Skip to main
Logo Malaysiakini

Pengajaran Covid-19: Hindari malapetaka alam masa depan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hari ini, 22 April adalah Hari Bumi. Ianya adalah hari untuk mengingati bumi dan bagaimana kita telah memperlakukan tempat kita berteduh ini. 

Kali ini, Hari Bumi berlangsung pada masa Covid-19 melanda bumi kita, ketika ekonomi dunia tergendala, dengan sekatan serta kawalan diadakan untuk menangani kesan buruk dari pandemik kesihatan ini.

Ia juga merupakan masa ketika pelepasan gas rumah hijau dan tahap pencemaran turun di seluruh dunia, yang sukar untuk dicapai sebelumnya.

Seperti ungkapan dalam Editorial The Guardian (UK, 14 Mac): 

"Brek terhadap pelbagai jenis kegiatan ekonomi di seluruh dunia telah menyebabkan pengurangan pelepasan karbon yang sebelumnya tidak dapat difikirkan; 18 peratus di China antara Februari dan Mac; antara 40 peratus dan 60 peratus sejak beberapa minggu kebelakangan ini di Eropah,” kata akhbar itu.

'Langit membiru, sungai makin jernih'

Kita juga telah melihat laporan media dan video tentang langit, laut, sungai dan badan air yang lebih jelas dan bersih, dan kawasan bandar melihat kembali kemunculan haiwan dan burung kerana kurang lalu lintas dan kebisingan.

Di Malaysia, menteri alam sekitar dan air yang baru, Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan mengatakan bahawa tahap Indeks Pencemar Udara (IPU) turun 14 peratus untuk mencatat "indeks bersih" sementara 28 peratus daripada 29 bacaan stesen pemantauan air automatik menunjukkan peningkatan kualiti air dalam masa nyata, semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga 14 April.

Pembacaan IPU yang baik dikatakan disebabkan oleh penurunan aktiviti mencemar yang mendadak iaitu pelepasan dari kenderaan, cerobong industri dan pembakaran terbuka. Kajian juga menunjukkan bahawa suhu permukaan tanah juga berkurang di bandar, berkat PKP.

Semua kesan positif ini adalah akibat tidak sengaja daripada pandemik Covid-19 kerana sekatan yang diadakan. 

Sayangnya, apa yang belum dapat dilakukan pada masa lalu oleh kebanyakan kerajaan dalam mengatasi masalah alam sekitar, dimungkinkan melalui gerak balas terhadap krisis kesihatan yang besar akibat coronavirus baru ini.

Virus itu sendiri dipercayai muncul dari kesalahan penanganan alam sekitar, iaitu perdagangan dan penggunaan hidupan liar oleh manusia.

Laporan mercu tanda utama daripada PBB sebelumnya telah memberi amaran mengenai kemunculan atau kemunculan semula penyakit berjangkit yang disebabkan oleh peningkatan pencerobohan manusia pada persekitaran semula jadi seperti pembukaan tanah dan fragmentasi habitat, pengurangan kepelbagaian hayat (termasuk kehilangan pemangsa semulajadi organisme yang menyebarkan penyakit), amalan semasa dalam penternakan dan perdagangan hidupan liar.

Jelas, apa yang didedahkan adalah bahawa model ekonomi dan pembangunan kita sekarang tidak mampan dengan akibat negatif bukan hanya pada kualiti hidup kita tetapi mengancam keberadaan kita di bumi.

Sesungguhnya, kita mesti belajar dari apa yang kita ketahui sekarang dan memperbetulkan alirannya, ketika kita merancang strategi keluar dari wabak ini dan ketika kita merangka pemulihan ekonomi.

Memang tepat pada waktunya untuk mengingatkan amaran dan pandangan jauh yang arif daripada mendiang Martin Khor, seorang ahli ekonomi terkemuka, dan aktivis alam sekitar.

“Model pembangunan yang dominan memberi penekanan pada kegiatan ekonomi dan komersial, sementara menganggap masalah kesihatan dan alam sekitar sebagai kesan sampingan yang dapat ditangani sedikit demi sedikit ketika ianya timbul.

"Perkara ini tidak seharusnya berlaku. 'Kesan sampingan' ini akan mengatasi objektif 'arus perdana' pertumbuhan ekonomi jika kita tidak mempertimbangkan hal itu dengan lebih serius," jelas Martin.

