Skip to main
Logo Malaysiakini

Rakyat patut tahu duit pakej rangsangan dari mana?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sejurus selepas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyampaikan berita pemberian RM 250 bilion melalui unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) Kementerian Kewangan, Presiden PKR Anwar Ibrahim mengesyorkan agar kerajaan membawa Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) ini ke parlimen supaya dapat dibahaskan dengan lebih terperinci.

Perkara ini dibuat selaras dengan pengumuman Perdana Menteri Malaysia berkenaan pengagihan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat berjumlah RM250 bilion. 

Jumlah ini adalah sangat besar yang dikeluarkan oleh kerajaan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sedikit rumusan berkenaan dengan pakej ini, bantuan yang diberikan kerajaan sebenarnya hanyalah bernilai RM22 bilion melalui suntikan fiskal langsung. Datangnya RM250 bilion itu termasuklah RM20 bilion daripada Pakej Rangsangan Ekonomi yang lalu, moratorium pinjaman RM100 bilion, pengeluaran wang daripada Akaun 2 KWSP yang bernilai RM40 bilion, RM55 bilion dalam bentuk jaminan dan RM13 bilion daripada lain-lain sumber.

Angka nilai RM250 bilion itu juga hanyalah manfaat yang kita perolehi semasa dalam tempoh PKP ini dijalankan tetapi ia tetap perlu dibayar setelah tempoh PKP berakhir.

Berbalik kepada pembawaan pakej ini agar dibahaskan di parlimen, pakej ini harus dibahaskan di parlimen kelak selaras dengan negara yang bersistemkan demokrasi berparlimen yang menjunjung penuh fungsi parlimen.

Kita sebagai rakyat harus mengetahui dari mana sumber yang kerajaan gunakan untuk diberikan kepada rakyat, adakah RM250 bilion itu relevan sepanjang tempoh PKP ini berlangsung dan adakah negara akan mengalami defisit melalui pemberian pakej ini kepada rakyat?

Anwar Ibrahim menjelaskan lagi bahawa perkara ini dapat diawasi bagi mengelakkan ketirisan daripada berlaku. Hal ini juga dapat memberikan ruang kepada semua pihak untuk membahas dan memberikan sokongan agar pakej itu ditambahbaik lagi.

Saya bersyukur kerajaan di bawah Muhyiddin Yassin membantu meringankan beban yang kita pikul sepanjang penularan wabak Covid-19. Diharapkan juga rakyat membantu meringankan tugas kerajaan dengan cara mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan ini.


ALIF FAHMI ZAHARI ialah mahasiswa Pengajian Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.