Skip to main
Logo Malaysiakini

Akhirnya 'UFO' mendarat di PWTC

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Antara lukisan politik yang pernah menarik perhatian saya suatu ketika dulu ialah hasil karya Amin Landak dalam Malaysiakini.

Dalam lukisan itu, sebuah UFO (objek terbang yang tidak dikenali) dengan tulisan Bersatu menggunakan 'tractor beam' menarik naik beberapa individu dari apa yang kita nampak sebagai Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Menara Dato Onn diketahui ramai amat sinonim dengan Umno.

Lukisan yang disiarkan pada Nov 2018 itu saya lihat sebagai satu humor yang sangat penting untuk merakamkan kemasukan pemimpin-pemimpin Umno ke Bersatu.

Apa yang menjadikan kartun itu signifikan ialah perlambangan menggunakan UFO. Orang kebanyakan melihat UFO sebagai sebuah objek dari dunia berbeza yang datang ke bumi.

UFO Bersatu dapat difahami sebagai dari Pakatan Harapan (PH) manakala orang di PWTC pula dari BN.

Pada pendapat saya, ia melambangkan kedua-dua sisi itu - Bersatu dan Umno - sebagai dua entiti politik berbeza dan saling bertentangan. Umpama air dan minyak, saling tidak boleh bersatu.

Manakan tidak, Bersatu ketika berada dalam PH secara konsisten berkempen agar rakyat menolak rejim kleptokrat Umno dan BN.

Terima ahli tak puas hati

Atas sebab itulah, isu kemasukan ahli Umno ke Bersatu setelah kemenangan PH pada PRU14, menjadi buah mulut orang ramai.

Ada yang mempersoalkan keterbukaan Bersatu dalam menerima pemimpin-pemimpin parti lawan mereka.

Bagaimanapun, Bersatu pada ketika itu menegaskan, kemasukan ahli parlimen Umno diterima selepas melalui proses tapisan dan ia akan mengukuh parti itu dan PH.

Pengerusinya, Dr Mahathir Mohamad, berulang kali menegaskan untuk tidak membenarkan hubungan bersama Umno secara en bloc. Ini bermakna, Umno sebagai parti tidak boleh bekerjasama dengan Bersatu.

Secara jelas, PH telah bertungkus lumus berusaha menentang Umno pada PRU14.

Sehingga ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri Interim, Dr Mahathir secara tegas tidak mahu Umno sebagai parti komponen tetapi boleh menerima ahli yang tidak berpuas hati dengan parti tersebut.

Namun begitu, seperti pernah dijelaskan Dr Mahathir juga, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, "lebih relaks" dalam soal kerjasama Bersatu-Umno.

Sebab itu, kini Bersatu berpecah dan Muhyiddin memimpin Perikatan Nasional - yang terdiri daripada gabungan pecahan Bersatu, BN, PAS serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) - yang menjadi kerajaan.

Ini berbeza dengan pendirian yang pernah ditekankan Muhyiddin ketika berucap semasa ulang tahun pertama parti itu. Antara lain beliau menekankan, mana-mana parti yang bekerjasama dengan Umno dan BN sebenarnya bersubahat dengan segala perlakuan mungkar dan penindasan yang dilakukan oleh parti itu.

Kini, Bersatu yang digambarkan oleh lukisan Amin Landak sebagai UFO, telah 'mendarat' di bangunan Umno dan kedatangan mereka dialu-alukan oleh kepimpinan Umno bersama rakan-rakannya.

Mereka kini bekerjasama dalam satu pasukan. Timbul persoalan: Adakah kerjasama itu kukuh dan berpanjangan? Itu kita kena tunggu dan lihat.


BEN ZACK ialah seorang pemerhati politik tanah air.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.