Skip to main
Logo Malaysiakini

Quraizah moden mesti ditentang

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Khianat mengikut kamus Dewan Bahasa bermaksud perbuatan menganiaya orang lain atau perbuatan belot/tidak setia.

Secara mudah, khianat dapat difahami dengan erti tipu daya yang bertentangan dengan janji. Khianat adalah sifat terlaknat dan penghancur seluruh umat. Ia menjadi punca kepada kaum terdahulu ditimpa azab yang amat berat.

Islam meletakkan khianat pada tempat yang hina lagi dina, selain merupakan sebahagian dari tanda-tanda orang munafik. Allah menjelaskan orang yang beriman tidak boleh mengkhianati amanah yang telah diberikan. Ia telah tersurat dalam Surah al-Anfal ayat 27 (bermaksud): Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui.

Dalam Surah al-Hajj ayat 38 bermaksud: “Sesungguhnya Allah membela orang yang beriman; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap seorang yang khianat, lagi tidak bersyukur.”

Setelah Allah melarang perbuatan khianat, maka ayat ke-107 surah an-Nisa pula melarang berdebat dan membela orang yang khianat. “Dan janganlah engkau berdebat membela orang-orang yang mengkhianati dirinya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang selalu berkhianat lagi bergelumang dosa.”

Maka, jelaslah khianat begitu mendapat tempat yang jijik di dalam Islam.

Khianat walaupun dikeji, tetapi sifat itu tetap muncul pada setiap zaman. Dalam sejarah awal perkembangan Islam terdapat banyak siri pengkhianatan dilakukan oleh golongan Yahudi.

Mereka tetap melakukan perngkhianat walaupun diberi tempat terhormat dalam Piagam Madinah. Yahudi dan Muslimin di Madinah membuat perjanjian dalam mendirikan negara iaitu:

1: Orang Yahudi dan Muslim boleh mengatur dan menganut agama masing-masing.

2: Orang Yahudi dan Muslim wajib menolong antara satu sama lain jika Madinah diserang dari luar.

3: Kedua pihak tidak boleh berbuat jahat, saling memberi peringatan dan membuat kewajipan yang ditetapkan.

Namun yang demikian, Yahudi itu lari daripada menunaikan janjinya sendiri. Dunia Islam tidak pernah lupa pengkhianatan Yahudi dari puak Bani Quraizah.

Pengkhianatan berlaku semasa terjadinya perang Ahzab iaitu serangan pakatan suku Arab pimpinan Quraisy Mekah ke atas kaum Muslimin Madinah pimpinan Rasulullah SAW.

Setelah mendengar perkhabaran serangan Ahzab, nabi bermusyawarah dengan para sahabat dan menerima usul pemuda berbangsa Parsi - iaitu Salman al-Farisi - yang mempunyai pengalaman dalam peperangan.

Beliau mengusulkan supaya menggali parit di sekitar kota Madinah yang merupakan antara strategi perang yang unggul dalam sejarah peperangan Islam.

Peperangan kali ini membuatkan pihak kafir Quraisy bingung untuk menyerang kerana pertama kali berhadapan taktik parit. Akhirnya hanya mampu mengepung kota Madinah selama hampir satu bulan.

Tiba-tiba Bani Quraizah menunjukkan langkah pengkhianatan mereka. Secara sembunyi mereka membina hubungan dengan pakatan pimpinan kafir Quraisy.

Mereka mengkhianati Rasulullah dengan menyerang pasukan Islam dari belakang saat pasukan Islam sedang sibuk menghadapi pasukan Ahzab di hadapan.

Berita tersebut sampai kepada Rasulullah SAW sehingga baginda memerintahkan beberapa sahabat untuk meneliti kebenarannya. Jika benar, maka rahsiakan dan jika salah maka sebarkan.

Ia merupakan strategi perang saraf pasukan Muslimin terhadap pasukan sekutu menunjukkan bahawa Bani Quraizah tidak berbuat khianat. Tetapi setelah diselidiki, ternyata pengkhianatan tersebut benar.

Atas bantuan tuhan, perang Ahzab berakhir dengan terjadinya taufan yang menghancurkan perkhemahan kafir Quraisy di sekitar Madinah dan masyarakat Madinah pimpinan nabi diselamatkan oleh kuasa Rabb Al-Izzati.

Kemudian, baginda menggempur Bani Quraizah apabila berakhirnya perang Ahzab, dan berjaya mengalahkan puak pengkhianat tersebut.

Akhirnya hakim yang telah dipilih memutuskan hukuman kepada Bani Quraizah dengan dibunuh semua lelaki dewasa, manakala wanita serta anak-anak dijadikan tawanan. Segala harta mereka pula dijadikan ghanimah.

Begitulah khianat yang tiada langsung ada tempatnya dalam Islam. Perbuatan khianat juga memberikan kesan yang amat dahsyat kepada sesiapa sahaja yang dikhianati tanpa mengira individu ataupun organisasi.

Lihatlah, kerajaan yang dipilih secara sah oleh rakyat pun jatuh tersungkur kerana sikap khianat dan tamakkan kuasa sesetengah kelompok yang rakus.

Asbab khianat juga, tidak mustahil keamanan dan perpaduan yang kukuh akan runtuh berkecai apabila benih khianat tumbuh subur dalam masyarakat.

Saya pasti Quraizah moden wujud di zaman ini. Akibat daripada itu, kita wajib menentang mereka tanpa perlu berkompromi sekalipun kerana mereka hidup bertopengkan malaikat tetapi hati begitu jijik!


Khairol Najib Hashim ialah ketua Pemuda Amanah Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.