Masyarakat pesisir bersiap, ais mencair

Memang, krisis kesihatan Covid-19 telah menenggelamkan objektif utama pertumbuhan ekonomi. Sebagai tambahan, beberapa "kesan sampingan" kepada alam sekitar dijangka dapat melakukan hal yang sama jika kita tidak menanganinya dengan segera dan serius.

Salah satu contohnya ialah kekurangan air, yang merupakan masalah berterusan yang dihadapi di banyak kawasan di negara kita. Pada masa ini, keadaan runcing di wilayah utara Semenanjung seperti di Kedah, dengan petani terjejas kerana kekurangan air dan akan membawa kesan yang teruk terhadap jelapang padi Malaysia.

Di Pulau Pinang, pihak berkuasa berdoa agar hujan dapat menambahkan paras air yang sangat rendah di empangan di negeri ini. Tanpa air yang mencukupi, kesan kepada ekonomi akan menjadi lebih teruk. 

Krisis air adalah lanjutan perubahan iklim, dengan impak yang akan menjadi bencana, bukan hanya bagi ekonomi kita tetapi juga kehidupan manusia.

Sebagai contoh, laporan ilmiah baru-baru ini telah memberikan amaran yang cukup bahawa masyarakat pesisir di seluruh dunia mesti mempersiapkan diri untuk masa depan yang jauh lebih sukar daripada yang dijangkakan pada masa ini, kerana peningkatan kadar pencairan lapisan ais utama seperti dari Greenland dan Antartika.

Namun, yang paling mengejutkan adalah kurangnya kesediaan yang cukup jelas di banyak bandar dan negara di seluruh dunia, termasuk negara kita sendiri di Malaysia, untuk menangani kemungkinan impak iklim ini. 

Lebih daripada dua di tiga bandar di seluruh dunia telah memperhatikan kesan perubahan iklim, dari gelombang panas yang bertambah hingga banjir yang semakin buruk, tetapi hanya beberapa yang mempunyai rancangan yang berkesan untuk menangani ancaman tersebut.

Tidak cukup disedari bahawa alam sekitar dan sumber asli adalah asas kepada ekonomi dan ianya menetapkan parameter berapa banyak pertumbuhan ekonomi dapat dikekalkan.

Sudah terlalu lama kita mendengar mantra popular bahawa "kita akan mempunyai pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar, dan akan meneruskan pembangunan yang mampan" tetapi realitinya, masih banyak yang harus dilakukan untuk memperbaiki haluan sekarang.

Apa yang diperlukan adalah komitmen transformatif melalui peralihan paradigma dalam sistem pengeluaran dan penggunaan yang tidak rasional masa kini, yang berdasarkan pada pembangunan lestari tulen yang memenuhi imperatif ekonomi, persekitaran dan sosial. 

Pembangunan ekonomi, penciptaan pekerjaan, dan lain-lain adalah penting tetapi harus seimbang dan berorientasi semula dengan keprihatinan terhadap alam sekitar dan kualiti hidup diutamakan dalam pembuatan keputusan.

Tangani perubahan iklim dengan serius

Malangnya, walaupun kita menyaksikan kemerosotan ekonomi global, kita masih melihat promosi pendekatan perniagaan seperti biasa, seperti kesinambungan projek mega seperti Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang sangat mahal dan projek Penambakan Pulau Pinang Selatan yang akan memusnahkan sumber perikanan dan kepelbagaian hayat laut yang tidak ternilai.

Pendekatan perniagaan seperti biasa harus berubah. Beberapa bidang kritikal di mana keutamaan mesti diberikan adalah seperti berikut.

Pertama, kita harus menangani perubahan iklim dengan serius dan memastikan hasrat dan tindakan yang cekap dalam langkah-langkah mitigasi dan penyesuaian. 

Kami menyedari bahawa kerajaan sebelumnya telah memulakan berbagai inisiatif seperti mengadakan Majlis Perubahan Iklim dan Pusat Perubahan Iklim, mendraf perundangan iklim serta merancang Rancangan Adaptasi Nasional dan lain-lain. Inisiatif positif ini harus disegerakan dan dilaksanakan dan tidak disekat oleh kerajaan baru.

Kedua, kita harus segera menangani masalah berkaitan pemuliharaan hutan dan tanah, pengurusan sungai, pencegahan dan penebatan banjir, dan dalam memastikan bekalan air yang cukup, secara bersepadu.

Hutan dan pokok adalah asas ekologi, bekalan dan pengurusan air dan kepelbagaian hayat. Pemusnahan hutan, termasuk bukit, untuk pembalakan, perladangan atau projek komersial lain harus dihentikan atau dikurangkan secara drastik kerana sudah terlalu rakus.

Sudah tentu tidak ada aktiviti komersial yang lebih penting daripada memulihara hutan dan melindungi tanah kita. Ianya membantu dalam pencegahan banjir yang memerlukan berjuta-juta jika tidak berbilion-bilion ringgit untuk membersihkan dan memulihkan kawasan.

Di samping itu, pencegahan banjir juga harus melibatkan mengubah kawasan bandar kita menjadi "sponge city", dengan langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan secara signifikan penyerapan air hujan ke bawah tanah daripada mengalir ke sungai yang melimpah sehingga menyebabkan banjir kilat.

Langkah-langkah ini boleh meliputi penambahan bilangan padang dan taman, menanam pokok, dan membuat kakilima dan jalan yang telap supaya air dapat diserap ke dalam tanah. Air hujan juga dapat dikumpulkan di tangki simpanan besar di bawah tanah untuk digunakan kemudian, seperti yang dilakukan di negara lain.

Langkah-langkah hijau dan infrastruktur ini akan menelan belanja wang, tetapi melabur di dalamnya adalah wang yang dibelanjakan dengan baik dan ada dana antarabangsa yang tersedia untuk langkah-langkah tersebut.

Amat dikesalkan kerana penekanan diberikan dalam pembinaan lebuh raya dan bangunan konkrit. Apa yang diperlukan sekarang adalah pelaburan untuk membaik pulih lereng bukit dan hutan yang musnah, memulihara kawasan tadahan air, dan membangunkan infrastruktur hijau, untuk mencegah banjir dan untuk memulihara, menyimpan dan stor air dan meningkatkan daya tahan kepada perubahan iklim.

Keutamaan ketiga adalah kawalan pencemaran dan produk toksik, bahan kimia dan sisa. Kita telah menhadapi kes-kes pencemaran udara dan air yang serius. Kes Sungai Kim Kim adalah peringatan suram mengenai bahaya toksin di persekitaran terhadap kesihatan orang awam dan anak-anak sekolah.

Kita telah berusaha untuk mengurangkan penggunaan plastik dan pengimportan sisa plastik. Kita tidak harus melambatkan tindakan sekarang dan mesti meningkatkan usaha untuk memastikan bahawa manfaat yang dicapai setakat ini tidak disia-siakan dan kita tidak menjadi leka.

Akta Kualiti Alam Sekeliling dan peraturan di bawahnya adalah dalam preoses pengkajian semula. Usaha dalam hal ini harus diteruskan dan tidak dihentikan. Kita memerlukan Akta Perlindungan Alam Sekitar yang ditambah baik yang menangani kelemahan undang-undang sebelumnya, termasuk yang berkaitan dengan peraturan mengenai penilaian kesan kepada alam sekeliling.

Juga penting adalah isu seperti tenaga (mengenai keperluan untuk beralih kepada tenaga boleh diperbaharui); menggantikan teknologi yang mencemar dengan teknologi yang mesra alam; melindungi persekitaran laut dan tanah lembap; memulihara kepelbagaian hayat, fauna dan flora; dan menggantikan pertanian berasaskan kimia dengan pertanian lestari.

Ini adalah cabaran besar tetapi diperlukan lebih daripada sebelumnya kerana tidak banyak perhatian dan sumber yang diberikan kepada isu-isu ini pada masa lalu.

Kita seharusnya tidak lagi melihat persekitaran dan ekologi sebagai isu sampingan tetapi harus menjadikannya aspek utama dalam pengambilan keputusan jika kita ingin menghindari malapetaka di masa depan yang akan membawa kepada bencana ekonomi dan kesihatan.


MEENAKSHI RAMAN ialah Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.