Tiga sebab boleh dipelajari dari peletakan jawatan Maszlee
Saya adalah salah seorang yang sering lantang mengkritik dan mengulas Yang Berhormat Dr Maszlee Malik berhubung dasar dan keputusan beliau berhubung pelajaran dan pengajian tinggi negara kita sepanjang beliau menjadi Menteri Pelajaran.
Dalam segala ulasan dan kritikan tersebut, dua perkara yang saya sering utarakan adalah:
A. Pendidikan adalah perkara yang tidak boleh sesekali menjadi modal atau mangsa politik.
B. Dasar dan isu pendidikan harus diurus dengan mengambil kira pandangan serta input dari pelbagai pihak berkepentingan. Bukannya sekadar dibuat di pejabat menteri dan dipaksakan pelaksanaannya kepada semua pihak di bawah.
Atas dasar itu, saya turut pernah dipelawa oleh beliau untuk berbincang dan memberikan pandangan demi bersama-sama menambah baik mana-mana polisi pendidikan yang bersesuaian. Tetapi langkah tersebut tidak pernah sempat berlaku.
Yang pasti, peletakan jawatan beliau atas nasihat perdana menteri mengundang pelbagai persoalan, malah spekulasi.
Biar apa pun alasan dan sebab sebenar peletakan jawatan tersebut, terdapat beberapa perkara yang boleh kita pelajari daripada semua ini.
Pertama, idealisme dan pelaksanaannya adalah dua perkara yang sangat berbeza. Dalam menjayakan sesuatu idea dan cadangan, aspek praktikaliti dan keperluan haruslah menjadi pertimbangan utama.
Kedua, raikan dan lihat juga perubahan baik dan ‘reform’ yang pernah dilakukan sebelum ini. Bukannya mengangkat diri sendiri sebagai satu-satunya pihak yang serius dan prihatin dengan perubahan.
Ketiga, pisahkan tugas kementerian yang rasmi dengan kepentingan politik serta urusan parti. Mencampur adukkan semua ini hanya akan menyukarkan pelaksanaan tanggungjawab dan amanah rakyat.
Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada YB Maszlee Malik.
Sebagai warga Johor, saya harap beliau bolehlah memberikan perhatian pula kepada penduduk Simpang Renggam di Johor.
Semoga khidmat yang baik akan memberikan manfaat kepada semua pihak.
MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib Presiden Umno.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai