Skip to main
Logo Malaysiakini

Bukan masanya Wan Fayhsal melabel Khawarij

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya tertanya-tanya mengapa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal masih bercakap mengenai perebutan jawatan ketua Pemuda Bersatu (Armada) berbanding tugasnya sebagai timbalan menteri belia dan sukan.

Sepatutnya dia berusaha menyediakan pelan jangka panjang yang sempurna kepada anak muda, belia dan atlet yang pasti terjejas teruk dek Covid-19 ini.

Bukan itu sahaja, kementerian belia dan sukan juga mestilah memikirkan cara bagaimana untuk mereka menangani masalah golongan terbabit selepas ancaman Covid-19 berakhir.

Bukan masanya lagi untuk Wan Ahmad Fayhsal melabelkan mana-mana anggota Armada sebagai Khawarij pada hanya kerana perbezaan pendapat ketika ini.

Untuk makluman semua, Wan Ahmad Fayhsal bukanlah exco perhubungan antarabangsa dan beliau tidak ada apa-apa jawatan sebagai exco Armada.

Beliau hanyalah seorang pegawai khas kepada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja sewaktu berada di kementerian belia dan sukan.

Saya menyeru Wan Ahmad Fayhsal - jika betul ingin membantu belia - turunlah menjenguk keadaan golongan itu yang memerlukan ketika ini melalui galakan moral dan bantuan yang boleh disalurkan kepada persatuan belia di Malaysia.

Contohnya beliau boleh memanggil beberapa pengerusi atau presiden dari Youth Power Club (YPC) , Majlis Belia Malaysia (MBM) atau Malaysian Association of Youth Clubs (MAYC) yang sebelum ini banyak membantu perjalanan anak muda dan belia kepada negara.

Saya mencadangkan agar anak muda diberi latihan tersusun untuk menjadi salah satu anggota barisan hadapan negara sewaktu kita dilanda musibah seperti banjir atau penyakit berjangkit seperti sekarang ini.

Anak muda harus berganding bahu memerangi Covid-19 bersama dan berilah ruang dan peluang kepada mereka untuk sama-sama berbakti kepada negara.

Saya menyeru agar Wan Ahmad Fayhsal berhenti dahulu daripada berpolitik - walau beliau adalah calon ketua Armada nasional yang akan diberi saingan sengit oleh exco sebenar Biro Perhubungan Antarabangsa Armada, iaitu saudara Muzammil Ismail dan ketua ketika ini, Syed Saddiq.

Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, atas Pelan Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang diumumkan baru-baru ini apabila semua kategori rakyat dititikberatkan.

Untuk itu, setiap kementerian yang terbabit mestilah memainkan peranan mereka untuk menterjemah segala akses dan cara untuk memudahkan rakyat dengan menyampaikan pelan tindakan segera melalui pakej yang kebanyakannya di serah selia kepada kementerian masing masing.


Muhammad Amiin Ridhuwan Ab Aziz ialah ketua Armada Pasir Mas.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.