Skip to main
Logo Malaysiakini

Menangani isu miskin bandar

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Miskin bandar adalah antara isu yang sudah lama diperkatakan. Seiring dengan isu kos sara hidup. Kedua-duanya sinonim. Cuma, miskin bandar lebih terseksa setiap kali kos sara hidup meningkat.

Kajian secara data menyimpulkan secara pukal statistik kemiskinan di negara ini. Unit Perancang Ekonomi (EPU) melaporkan data terkini pada Kaukus Parlimen pada 28 September lalu seperti berikut:

Terdapat 190,534 keluarga miskin di negara ini dengan 134,553 adalah miskin tegar. Secara demografi, 107,114 (56 peratus) isi rumah berada di bandar. Bakinya 83,420 (42 peratus) tinggal di luar bandar.

Ini perangkaan klasik menggunakan RM980 sebulan sebagai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) 1974.

Angka itu yang menyebabkan hanya 0.4 peratus rakyat Malaysia dianggap miskin. Sekadar rujukan, sekiranya pendapatan RM2,000 dijadikan PGK, angka kemiskinan akan meningkat ke paras 10 peratus.

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dr Phillip Alston menggunakan angka median lebih tinggi.

Menurutnya, median PGK negara ini sepatutnya RM3,126. Data realistik PBB ini menyebabkan angka penduduk miskin di Malaysia mencecah 20 peratus.

Penyelesaian jangka pendek

Begitu banyak data. Akhirnya, data tinggal angka untuk dilihat. Belum tentu semua fakta ini mampu mengubah realiti hidup rakyat yang miskin.

Kementerian Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Yayasan Salam dan Yayasan Wilayah Persekutuan melihat persoalan ini secara serius.

Memang angka tidak akan mengubah nasib rakyat tanpa tindakan fizikal yang komprehensif dalam menangani isu kemiskinan.

Pada 5 Dis ini, Kementerian Wilayah Persekutuan menganjurkan Seminar Menangani Miskin Bandar di Putrajaya. Matlamatnya ialah mendapatkan semua data terkini dan pandangan lebih menyeluruh pelbagai sektor pemegang taruh.

Seminar ini akan membabitkan 16 panel mewakil empat segmen pemegang taruh utama isu kemiskinan.

Pembentangan empat panel pada setiap segmen akan membabitkan wakil-wakil daripada perkhidmatan awam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan tokoh masyarakat.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad, pada sidang media 28 Nov menjelaskan, isu miskin bandar tidak lagi relevan ditangani secara 'panadol'.

Kenyataan Khalid itu adalah simbolik terhadap langkah penyelesaian jangka pendek.

“Masanya sudah sampai untuk masalah ini dikaji secara menyeluruh, lebih mendalam bagi mencari punca kemiskinan bandar dan bagaimana ia boleh diatasi dengan tepat.

“Kita memerlukan kaedah dan pendekatan yang baru untuk mengatasi masalah ini. Kita mahu idea dan cadangan yang bernas serta segar dan praktikal, ” kata Khalid.

Di Kuala Lumpur seramai 26,000 - atau 57 peratus - penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR) gagal menjelaskan tunggakan sewa sehingga membawa kepada jumlah sebanyak RM58 juta.

Walaupun sewa yang dikenakan pada mereka hanya RM124 sebulan, terdapat isi rumah yang masih berhutang antara satu hingga 10 tahun.

Secara persepsi, wujud tanggapan penghuni liat membayar sewa. Apakah ini benar? NGO Laskar4Life diminta menjalankan kajian data di PPR Intan Baiduri, Kepong. Hasilnya sangat mengejutkan.

Majoriti isi rumah yang berhutang sewa rumah berpendapatan kurang RM1,500 sebulan. Selain itu, faktor penyewa warga emas dan tanggungan isi rumah melebihi lima orang menambahkan lagi kemelut hidup isi rumah PPR.

Buka jalan atasi kemiskinan

"Saya bekerja dengan purata gaji kurang RM900 sebulan," kata Razak Baharum.

Memiliki dua anak bersekolah, Razak mengutamakan gajinya untuk membiayai makanan keluarga dan persekolahan anak-anaknya.

Dia bekerja sebagai tukang sapu sampah dengan gaji RM34.40 sehari. Dengan kadar itu Razak memperoleh gaji sebanyak RM894 dengan kiraan kerja 26 hari sebulan.

Sekiranya mengambil cuti sakit atau kecemasan, gaji Razak akan ditolak. Razak bekerja tanpa sebarang faedah lazim seperti yang dinikmati pekerja lain, termasuk cuti tahun dan tanggungan perubatan.

Razak antara enam responden penyewa veteran berusia 62 hingga 69 tahun yang ditemu bual. Pada usia emas dan pilihan kerja yang sangat terhad, penyewa kategori ini pasti tidak akan mampu melunaskan tunggakan.

Malah, mereka akan terus berhutang melunaskan tunggakan. Malah, akan terus berhutang pada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Seminar yang dikendalikan wartawan senior, Ahmad Thalib, akan turut mengadakan sesi dialog dengan 100 pemegang taruh yang hadir sebagai peserta.

Khalid berharap, dapatan seminar ini akan menjadi pembuka jalan kearah menyediakan Pelan Basmi Miskin Bandar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

Semua dapatan ini akan diproses panel penyedia laporan dalam tempoh enam bulan sebagai kertas cadangan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan.


Zainal Rashid Ahmad ialah penasihat Laskar4Life.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.