Skip to main
Logo Malaysiakini

Sudah tiba masanya sistem peperiksaan diubah

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sejak keris dijulang di tanah air sehingga kini tiada perubahan dalam sistem pendidikan. Pelajar dari tahun satu sehingga tingkatan lima wajib mengambil peperiksaan yang telah ditetapkan. Pada tahun 2019 semua peperiksaan untuk rendah bawah iaitu tahun satu hingga tiga telah dihapuskan.

Namun apabila kita berbicara soal peperiksaan bermula dari tahun empat sehingga tingkatan lima semua dinilai dengan 100 peratus keputusan akademik. Adakah itu pendidikan?”

Di sekolah murid tidak pernah didedahkan tentang kehidupan moden atau kehidupan realiti mengikut peredaran zaman. Apa yang didedahkan adalah ilmu yang bersumberkan buku teks semata-mata.

Mereka tidak pernah diajar secara praktikal bagaimana untuk bercakap di khalayak orang ramai, hendak bertahan dengan kehidupan yang penuh dengan pancaroba, untuk mengundi apabila sudah berumur 18 tahun dan paling penting bagaimana untuk kawal emosi dan tekanan apabila ia melanda.

Kesemua perkara ini lebih penting daripada bagaimana mencari mol dalam kimia, hafal formula teorem pythagoras dalam matematik, dan habiskan masa berjam-jam untuk menghafal nama dan nombor dalam semua subjek.

Secara realitinya juga, murid pada hari ini akan dipaksa untuk memasuki ke kelas yang mereka tidak minat sesama sekali. Mereka akan dikelaskan mengikut keputusan PT3.

Sebagai contoh mereka yang mendapat keputusan yang cemerlang akan ditempatkan ke aliran sains dan selebihnya akan dimasukkan ke perniagaan, akaun dan lain-lain. “Adakah itu adil ?”

Saya mengalami depresi dan tekanan disebabkan saya tidak dapat memilih aliran yang saya inginkan. Walaupun sudah mengambil ujian sikometrik sebanyak dua kali namun sudah terang lagi bersuluh saya bukan seorang pelajar yang cenderung ke arah sains.

Hampir setahun saya sengsara dengan aliran yang bukan pilihan saya sehingga kini. Apa yang lebih parah pada hari ini dengan situasi Covid-19, SPM ditangguhkan namun masih lagi 100 peratus akademik.

Pernahkah kita sedar seketika SPM bukanlah untuk menguji tahap kepandaian seseorang namun ia adalah penutup untuk melengkapkan proses pembelajaran di alam persekolahan jadi soalan saya, “kenapa ia wajib 100 peratus akademik ?”

Sekolah pada hari ini bukan memfokuskan kemenjadian murid namun, apa yang lebih penting secara realiti ialah guru-guru dapat menghabiskan semua bab sebelum akhir tahun demi persediaan peperiksaan akhir tahun semata-mata.

Bercerita berkenaan SPM, terdapat beberapa isu yang sensitif dan tidak dibenarkan untuk menjadi salah satu isi dalam karangan mahupun dalam menjawab soalan KBAT iaitu politik atau konflik yang sedang berkicauan di negara kita masa demi masa.

Persoalannya kenapa ia sensitif ? Bukan setakat itu sahaja, dalam SPM juga secara amnya walaupun jawapan seseorang murid itu betul dan logik namun sekiranya tidak ada dalam buku teks ia dikira salah.

Situasi yang kedua ialah walaupun jawapan betul namun cara jawabnya salah ia dikira satu kesalahan adakah itu adil? “ Kami bukan robot”

Kenapa sistem peperiksaan hanya mengharapkan kesempurnaan? Berapa ramai lagi murid yang akan mengalami tekanan dan depresi. Dalam pepeperiksaan sepatutnya tiada gred yang boleh diukur untuk menguji tahap kepandaian seseorang.

Hal demikian kerana pendidikan di sekolah adalah untuk belajar dan tidak wajar untuk dikatakan murid yang mendapat markah bawah 40 dikira gagal sebaliknya huruf F membawa maksud “find another answer” dan bukannya “fail”.

Konklusinya, sudah tiba masanya kerajaan mengubah dasar dan polisi peperiksaan terutamanya SPM.

Mereka merupakan generasi yang akan memimpin negara kita ke arah yang lebih baik, 100 peratus masa depan negara kita terletak di tangan dan minda mereka, jadi hentikanlah buli yang melanda anak-anak pada hari ni dengan tidak mendidik mereka menjadi satu robot produk kualiti A.

Dalam situasi Covid-19 sekarang pasti ramai di kalangan kami megalami kerisauan bagaimana untuk belajar dan habiskan silibus sebelum tahun depan, namun kerisauan ini tidak wajar melanda kerana pendidikan yang betul bukan untuk peperiksaan semata-mata tetapi untuk masa depan yang cerah dan takrifan kemenjadian seorang manusia.

Itu yang lebih penting.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.