Skip to main
Logo Malaysiakini

Bujang terlajak lebih tenteram, Kenji Sawahi sedia habis sisa hidup...

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Menjadi bujang terlajak tidak membuat pelakon senior, Kenji Sawahi, sedikit pun runsing mendepani hari tua kelak kerana dia terbuka kepada kemungkinan menghabiskan sisa hidup di pusat jagaan orang tua-tua.

Kenji berkongsi perancangan masa depannya itu sekiranya dia masih tidak berkahwin dan tidak mempunyai cahaya mata seiring dengan pertambahan usianya.

Menurut Kenji, 61, dia memilih untuk tinggal di rumah warga emas jika ditakdirkan berusia panjang kerana enggan menyusahkan adik-beradik yang lain.

“Saya bersedia untuk jual harta-benda dan kemudian daftarkan diri masuk ke pusat jagaan orang tua.

“Saya tidak mahu berharap pada orang lain, adik-beradik saya semuanya sudah berkeluarga, mereka pun ada masalah sendiri. Lagipun, ibu saya juga sudah tua,” katanya.

Dia yang tertarik mendalami Islam sejak lima tahun lalu mengakui lebih selesa menjalani kehidupan solo kerana tiada komitmen berkeluarga.

Terfikir orang masakkan bubur

Atas faktor usia, pelakon filem Motif itu juga berkata, dia lebih “tenteram” duduk di rumah berbanding mencari pasangan hidup di majlis sosial.

“Katakan umur saya 61, berkahwin dan kemudian dapat anak. Apabila usia anak 20, mungkin ketika itu usia saya sudah 80 tahun.

“Umur macam saya ini lebih sesuai duduk di rumah layan televisyen saja. Kalau nak cari jodoh kena selalu bersosial dan bergaul tapi bagi saya, kehidupan begini lebih tenteram.

“Soal mendapatkan zuriat sendiri pula, saya bersyukur dikurniakan anak saudara yang saya anggap macam anak sendiri.

"Jika saya meninggal dunia, harta saya semua akan diserahkan kepada mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan drama terbaru lakonannya, Ternyata Sebuah Bahagia, di sebuah kompleks beli-belah di ibu negara semalam.

Drama terbitan Suhan Movies dan diarahkan Nur Ain Sharif itu sedang mengisi slot Tiara di Astro Ria. Runut bunyi drama berkenaan, Perisai Cinta, dipersembahkan Liza Hanim.

Selain Kenji, turut menjayakan drama itu ialah Sarimah Ibrahim, Elvina Mohamad dan Zamarul Hisham.

Drama tersebut berkisahkan konflik rumah tangga Datin Janice (lakonan Sarimah) yang selama ini setia kepada suaminya (Zamarul). Kebahagiaa mereka kemudian goyah selepas kebenaran terbongkar.

Kenji berkata, walaupun bersedia hidup sendirian, dia juga mengakui realiti yang ada seperti harus sentiasa memastikan dirinya tidak jatuh sakit.

“Saya pernah sakit sampai nak turun katil sendiri pun tidak boleh.

“Pada masa itulah baru terfikir, alangkah bagusnya kalau saya ada isteri. Dia boleh masakkan kita bubur dan tolong suapkan ubat," katanya.

Pada masa sama dia tidak menolak jodoh sekiranya ditakdirkan bertemu seorang wanita yang tepat termasuk kemungkinan ia merupakan seorang janda.

“Jika jodoh yang datang itu janda, terpulanglah, kerana kita tidak tahu takdir kita macam mana,” katanya.