Skip to main
Logo Malaysiakini

Laksana segera sekolah wawasan - Mapim

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia ( Mapim ) menyeru Kementerian Pendidkan segera laksanakan sekolah Wawasan yang tertangguh sejak ia dicadangkan oleh kerajaan pada 1997.

Konsep Sekolah Wawasan yang jelas bertujuan membentuk jalinan perhubungan dan memupuk integrasi antara pelajar pelbagai kaum sepatutnya sudah lama dilaksanakan.

Sungguhpun ia bermula dengan secara fizikal menempatkan tiga jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, SRJK Cina dan SRJK Tamil disatu kawasan atau kampus yang sama , ia perlu direncanakan sehingga interaksi antara pelajar bebar-benar berlaku.

Kami berpendapat dengan tren polarisasi antara kaum kelihatan semakin tajam dan konflik antara kaum juga kini sangat mudah berlaku, model Sekolah Wawasan sepatutnya menjadi jawapan yang tuntas untuk membina bangsa Malaysia yang kukuh.

Sudah sampai masanya kerajaan mengambil pendirian tegas supaya konsep Sekolah Wawasan dilaksanakan.

Penolakkan oleh badan seperti Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong) tidak harus dilayan kerana jelas sikap perkauman cauvanis yang mendalam oleh badan tersebut tidak samasekali membantu membangun Malaysia yang bersatupadu antara kaum.

Kami mengingatkan semua pihak yang berfikiran sempit dan sangat cauvanis agar insaf, Malaysia adalah satu-satunya negara yang maseh memberi hak yang sangat adil dalam membangunkan semua kaum. Institusi agama dan pelbagai kemudahan untuk masing-masing kaum membangun bersama dalam kerangka kontrak sosial yang disepakati bersama selama 63 tahun merdeka telah membawa Malaysia sejauh ini.

Jelas secara keseluruhannya, ekonomi, pendidikan dan kemajuan dirasai oleh semua kaum. Tidak ada negara yang membenarkan sekolah tiga aliran dilaksanakan sehingga hari ini dalam satu sistem pendidikan kecuali Malaysia.

Menolak Sekolah Wawasan adalah sikap yang jelas menolak semangat dan falsafah Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang telah membina Malaysia secara unik.

Kami mengesa pihak kerajaan segera memutuskan dan mula merintis perlaksanaan Sekolah Wawasan bermula satu model di setiap negeri tanpa bertangguh lagi.

Akta Pendidikan 1996 yang merupakan lanjutan dan pembaharuan dari Akta Pelajaran 1961 bertujuan memantapkan sistem pendidikan kebangsaan sejajar dengan kehendak dan cita-cita Malaysia untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan yang bermutu tinggi dan bertaraf dunia.

Akta ini memberi kuasa yang jelas untuk kerajaan melaksanakan konsep Sekolah Wawasan sebagai sekolah kebangsaan yang bersepadu dengan semua sekolah vernakular.

Soalnya jika Sekolah Wawasan mampu menzahirkan kualiti pendidikan yang maju dan cemerlang, apa masalah pengurusan SRJKC dan SRJKT untuk menolak konsep ini.

Kerajaan seharusnya menggunakan kuasanya dengan bijak agar sektor pendidikan menjadi bidang paling utama dan strategik untuk membina Malaysia yang bersatu dan kuat.

Jika dalam hal segenting dan sepenting pendidikan , pihak kerajaan maseh bersikap tidak tegas, polarisasi antara kaum dinegara ini akan terus menajam dan bencana ketegangan ras tidak dapat dibendung nanti.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.