Skip to main
Logo Malaysiakini

Doktor lawan farmasi

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

“Farmasi komuniti perlu ditutup sebab mereka jual ubat tanpa preskripsi,” kata ahli farmasi.

“Klinik swasta perlu ditutup kerana mereka tak reti label ubat,” kata para doktor.

Gaduh macam budak-budak. Tiada standard. Geli hati juga kami baca status Facebook ahli-ahli farmasi dan doktor-doktor yang risau kebuluran jika polisi kerajaan tidak menyebelahi mereka.

Isunya adalah kerajaan menginginkan doktor mengeluarkan preskripsi apabila diminta oleh pesakit.

Si doktor marah-marah. Kononnya ia mencabar kebijakan dan autoriti mereka untuk memberi ubat kepada pesakit. Perlu beri apa sahaja yang pesakit minta jika tidak mahu dipenjara.

Padahal sebenarnya mereka yang tidak bijak membaca.

Mereka hanya perlu beri preskripsi ke atas rawatan yang dirasakan perlu ke atas pesakit. Bukan perlu beri segala apa yang pesakit minta.

Dasar malas baca tetapi rajin menjerit.

Yang farmasi juga marah. Katanya preskripsi itu perlu wajib, walau pesakit tidak minta. Tidak pula mereka fikir apa mahunya si pesakit.

Mahukah mereka ke kedai farmasi untuk beli ubat setelah habis masa jumpa doktor di klinik? Menjerit tentang hak pesakit, tetapi tidak pula ditanya apakah pesakit mahu hak itu.

Sebenarnya kedua-dua ini lapar duit. Bimbang tak cukup untung bulanan. Semua kerana fikir yang klinik dan farmasi ini hanya kedai tempat membuat untung.

Seorang peniaga hanya akan jual barang yang ada di dalam kedai mereka. Begitu juga doktor di klinik.

Pesakit akan dapat ubat yang paling sesuai yang ada di klinik. Bukan ubat yang paling bagus yang disaran oleh kajian. Sebab itu perlu ada peraturan tentang beri preskripsi.

Yang farmasi pula kata harga ubat akan lebih murah jika beli dari mereka. Mereka kata. Adakah pesakit akan kata perkara yang sama?

Mahu bayar konsultasi doktor, kemudian keluar lagi duit untuk bayar ubat di farmasi.

Bukan kita tak tahu yang doktor ini ramai yang benarkan pesakit beli ubat di kaunter klinik sahaja tanpa jumpa mereka. Sama sahaja dengan farmasi yang jual ubat tanpa preskripsi.

Bila di Facebook, profesi merekalah yang paling benar dan jujur. Realitinya semua rakyat tahu tuan-puan. Jadi salah pula kalau mereka ini tidak bergaduh.

Apa salahnya pesakit dapatkan ubat yang pertama di klinik? Kali-kali seterusnya, berilah preskripsi untuk mereka ambil di farmasi jika diminta.

Berilah untuk enam bulan. Preskripsi luput, pesakit jumpa doktor semula untuk dapatkan pemeriksaan.

Baru betul. Ini tidak. Jenis bodoh suka nak selak kain masing-masing tunjuk dekat orang.


FSH ialah seorang ahli farmasi.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.