Skip to main
Logo Malaysiakini

Seminggu yang gelap

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Gelap adalah perkataan paling sesuai untuk menggambarkan keadaan pada 21 Feb hingga 1 Mac 2020.

Gelap kerana kerajaan pintu belakang telah menceroboh asas demokrasi dengan menjadi kerajaan yang tidak cukup untuk majoriti memerintah.

Isu penggantian kepemimpinan perdana menteri kelapan telah diputuskan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bahawa selepas sidang kemuncak Kerjasama Asia Pasifik (Apec) Dr Mahathir Mohamad akan melepaskan jawatannya untuk memberi laluan kepada Anwar Ibrahim.

Ketika semua keadaan berjalan seperti biasa, negara dikejutkan dengan Langkah Sheraton apabila beberapa pemimpin dari Bersatu dan 11 ahli parlimen PKR tiba-tiba membentuk gabungan politik baru bersama PAS, Umno dan MCA.

Langkah Sheraton gagal apabila Pengerusi PH - Mahathir dari Bersatu - enggan menyertainya sehingga langkah sumbang itu bolehlah dianggap sebagai kudeta yang gagal.

Ia tidak berakhir di situ. Mahathir telah meletakkan jawatannya sebagai perdana menteri pada 24 Feb. Sebelumnya, Mahyudin Yassin selaku Presiden Bersatu mengisytiharkan membawa parti itu keluar daripada PH.

Bermulalah rakyat merasa gelapnya keadaan khususnya setelah Mahathir seolah meninggalkan 'kapal' lebih awal menyebabkan bahtera itu seakan-akan terumbang-ambing dipukul badai pengkhianat.

Malah Mahathir sebagai perdana menteri interim mencadangkan kerajaan perpaduan (unity government) yang ditolak oleh semua, termasuk PH dan BN.

PH sebagai pemegang amanah dan mandat rakyat bergelut bertahan. Parti komponen PH mempertahankan legitimasinya dengan menamakan Anwar sebagai calon perdana menteri.

Maka berhimpunlah ahli-ahli parlimen di Istana Negara selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 Mac untuk membuat perakuan mengenai calon mereka.

Nama Muhyiddin Yassin dan Mahathir turut dicalon sama.

Jumaat, 28 Feb, memberikan harapan kerana PH yakin Anwar akan muncul sebagai calon terbanyak daripada tiga nama yang dicalonkan. Namun hampir jam 5 petang, Istana Negara mengeluarkan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong akan bertemu dengan semua ketua-ketua parti keesokan hari. Isyaratnya ialah, tiada sesiapa yang mendapat sokongan majoriti 112 ahli parlimen.

Sabah dan Sarawak mengumumkan sokongan kepada Mahathir, PH pula - setelah bermesyuarat panjang dan kemudian bertemu dengan Mahathir - bersetuju untuk mengekalkan PH sebagai blok yang solid dengan menamakan ahli parlimen Langkawi itu sebagai calon.

Rundingan tersebut pada malamnya juga menetapkan kerajaan PH kekal tanpa pengkhianat dari PKR dan Bersatu. Mahathir sedia mempertahankan mandat rakyat kepada PH.

Sabtu 29 Feb, sekali lagi ketua-ketua parti membawa bilangan ahli parlimen yang berpihak kepadanya. Alhamdulillah, PH yakin bilangan sokongan yang diterima Mahathir adalah suara PH demi mempertahankan mandat yang diberikan.

Harapan untuk melihat awan mendung berarak lalu tidak tercapai. Istana mengumumkan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri kelapan. Ia adalah perdana menteri pintu belakang pertama dalam sejarah Malaysia.

Mahathir pula tidak mendapat perkenan untuk mengadap Agong untuk mempersembahkan senarai ahli parlimen menyokongnya sebagai perdana menteri.

Ahad, 1 Mac pemimpin PH tanpa pengkhianat berhimpun menyatakan PH memiliki 114 ahli parlimen yang menyokong Mahathir. Pada masa sama Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri.

Sejarah akan termaktub bahawa Malaysia - buat pertama kalinya - memiliki seorang perdana menteri pintu belakang dan akan membentuk barisan kabinet - juga - pintu belakang.


Dr Mujahid Yusof ialah naib presiden Amanah dan ahli parlimen Parit Buntar, Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.