dalam pembikinan sebuah filem animasi menerusi kerjasama dengan sebuah syarikat Malaysia, Inspedia, dan beberapa pihak lain dari Singapura serta Sepanyol.

Menurutnya, filem bertajuk The Violinist itu menampilkan suasana di Singapura dan Malaya ketika Perang Dunia Kedua, dan dijangka ditayangkan di Singapura tahun depan.

- Bernama