Skip to main
Logo Malaysiakini

Larangan merokok di kedai makan bukan baru

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia sebagai pihak (anggota) kepada Konvensyen Rangka-kerja Kawalan Tembakau (FCTC) wajib melindungi semua dari terdedah kepada bahaya asap rokok di tempat awam dengan melaksanakan peruntukan-peruntukan berdasarkan bukti-bukti saintifik yang berjaya mencapai objektif oleh banyak negara.

Larangan merokok di tempat awam adalah samping melindungi semua dari terdedah kepada asap rokok juga untuk mengurangkan penggunaan produk tembakau serta menghindar bayi, kanak-kanak dan remaja terdedah kepada perlakuan tabiat merokok yang akan mempengaruhi di antara mereka untuk mencuba dan menjadi pengguna produk tembakau.

Langkah larangan merokok telah bermula dengan pekeliling kerajaan melarang merokok di semua premis kerajaan. Jika semua pegawai awam mematuhi peraturan ini majoriti tentu sudah berhenti merokok.

Larangan merokok di semua premis makan dan premis menjual bahan makanan dikuatkuasakan pada 1hb Januari 2019 melalui pindaan kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (PPKHT 2004).

Bagaimanapun, larangan merokok di restoran diperkenalkan dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 melarang merokok di mana-mana tempat makan berhawa dingin (yang mana tidak lebih daripada separuh daripada kawasan ini boleh dibenarkan untuk mereka yang ingin merokok dengan syarat tertentu).

Peraturan-Peraturan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mensyaratkan semua majikan menjamin persekitan tempat kerja selamat untuk semua pekerja termasuk dari ancaman asap tembakau.

Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 (Pindaan 1997) melarang merokok di mana-mana tempat makan berhawa dingin dengan dimansuhkan kawasan merokok.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 memutuskan tabiat merokok itu haram mengikut pandangan Islam. Maka semua premis makan halal seharusnya tidak lagi boleh membenarkan perlakuan merokok oleh sesiapa sahaja.

Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 telah menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 1993 melarang merokok di mana-mana tempat makan berhawa dingin.

Peraturan Kebersihan Makanan 2009 melarang semua pengendali (tukang masak dan pramusaji) makanan dilarang merokok di premis makan.

Walaupun peraturan ini tertakluk ke atas semua pekerja pengendali makanan di premis, perlakuan merokok oleh pelanggan tetap menyumbang kepada pencemaran makanan di premis makan.

Maka, sewajarnya semua pihak tidak melakukan sebarang perlakuan yang menimbulkan kepada risiko kepada kebersihan makanan di premis makanan.

Tata amalan Industri Kualiti Udara Dalaman 2010 di bawah Akta Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan 1994 mewajibkan majikan memastikan pekerja tidak terdedah kepada bahaya asap rokok di semua tempat kerja termasuk kedai makan dan restoran.

Maka, pindaan 2018 kepada Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 untuk melarang merokok di mana-mana tempat makan merupakan langkah wajar memperluaskan tempat-tempat awam bebas asap rokok selaras dengan tuntutan di bawah FCTC serta peruntukan-peruntukan di bawah keselamatan pekerjaan dan juga kebersihan makanan.

Amnya, bukan perokok dan perokok menyokong inisiatif ini. Pengamatan kita mendapati majoriti tempat makan mematuhi peraturan ini dengan menasihatkan pelanggan yang merokok dan memasang tanda larang merokok.

Memang masih ada perokok tegar yang masih didapati merokok di luar tumpuan ramai walaupun dinasihati tuan punya premis.

Samping diperhebatkan usaha penguatkuasaan, pihak orang ramai juga harus memainkan tanggngjwab sosial untuk memberi kesedaran kepada semua untuk semua mematuhi peraturan-peraturan yang berkuatkuasa seperti larangan merokok, larangan parkir, larang membuang sampah, larangan vandalisme, dan sebagainya untuk kesejahteraan semua.

Juga semua harus ketahui bahawa had larang merokok di premis adalah 3 meter dari cucur bumbung, manakala tempat makan terbuka adalah 3 meter dari kerusi akhir luaran.

Di Kuala Lumpur, PPKHT 2004 melarang merokok sepanjang laluan pejalan kaki berbumbung termasuk laluan kaki-lima berbumbung sepanjang premis kedai di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan larangan merokok menjangkau 3 meter dari bumbung laluan pejalan kaki.

Semua tabiat termasuklah tabiat buruk sukar diubah. Tabiat merokok mengakibatkan 20,000 kematian setahun di Malaysia.

Ini boleh dielakkan dengan mudah sekali. Malaysia mensasarkan untuk mengurangkan tabiat merokok kepada 15% menjelang 2025 dan kurang dari 5% pada 2045 sebagai 'endgame tembakau'.
Dengan tabiat merokok pada tahap 23% kini pelaksanaan tempat awam bebas asap rokok harus dipatuhi oleh semua tanpa sebarang alasan lagi.

______________________________________________________________________________________

Muhammad Sha'ani Abdullah merupakan penyelaras, Kawalan Tembakau/ Inisiatif @SmokeFreeMY
Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA)

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.