Peminjam disenarai hitam boleh beli rumah: Apa pandangan BNM?
Sejajar dengan kenyataan yang dibuat oleh YB Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Puan Zuraida Kamaruddin berhubung isu kebenaran untuk memiliki rumah pertama bagi individu-indivdu yang disenaraihitam dalam sistem CCRIS, saya memiliki pandangan yang berbeza tentang keputusan tersebut.
Saya berpendapat perkara ini memerlukan penjelasan yang lebih lanjut khusus berkenaan risiko dan lain-lain.
Seperti yang sudah kita sedia maklum, isu berkenaan status peminjam dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah salah satu isu yang sangat memerlukan ketelitian dalam menyediakan rumus-rumus, bertujuan untuk mencari solusi terbaik tanpa merugikan mana-mana pihak sekalipun.
Selain syarat-syarat pembayaran balik yang ketat, faktor kenaikan kos sara hidup dan masalah gaji yang rendah mendorong kepada kegagalan membayar balik pinjaman walaupun kadar faedah tabung pendidikan ini lebih rendah berbanding pinjaman-pinjaman lain.
Dari perspektif moral, kita sepakat bahawa individu-individu yang meminjam harus membayar balik pinjaman yang dibuat. Begitu juga kehidupan sebagai umat beragama, hutang-piutang adalah perkara yang dituntut bahkan wajib untuk ditunaikan.
Kedua-duanya menekankan bahawa bila mana individu membuat keputusan untuk meminjam sejumlah wang, maka individu tersebut harus bersedia untuk membayarnya.
Akan tetapi. terdapat kelonggaran yang dibenarkan iaitu dengan mengambilkira kemampuan seseorang dari aspek kewangannya. Maka dari itu muncul kaedah-kaedah yang kemudian diterapkan sebagai mekanisme pembayaran balik pinjaman tanpa merugikan salah satu pihak.
Begitu juga dalam isu PTPTN ini, meskipun terdapat kekangan dari kalangan peminjam untuk membayar balik, kerajaan seharusnya mengambil langkah memudahkan pembayaran balik pinjaman dan bukannya menggalakkan mereka membuat pinjaman-pinjaman baru.
Hal ini akan memunculkan impak negatif seperti kerugian oleh pihak PTPTN dan juga kepada pihak peminjam seterusnya mengancam kewangan negara.
Turut membimbangkan apabila pihak bank atau institusi kewangan seolah menjadi ‘decision maker’ utama di mana sebagai sebuah ‘profit organization’, tentulah pemberian pinjaman sangat menguntungkan pihak mereka. Oleh demikian, kerajaan perlu bertegas dalam hal ini kerana dikhuatiri akan menimbulkan krisis baru dalam negara.
Susulan kenyataan dibuat oleh YB Menteri tersebut, saya juga berharap pihak kementerian dapat menjelaskan apakah status perbincangan pihak-pihak yang terlibat dengan Bank Negara Malaysia, memandangkan keputusan ini adalah sebuah keputusan yang besar.
Maka saya merasa wajar untuk rakyat mendengar pandangan BNM mengenai isu ini.
AZFAR AZA merupakan Ketua Biro Penerangan Angkatan Muda Keadilan Wilayah.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai