Skip to main
Logo Malaysiakini

'Perang' untuk merebut Putrajaya belum berakhir

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Tarikh 9 Mei sebenarnya mencatatkan dua kejadian besar dalam lipatan sejarah dunia. Pertama, Winston Churchill diangkat sebagai perdana menteri Britain pada 1940 oleh King George IV menggantikan Neville Chamberlain.

Kedua, ia berlaku dekat dengan kita, iaitu kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Dr Mahathir Mohamad menumbangkan kerajaan BN pimpinan Najib Razak selepas parti itu berkuasa selama 61 tahun.

Kedua-dua keputusan tersebut tidak dijangka-jangka, namun melakar memori tersendiri pada rakyat kedua-dua negara.

Secara kebetulan, Mahathir dan Churchill dilantik sebagai perdana menteri sebanyak dua kali untuk tempoh yang berbeza. Mahathir dan Churchill juga berkhidmat di bawah pemerintahan monarki berbeza.

Ketika pelantikannya, Churchill menghadapi situasi yang sangat genting apabila Jerman - di bawah pemerintahan Adolf Hitler dengan fahaman Nazi - telah pun melancarkan serangan kilat Blitzekrieg ke atas “low countries” (Belgium, Belanda, Luxembourg dan Perancis).

Skala serangan sebegitu pantas belum pernah dilihat di negara Eropah pada siri peperangan sebelumnya.

Churchill sedar pelantikannya bukanlah untuk bersenang-lenang di laman bunga Buckingham Palace atau menikmati jamuan steak enak di tepi Sungai Thames.

Tugasan utama beliau ialah untuk menjadi tembok besar penghalang cita-cita besar Adolf Hitler untuk menyeberangi Selat Inggeris dari negara Perancis yang sebahagian besarnya telah dijarah Hitler.

Sudah dihidu tapi tetap mengejutkan

Pada awal pelantikannya, Churchill bergelut dengan serangan tentera Nazi yang semakin mengganas ke atas kedudukan tentera British Expeditionary Force (BEF) seramai 394,000 di Perancis.

Dia perlu mengambil keputusan pantas sama ada membiarkan sebilangan besar tenteranya mempertahankan kedudukan mereka di Perancis, atau berundur ke kepulauan Britain melalui Selat Inggeris seperti yang dirakamakan melalui filem Dunkirk arahan Crhistopher Nolan.

Taktik Blitzkrieg Hitler yang menggerakkan tenteranya secara pantas diadaptasi dengan baik melalui “Langkah Sheraton ” apabila komplot pembelotan terhadap ketetepan yang dibuat Majlis Presiden PH - walaupun sudah dihidu - mengejutkan ramai disebabkan skala kepantasannya.

Kejayaan sang petualang mengumpul sebilangan besar pimpinan parti-parti yang bercita-cita meruntuhkan kesepakatan PH yang diangkat majoriti rakyat Malaysia pada PRU14 mengejutkan negara.

Pengkhianatan parti komponen PH merobek terus ke jantungnya dan meruntuhkan ikatan yang telah dibina agak lama. Musuh PH (baca: PAS dan BN) yang sekian lama mengintai peluang.

Apa yang berlaku ibarat orang mengantuk disorong bantal. Akhirnya terjadilah apa yang telah terjadi.

Churchill membuat keputusan tepat apabila mengundurkan sebahagian besar tentera BEF kembali ke kepulauan Britain. Ketika itu, hampir keseluruhan Eropah ditawan tentera Nazi.

Ramai rasa bingung

Soviet Union masih lagi bertahan dengan serba kekurangan manakala Itali di bawah Beniot Mussolini telah menyatakan sokongan mereka kepada tentera Nazi.

Keadaan panik berlaku apabila sisa harapan yang tinggal adalah untuk tentera Britain mempertahankan kepulauan Britain daripada dicerobohi dan ditakluk Nazi, manakala di Russia, Hitler menggerakkan angkatan terbesarnya melalui Operasi Barbarossa bagi menghancurkan dan menakluk pusat pemerintahan Soviet Union di Moscow.

Kegigihan dan semangat juang yang tinggi tentara Britain, Soviet Union dibantu dengan penglibatan tentera AS melalui Kuasa Perikatan diketuai Churchill, Stalin dan Roosevelt akhirnya menjadi titik tolak pengunduran Nazi hingga ke Berlin.

Ia akhirnya ditamatkan dengan pelancaran roket Katyusha tentera tengah-tengah bandar raya Berlin.

Titah Yang di-Pertuan Agong pada petang 29 Feb, saya baca antara percaya dan tidak. Bukan saya saja malah keseluruhan sahabat handai yang berada di sekeliling kebingungan.

Namun, ianya terpaksa diterima jua atas dasar hormat terhadap Agong dan institusi diraja.

Tidak seperti kemenangan PH yang disambut penuh meriah oleh rakyat Malaysia di hadapan Istana Negara, Putrajaya, Langkawi dan bandar-bandar utama lain, pelantikan Muhyidin Yasin sebagai perdana menteri disambut dengan penuh kebingungan dan tanda tanya.

Media-media utama dunia juga yang dulu berbondong-bondong mengucapkan tahniah atas keberanian rakyat Malaysia mengubah sebuah kerajaan yang berkuasa sejak lebih 60 tahun, kini dengan nada sinis mempersoalkan runtuhnya sebuah kerajaan pilihan rakyat melalui penubuhan kerajaan pintu belakang.

Bagi sesetengah rakyat Malaysia yang berkerja keras untuk mengubah landskap politik negara dalam PRU14, penubuhan kerajaan pintu belakang pada 23 Mac 2020 mungkin satu episod yang mendukacitakan.

Namun seperti Churchill dan majoriti rakyat Britain yang menganggap episod serangan Nazi di kepulauan Britain sebagai the darkest hour, kuasa bersekutu Mahathir-Anwar Ibrahim-Mohd Shafie Afdal pastinya sedang berusaha merangka strategi untuk menumbangkan kuasa perikatan yang ditunjangi kumpulan yang berhaluan kanan (far-right) pimpinan Muhyiddin.

Ianya sukar, namun siapa sangka kemegahan, kehebatan dan kepantasan tentera Nazi akan dikalahkan dan The Reichsadler (Imperial Eagle) yang membawa swastika pada kakinya akan disembelih di tengah-tengah bandar Berlin?

Pertempuran fasa pertama mungkin sudah tamat, namun peperangan belum berakhir.


Mohd Shazwan ialah pembaca Malaysiakini.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.