Rakyat Kelantan sabar tunggu royalti
Tahniah kepada YAB Perdana Menteri (PM) dan barisan kabinet sempena sambutan setahun Malaysia Baru.
Kami dari Pertubuhan R Kelantan (NGO Royalti) bersama rakyat Kelantan ingin mengucapkan terima kasih di atas kesediaan pihak kerajaan persekutuan yang secara konsisten menyatakan hasrat untuk menjelaskan bayaran royalti kepada Kelantan.
Pihak kami yakin banyak usaha telah diambil oleh kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri untuk merealisasikan hasrat rakyat Kelantan semenjak 44 tahun lalu setelah perjanjian royalti ditandatangani (9 Mei 1975). Lebih-lebih lagi tarikh tersebut bertepatan dengan setahun kerajaan Malaysia Baru.
Asas keyakinan kami:
1. Kesemua peruntukan undang-undang berpihak kepada Kelantan. Akta Kemajuan Petroleum 1974 dan perjanjian royalti di antara Petronas dan kerajaan negeri Kelantan. Kedua-dua dokumen perundangan tersebut jelas menyatakan apabila Kelantan menyerahkan hak untuk membangunkan petroleum kepada Petronas, maka Petronas bertanggungjawab menyerahkan bayaran sebanyak 5 peratus dari jumlah pengeluaran yang perlu dibayar sebanyak 2 kali setahun kepada akaun kerajaan negeri Kelantan.
2. Negeri Terengganu telah mendapat bayaran royalti sebagaimana sebelum pilihan raya umum ke-14. Begitu juga Sabah dan Sarawak. Kelantan juga menandatangani perjanjian dan tertakluk kepada akta yang sama. Kami yakin akan dibayar sebagaimana negeri-negeri pengeluar minyak yang lain. Di sini jelas menunjukkan kepimpinan kerajaan Malaysia Baru menghormati perjanjian dan akur dengan kehendak perundangan negara tanpa membezakan negeri mengikut perbezaan politik.
3. Setelah negara ini merdeka hampir 62 tahun, sepatutnya diskriminasi politik dihapuskan 100 peratus di negara ini supaya segala hak rakyak diberikan secara adil kepada setiap negeri kerana seluruh rakyat membayar cukai yang sama kepada kerajaan. Perkara ini merupakan perubahan besar yang kami kira sebagai kejayaan besar yang berjaya dicapai oleh kerajaan Persekutuan dalam tempoh setahun pemerintahan.
4. Kelantan terus menerima Wang Ehsan. Sebelum ini (Kerajaan di bawah penguasaan Barisan Nastional) telah membayar Wang Ehsan berjumlah anggaran RM50 juta setahun kepada Kelantan yang dibayar melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan (JPP) dan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dengan pembahagian 50 peratus untuk kedua-dua JPP dan MAIK. Kini pihak kerajaan Persekutuan membuat perubahan dengan membayar sebahagiannya (Baki Wang Royalti 2018) kepada kerajaan negeri. Walaupun bayaran tersebut bukannya royalti, namun sekurang-kurangnya ucapan terima kasih patut diberikan kepada kepimpinan baru kerajaan persekutuan dengan bayaran dibuat terus ke akaun kerajaan negeri.
Pembayaran Wang Ehsan ini jelas membuktikan bahawa Kelantan sememangnya merupakan negeri pengeluar minyak. Wang Ehsan tidak dibayar kepada bukan negeri pengeluar minyak.
5. Asas keyakinan ini ditambah pula dengan pelbagai kenyataan dari beberapa pimpinan negara dan Kelantan (sebahagiannya sahaja) sebagai kronologi untuk penilaian bersama. Antaranya :-
i. Menteri Hal Ehwal Ekonomi, YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 15 September 2018 berkata:
"Jawatankuasa kabinet yang ditubuhkan untuk memperhalusi kaedah pembayaran tuntutan royalti minyak kepada negeri pengeluar minyak diberi masa 6 bulan untuk berbincang dan membuat keputusan. Tempoh itu diberikan untuk menyediakan cadangan sebelum keputusan muktamad bagaimana peningkatan royalti minyak daripada lima peratus ke 20 peratus itu, akan dijalankan"
Kami yakin tempoh tersebut (sehingga Mac 2019) telah digunakan sebaik mungkin oleh Jawatankuasa Kabinet. Pastinya kajian tersebut telah selesai.
Rakyat Kelantan sabar untuk mengetahui hasil kajian tersebut.
ii. Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Yb Senator Dr Radzi Jidin pada 29 September 2018, berkata berikutan itu (Bayaran Royalti kepada Kelantan), pihaknya tidak dapat mempercepatkan pembayaran berkenaan sehingga selesai perbicaraan. "Perbicaraan berhubung saman kerajaan negeri terhadap Petronas dan kerajaan persekutuan belum selesai menyebabkan isu tuntutan royalti minyak berkenaan tidak boleh dibincangkan secara terbuka. Jadi, kita tidak boleh berbincang menyentuh hal itu secara terbuka. Soal royalti ini ada kes mahkamah dan ia sangkut di situ".
iii. Pada 24 Oktober 2018, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob telah membuat pengumuman penarikan saman terhadap Petronas yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Kelantan (Exco) selepas mengambil kira kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Negara sebelum ini yang berjanji untuk menyerahkan bayaran tunai petroleum kepada negeri terlibat. "Kerajaan Kelantan amat yakin dengan janji yang dibuat oleh perdana menteri dalam mesyuarat itu, dan kita secara rasminya menarik balik (saman tersebut serta-merta),”
iv. Perdana Menteri, Tun Dr Mahadir pada 10 November 2018 menyatakan "Kerajaan akan meneliti kaedah terbaik supaya Kelantan dapat menikmati hasil tuntutan (Royalti) yang dikemukakan"
v. Pada 7 Mac 2019, YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Hal Ehwal Ekonomi menyatakan bahawa "kerajaan Kelantan telah memulakan prosiding (pembatalan saman terhadap Petronas) berkenaan dan dijangka selesai pada April depan. Selepas semua prosiding tersebut selesai, kita akan lunaskan apa yang kita janjikan dengan membuat pembayaran terus kepada kerajaan negeri".
vi. Pada 24 April 2018 Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata prosiding yang diadakan 17 April lepas terpaksa ditangguhkan ke 17 Mei disebabkan tiada wakil Petronas dan kerajaan Persekutuan yang hadir.
“Kerajaan negeri masih menunggu keputusan mengenainya (penarikan saman) disebabkan perkara itu hanya boleh diputuskan di dalam mahkamah. Wakil daripada Petronas dan kerajaan persekutuan mesti hadir untuk kita kemukakan (penarikan saman) itu,” katanya.
6. Pihak kami yakin sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk semua pihak mengenepikan persoalan dan pertikaian politik sempit dengan semua pihak yang berada di sebelah kerajaan persekutuan dan negeri masing-masing melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah kerajaan secara profesional demi kepentingan rakyat.
7. Kami menyeru seluruh rakyat Kelantan mengambil peluang keberkatan Ramadan ini dengan memanjatkan doa, bersolat hajat dan bermunajat agar Allah permudahkan segala urusan pembayaran royalti petroleum kepada Kelantan.
8. Pihak kami amat yakin segala usaha yang diambil akan berjaya diselesaikan dalam masa terdekat. Segala proses pembayaran royalti telah berada pada peringkat terakhir.
Rakyat Kelantan sabar menantikan saat tersebut.
NAZRI DERAMAN ialah Presiden Gabungan Profesional Tuntut Royalti, Pendaratan Minyak dan Gas ke Kelantan (NGO R).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai