Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan Pandang Belakang 2 bakal ditayang di 14 negara

Artikel ini sudah sebulan diterbitkan

Metrowealth International Group (MIG) mengumumkan filem Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu (JPB2) terbitan syarikat itu mencatat rekod tersendiri apabila ia bakal ditayangkan di 14 negara.

Menurut Pengasas dan CEO MIG David Teo, dia sendiri tidak menjangka sekuel kepada filem yang mencetus fenomena 17 tahun lalu itu, iaitu Jangan Pandang Belakang (JPB) mendapat sambutan di luar jangkaan daripada pengedar antarabangsa.

“Ini satu kejutan luar biasa yang ingin saya umumkan dalam industri hari ini. 

“Pengedar antarabangsa berminat nak edar filem kita. Ini bermaksud filem tempatan mula jelajah dunia luar, inilah realiti dan bukan cakap-cakap saja.

“Ada negara yang tidak pernah tayangkan filem Melayu dan mereka lihat terdapat keunikan pada kisah seram yang kita hasilkan,” katanya ketika ditemui di majlis pengumuman tayangan global JPB2 di ibu pejabat MIG di Petaling Jaya hari ini.

Menurut David, 60, selain Malaysia, negara lain yang berada dalam senarai tayangan adalah Singapura, Indonesia, Brunei, Australia, Vietnam, Laos, Filipina, Thailand, Kemboja, Turkiye, New Zealand, Rusia dan Myanmar. 

Dia berkata JPB sebelum ini hanya ditayangkan di enam buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Malaysia.

“Dulu JPB tidak berjaya dengan kutipan di luar negara. Mungkin ketika itu saya tersalah cari pengedar.

“Jadi, kali ini diharap kutipan JPB2 lebih memberangsangkan,” katanya lagi.

Selepas lama hilang dari radar industri, Pierre Andre kembali muncul dengan JPB2 yang asalnya diarahkan Ahmad Idham.

Filem JPB2 ditulis dan diarahkan oleh Pierre dan dibintangi barisan pelakon antaranya Emma Maembong, Khatijah Tan, Mawar Rashid dan Iedil Dzuhrie Alaudin.

Pierre Andre

JPB2 bakal menemui penonton di pawagam tempatan pada 21 November ini manakala tayangan di negara luar rantau Asia dijadual seminggu atau sebulan kemudian.

Sementara itu, ditanya mengenai sasaran kutipan untuk filem tersebut, David menjawab dia yakin karya itu tidak mempunyai halangan untuk mencapai sasaran.

Katanya, dia menyasarkan angka sebanyak RM30 juta untuk keseluruhan negara.

“Filem pertama (2007) mencecah kutipan RM7.4 juta. Waktu itu harga tiket hanya sekitar RM6 hingga RM8. 

“Sekarang harga tiket kira-kira RM20. Jadi saya yakin JPB2 mampu sampai kutipan yang disasarkan,”  katanya lagi.