Rayuan NUJ Utusan: Gilap kami dari seketul arang jadi berlian bernilai
Assalamualaikum, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad,
Dengan rasa rendah diri dan segala hormat, izinkan kami merujuk kepada perkara di atas untuk saya panjangkan bagi perhatian YAB Tun.
Mewakili ahli kesatuan dan sebahagian besar kakitangan Utusan kami mendoakan Tun dan keluarga diberi segala kebaikan rezeki di dunia dan akhirat, serta kekal sihat, seterusnya bersemangat tinggi untuk menerajui pentadbiran negara ke arah pencapaian yang terbaik menjelang Wawasan 2020.
Yang Dihormati Tun,
Dengan rasa rendah diri, kami para wartawan Utusan Melayu (M) Bhd (Utusan Melayu) yang pernah bersama-sama bangun dan jatuh, berpanas berhujan serta menjelajah ke seluruh pelusuk dunia membuat liputan bersama-sama Tun sebagai perdana menteri selama 22 tahun.
Kini ingin menyatakan rasa isi hati kami dalam suasana Utusan Melayu, akhbar keramat Melayu ini yang sedang mengalami nazak yang cukup tenat.
Sebagai sebuah kesatuan sekerja di Utusan Melayu kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas keprihatinan Tun dan sebahagian pemimpin lain dalam kerajaan yang amat prihatin atas permasalahan di sini.
Saat kami mula goyah selepas PRU14 dengan kekalahan Umno dan BN, beberapa rakan Tun sudi menghulur tangan bagi menjadi tempat kami mengadu dan meminta bantuan agar Utusan Melayu terus terpelihara dalam kerajaan baru dan tidak ditutup operasinya serta disisihkan.
Alangkah lega permohonan kami didengari.
Namun ironinya permohonan kami untuk bertemu dengan kepimpinan Umno waktu itu masih tiada respon walaupun surat, WhatsApp dan Telegram dikirimkan.
Mungkin mereka masih stigma dengan NUJ Utusan Melayu yang dianggap pembangkang dalam syarikat . Tetapi kini ia sudah berubah dan kiriman WhatsApp dan Telegram mula berbalas dengan respon yang positif.
Tetapi hasrat kami untuk berjumpa dengan kepimpinan Umno masih tidak padam.
YAB Tun,
Hari demi hari keadaan urus niaga akhbar Utusan Melayu semakin parah. Pada masa sama pembayaran gaji kakitangan mula lewat dua hari dan kini pembayaran gaji sudah kira-kira dua bulan lewat.
Suasana ini membuatkan jiwa setiap dari kakitangan Utusan Melayu - terutama kakitangan bawahan - terseksa. Tetapi kerana sayangkan khazanah negara ini, kami tetap sabar bertahan.
Daripada 1,500 kakitangan pihak syarikat menawarkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) menjadikan jumlahnya sehingga kini tinggal 800 orang sahaja.
Sejak Jun hingga kini keadaan kakitangan semakin perit. Untuk pengetahuan Tun, cerita anak kakitangan terpaksa minum sirap, kopi O dan teh O sebagai ganti susu bayi adalah benar. Ia bukan rekaan demi mahu mensensasikan cerita.
Malah lebih parah lagi, ada dalam kalangan kami yang menggadai barang kemas bagi menampung kelangsungan hidup.
Gerakan piket kakitangan pada 19 Ogos lalu terpaksa dilakukan. Khabar angin Utusan Melayu terpaksa ditutup kerana tidak mampu beroperasi mula tersebar.
Fenomena simpati masyarakat ke atas masalah Utusan Melayu tercetus. Syarikat dikhabarkan memberi baki gaji sebanyak RM2,000 dari dua bulan tertunggak. Orang ramai menyangka masalah sudah selesai tetapi sebenarnya tidak.
YAB Tun,
Hakikatnya, sekarang gaji kami masih lewat dua ke tiga bulan, perjanjian bersama (CA) yang dimeterai antara Utusan Melayu dan kesatuan membabitkan manafaat pekerja dimungkiri, selain berlaku pelanggaran baru serta amalan yang diguna pakai sebelum ini dinafikan syarikat.
Keadaan yang sama juga dihadapi rakan kami yang mengambil VSS walaupun tawaran diberikan dengan pembayaran 12 kali, mereka tetap tabah mengambilnya dengan hati yang sayu sebagai korban demi kesinambungan operasi penerbitan akhbar.
Kini bayaran tersebut tertunggak dua bulan juga. Situasi sukar ini dijangka akan berlarutan sehingga pertengahan 2020.
Kami mula mendengar khabar bahawa ada pihak dalam kalangan konglomerat media mahu mengambil alih Utusan Melayu, namun bimbang dengan tanggungan hutang yang ada dalam syarikat ketika ini berbanding aset bernilai RM400 juta dan jualan akhbar yang masih tinggi berbanding pesaing. Maka proses tersebut menjadi sukar.
Kami mohon kepada Tun agar dapat membantu kami - kakitangan bawahan - dan syarikat Utusan Melayu - untuk mengharungi keadaan sukar ketika ini.
Diharapkan jangan disisihkan kami, sebaliknya ambil dan gilap kami daripada seketul arang menjadi berlian serta permata yang bernilai.
YAB Tun,
Perbezaan ideologi politik harap dapat diketepikan. Dijelaskan sekali lagi, minda akhbar Utusan Melayu kini berubah demi kepentingan survival perniagaan.
Walaupun ada orang mengatakan ia sudah terlambat, tetapi langkah pertama perubahan 360 darjah telah dilakukan.
Sesungguhnya akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo! Ahad kini gaya pemberitaannya yang lebih adil dan saksama serta tiada lagi berita parti tertentu sahaja disiarkan di dalamnya.
Malah Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Aziz Sheikh Fadzir merangkap ketua pengarang telah memohon maaf baru-baru ini atas gaya laporan produk Utusan Melayu sebelum ini yang berat sebelah.
Kami memohon budi bicara dan jasa baik Tun campur tangan untuk memberi perhatian sebaiknya dalam pengurusan Utusan Melayu ke arah lebih baik. Bantu kami untuk mengharungi kesukaran yang dilalui ketika ini dan memudahkannya.
YAB Tun,
Jasa Tun kepada negara tidak terkira dan terlalu banyak untuk dihitung.
Untuk Malaysia mendapatkan seorang pemimpin seperti Tun mungkin sukar.
Seharusnya mereka harus memohon maaf kepada Tun kerana keterlanjuran di masa lampau di mana Tun di fitnah, dimaki hamun dan dihina dek kerana arahan politik.
Selaku pemimpin nombor satu negara, tidak ada sesiapa pun yang mampu merubah keadaan dan nasib kakitangan Utusan yang mana 99 peratus daripadanya berbangsa Melayu dan agama Islam sekarang melainkan Tun sahaja. Tun mampu menentukan arah dan hala tuju akhbar 'Suara Keramat Bangsa' ini.
Ini adalah kenyataan penuh Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJ) Cawangan Utusan Melayu.
Ia tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
NOTA EDITOR: Artikel ini sudah dipinda dengan versi terkini tidak memasukkan perenggan yang menyatakan Mahathir mungkin akan disalahkan oleh orang Melayu jika tidak membantu menyelamatkan Utusan
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai