Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat tak mahu peralihan kuasa

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Beberapa kenyataan berkaitan peralihan kuasa PM telah dibangkitkan lagi sejak sebulan ini.

Sekali lagi ingin saya tegaskan selaku Srikandi Bersatu, rakyat tidak meminta Dr Mahathir Mohamad melakukan peralihan kuasa perdana menteri.

Rakyat mengundi Pakatan Harapan (PH) ketika Dr Mahathir mengetuai PH bukan Anwar Ibrahim.

Adakah pemimpin parti komponen PH sudah lupa siapa yang wujud di sisi Dr Mahathir semasa beliau berkempen ke seluruh negara supaya rakyat menolak Najib Razak dan BN?

Adakah Anwar Ibrahim? Tidak! Yang sering bersama beliau adalah Dr Wan Azizah Ismail dan Mohamad Sabu.

Rakyat mahukan kerajaan menjaga keperluan ekonomi mereka, menyediakan peluang pekerjaan dan pendidikan yang cukup untuk mereka.

Peralihan kuasa perdana menteri hanyalah agenda peribadi pihak tertentu untuk menggugat kestabilan pentadbiran kerajaan.

Adalah lebih relevan untuk para pemimpin PH membantu Dr Mahathir memperbetulkan barisan jemaah menteri yang masih tidak fokus kepada keperluan sebenar rakyat dan negara.

Jika rakyat melihat setiap pimpinan PH yang telah diamanahkan oleh beliau untuk melaksanakan fungsi masing-masing tidak berkhidmat seperti yang rakyat harapkan, maka ia menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada PH.

Bukan Dr Mahathir yang harus dipersalahkan, jika setiap pimpinan PH sibuk dengan agenda peribadi sedangkan Dr Mahathir sibuk dengan agenda rakyat dan negara.

Saya menyeru agar isu peralihan kuasa ini dihentikan.

Negara yang telah dirosakkan oleh kleptokrat ini bukan boleh diperbetulkan dengan hanya menukar suis.

Dr Mahathir harus diberi ruang menguruskan negara mengikut apa yang beliau fikirkan baik untuk rakyat.

Saya selaku pimpinan Srikandi Bersatu peringkat akar umbi menyokong sepenuhnya Dr terus menerajui negara dan sebarang perubahan ke arah kebaikan untuk rakyat dan negara yang beliau sedang laksanakan.

Saya menyeru agar pimpinan PH menghormati kebijaksanaan Dr Mahathir selaku perdana menteri dan pengerusi PH.


ZUHURAINA MAKMUR ialah exco Srikandi Bersatu, ketua Srikandi Kuala Langat merangkap setiausaha politik menteri pembangunan luar bandar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.