Skip to main
Logo Malaysiakini

Rayuan kepada menteri pendidikan: Teruskanlah apa yang baik

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pertama sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada YB di atas pelantikan sebagai menteri pendidikan. Saya tahu tugas YB tugas yang sangat besar dan payah, saya juga faham YB akan menghadapi siri-siri tekanan yang tak dapat YB elakkan.

Tetapi sebagai guru, saya mahu mengambil kesempatan ini untuk merayu tentang beberapa hal berkaitan pendidikan yang selama ini menjadi belenggu kepada kami, para guru.

YB, sehingga tahun lepas, kita mempunyai sekurang-kurangnya 419,904 guru di Malaysia. Saya juga termasuk dari jumlah yang besar ini. Memang hampir mustahil untuk semua guru menyokong sesuatu dasar yang ditentukan oleh kerajaan, tetapi sekiranya dasar itu ialah dasar yang baik, saya percaya, sekurang-kurangnya YB akan mendapat sokongan majoriti para guru.

Kami para guru tidak kisah tentang percaturan politik orang atasan. Tugas kami mendidik, sampai mati kami akan mendidik. Siapa ketua kami, menteri kami, kami terima, asalkan ia baik untuk negara dan rakyat. Itu sahaja.

YB akan menjadi menteri pendidikan yang ke-20 selepas YB Dr Maszlee Malik. YB juga telah dipilih melalui kerajaan yang sangat kontroversi buat masa ini. Tetapi saya percaya, jika YB benar-benar bekerja, hasilnya akan menjadi hujah yang kuat untuk YB.

Izinkan saya berkongsi. Sebagai para guru, kami senang dengan YB Dr Maszlee Malik kerana beliau menjadikan kami sebagai teras dalam dasar-dasar yang beliau perkenalkan. Perkara yang paling besar beliau laksanakan ialah mengurangkan beban kami sebagai guru. Tahun lepas, beliau umumkan lima inisiatif yang terkandung sembilan intervensi untuk mengurangkan beban guru. Mulanya kami sukar percaya kerana birokrasi pelaksanaannya, tetapi hari ini kami sudah melihat hasilnya. Bukan melihat sahaja, kami juga merasainya.

Oleh hal yang demikianlah saya lihat cukup besar sokongan para guru kepada beliau, sehingga desakan demi desakan dibuat untuk beliau kembali menjadi menteri pendidikan. Hari ini ketika saya menulis artikel ini, sebanyak 402,978 orang telah menandatangani petisyen mahu mengembalikan beliau sebagai menteri pendidikan. Petisyen ini terus ditandatangani sehingga saat ini.

Saya percaya sebilangan besar mereka yang tandatangan ini ialah para guru. Saya sendiri menandatanganinya. Saya juga melihat rakan-rakan saya para guru forward petisyen tersebut di grup-grup Whatsapp para guru di seluruh daerah. Hampir tak ada mereka yang memberi reaksi buruk. Hampir semua menandatanganinya.

Ini kali pertama YB, saya lihat guru-guru begitu senang dan sokong menteri pendidikan kita. Sebelum ini, ada atau tidak ada menteri pendidikan, kami kurang ambil peduli. Ada, tak apa. Tak ada pun tak apa. Tugas kami mendidik sahaja.

Saya sangat berharap YB boleh meneruskan legasi yang ditinggalkan. Biarpun berbeza haluan sebagai seorang ahli politik, saya percaya dasar-dasar yang baik untuk para guru dan murid, tetap sama dan perlu diteruskan.

Beban guru mesti teruskan diringankan. Beliau telah mengurangkan hampir 50 peratus, saya harap YB teruskan lagi sehingga kami boleh fokus mendidik dan banyak masa untuk berinteraksi dengan murid-murid.

Kami juga berharap pembekalan Internet diteruskan seperti yang telah beliau putuskan, iaitu memberikan kuasa kepada pihak sekolah untuk memilih mana-mana pembekal yang dapat memberikan perkhidmatan terbaik. Maaf YB, 1Bestarinet sebelum ini sangat tidak bagus perkhidmatannya. Tindakan untuk tidak menyambung kontrak mereka ialah tindakan yang sangat tepat bagi kami para guru.

YB, saya juga ingin merayu YB meneruskan hubungan baik sebagai menteri dengan badan-badan dan persatuan-persatuan guru seperti Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Sekolah (NUTP) seperti yang telah dimulakan oleh YB Dr Maszlee. Untuk pengetahuan YB, sebelum ini hubungan antara NUTP dan menteri pendidikan kurang baik dan tidak akrab. Inilah yang menyebabkan dasar-dasar sebelum ini terlalu detached dengan para guru.

YB, pada 1 Januari lalu, sehari sebelum YB Dr Maszlee meletakkan jawatan, beliau telah mengumumkan untuk tahun 2020 ini, KPM akan melancarkan aplikasi pertukaran guru secara suka sama suka. YB tidak akan dapat bayangkan betapa gembiranya kami para guru pada waktu itu kerana akhirnya, inisiatif yang sangat penting ini dimulakan. Tetapi semua kegembiraan kami bertukar hampa kerana keesokan harinya, beliau telah meletakkan jawatan.

Saya merayu agar YB teruskanlah inisiatif yang telah diumumkan beliau itu. Hampir 0 peratus guru menolaknya, YB. Semua guru teruja dan sangat gembira dengan pengumuman itu. Tetapi setelah YAB Dr Mahathir Mohamad mengambil alih, pengumuman itu langsung tidak diambil peduli lagi. Bagi kami para guru, itulah beza orang yang menjadi faham isi hati kami dengan orang yang tidak ambil peduli isi hati kami.

Ini semua ialah perubahan yang kami, para guru, sangat ingat dan terkesan. Sebab itu kami begitu senang dengan perubahan ini. Untuk murid-murid pula jika ingin saya tuliskan sangatlah banyak, tetapi mungkin memadai jika YB teruskan sahaja polisi Pendidikan Untuk Semua yang telah YB Dr Maszlee mulakan. Polisi itu sangatlah menyeluruh dan penting. Anak-anak OKU (Murid Berkeperluan Khas), B40, dan anak-anak tanpa dokumen semuanya diberikan tempat di dalam sistem pendidikan kita secara adil dan saksama. Tidak tahulah dasar apa lagi yang lebih baik daripada dasar ini.

Akhir sekali, saya mendoakan YB terus sukses dan kuat. Kami para guru akan menyokong apa sahaja keputusan yang baik untuk kami dan murid-murid. Pendidikan bukan untuk kita berpolitik. Pendidikan ialah tempat untuk kita berbakti sepenuh-penuhnya. Jika YB sudi mendengar cadangan, YB boleh lantik YB Dr Maszlee sebagai penasihat menteri, ia tentunya membantu YB dan KPM untuk melaksanakan dasar-dasar yang dekat dengan kami para guru.

Terima kasih, YB. Selamat berbakti!


KHADIJAH BAKTI ialah seorang guru bahasa Inggeris di kawasan pedalaman Sarawak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.