Skip to main
Logo Malaysiakini

Menyusuri lantikan Hishammuddin sebagai menteri luar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ramai yang melihat pelantikan Hishamuddin Hussien sebagai menteri luar pada Mac lalu merupakan satu penyisihan oleh parti Umno sendiri. Tanggapan ini tidak dielakkan kerana Hishammudin sebelum ini menjawat jawatan-jawatan lebih kanan seperti menteri pendidikan, menteri dalam negeri dan menteri pertahanan.

Namun ramai juga yang beranggapan kedudukan Hishamuddin sebagai menteri luar adalah satu keputusan strategik, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin, bagi memulihkan dasar luar Malaysia.

Sepanjang dua tahun lalu, hubungan luar Malaysia dengan beberapa negara seperti Arab Saudi, India, Amerika Syarikat dan China berada dalam keadaan yang agak dingin. Kekurangan pengalaman dan kematangan pentadbiran sebelum ini memperlihatkan kegagalan jalan-jalan diplomasi.

Pada Ogos 2018 Kerajaan telah menutup Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) dan memanggil pulang pasukan tentera Malaysia di Riyadh, Arab Saudi yang menandakan keretakan hubungan Kuala Lumpur-Riyadh.

Kedinginan hubungan ini bukanlah kepada keputusan tersebut, tetapi lebih kepada cara pengumuman kedua-dua keputusan ini dibuat dan diumumkan kepada media.

Ini telah menimbulkan desas desus bahawa Arab Saudi mahu menarik balik pelaburan di Pengerang.

Malah portal Malaysia Insight ketika itu melaporkan kerajaan telah menggunakan Hishamuddin sebagai orang tengah memulihkan hubungan terbabit.

Walaupun laporan tersebut telah dinafikan oleh Kementerian Luar Negeri Malaysia dan Hushamuddin sendiri, namun ada tanggapan ini hanya bagi menjaga air muka kerajaan.

Pada 2019 juga menyaksikan kuota jemaah haji Malaysia sebanyak 12,000 yang diperolehi sejak 2017 telah tidak diberikan lagi.

Tidak cukup itu, tindakan Malaysia menganjurkan KL Summit 2019 juga merenggangkan lagi hubungan kedua-dua negara. Malah ia mencetuskan pertelagahan antara menteri luar Malaysia dan Arab Saudi di Twitter.

Hishamuddin diketahui umum mempunyai hubungan rapat dengan keluarga di raja Arab Saudi. Pada Disember 2019, Hishamuddin telah bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Bin Salman. Hishammuddin memuat naik video pertemuan tersebut bersama kenyataan “Happy to be able to catch up with a very good friend and brother.”

Hubungan dengan India turut dingin berikutan beberapa siri kritikan keras pentadbiran lalu terhadap negara itu. Ini diikuti dengan tindak balas India secara tidak rasmi dalam perdagangan minyak sawit.

Majalah The Diplomat (20 April 2020) menyifatkan “India’s relations with Malaysia took a downward path under the previous Pakatan Harapan government headed by Mahathir Mohamad.

Diplomatik telesidang

Ketika Hishamuddin mengambil alih jawatan menteri luar dan dunia sedang menuju ke arah sekatan pergerakan. Ini menyebabkan beliau tidak mempunyai kesempatan melakukan lawatan kerja bagi memperbaiki hubungan diplomatik.

Dalam masa yang sama Kementerian Luar Negeri Malaysia (Wisma Putra) pula perlu membantu rakyat Malaysia yang terperangkap di seluruh dunia. Ini bukan jalan mudah kerana ia membabitkan pelbagai kerenah birokrasi susulan sekatan perjalanan oleh sebahagian besar negara.

Namun pengalaman dan jaringan antarabangsa Hishamuddin ketika menjadi menteri pertahanan telah memberi kelebihan kepada Wisma Putra.

Rangkaian persahabatan antarabangsa Hishammudin dan kecekapan kakitangan Wisma Putra termasuk kedutaan di luar negara telah memungkinkan banyak kerenah biroksi diselesaikan melalui telesidang sahaja.

Dalam keadaan hubungan dingin, Hishammudin berjaya menguruskan kepulangan 80 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Arab Saudi dengan perjalanan ini dibiayai sepenuhnya oleh Arab Saudi.

Wisma Putera dengan kerjasama MIC dan pelbagai pihak turut berjaya membawa pulang ribuan rakyat Malaysia, terutama pelajar, yang terkandas di India sejak sekatan pergerakan Mac lalu.

Wisma Putra turut meyakinkan kerajaan India untuk memberi ruang kepada Malaysia menghulurkan bantuan konsular kepada Jemaah Tabligh Malaysia yang ditahan bagi memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara. Ini termasuk pemberian bantuan dari segi makanan, ubat-ubatan, barangan asas harian dan bantuan guaman.

Melihat media sosial Hishammuddin sepanjang dua bulan ini tidak kurang 100 telesidang telah diadakan dengan rakan sejawat dan diplomat asing. Ini telah memudahkan urusan membawa pulang lebih 14 ribu orang warga Malaysia yang terperangkap di 70 buah negara asing.

Ketika seluruh dunia berhadapan lockdown, Hishammuddin memimpin Wisma Putra memudahkan urusan imigresen dan kebenaran penerbangan bagi membantu membawa pulang pelajar dan warga negara kita yang berada di negara-negara sukar.

Hishammuddin turut mengadakan inisiatif di luar jangka dengan mewujudkan Malaysian Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) yang merupakan kerjasama pintar Wisma Putra dan pihak swasta bagi menyediakan peralatan perubatan untuk semua petugas barisan hadapan di setiap kedutaan Malaysia di serata dunia.

Krisis Laut China Selatan

Tidak cukup isu pandemik ini, hubungan luar turut diuji dengan tindakan ‘agresif’ kapal perang China di Laut China Selatan.

Berbanding membuat kenyataan semberono seperti “when elephant fight the grass will suffer’, Hishammuddin mengingatkan China dalam bahasa diplomatik.

“Malaysia berpegang kepada pandangan bahawa Laut China Selatan seharusnya kekal aman menjadi laluan pedagang. Oleh itu apa-apa isu melibatkan Laut China Selatan seharusnya diselesaikan secara aman berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982.”

Mereka yang mengkritik kenyataan ini mungkin tidak memahami bahawa tugas menteri luar adalah bertujuan menjaga hubungan diplomatik dan mencari jalan perdamaian, kecuali sudah diputuskan kerajaan untuk ‘bergaduh’.

Sungguhpun tempoh dua bulan terakhir ini mungkin merupakan antara detik sukar kepada seluruh kakitangan Wisma Putra, namun ia juga menunjukkan dasar luar negara kini lebih matang dan berwibawa.

Bagi Hishammuddin sendiri, menteri luar ini merupakan laluan kepada empat orang perdana menteri. Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussien Onn dan Tun Abdullah Ahmad Badawi semua teruji atas pentas menteri luar.

Melihat kemampuan Hishammuddin ketika mengendalikan krisis kehilangan MH370 enam tahun lalu, kita boleh beranggapan Kementerian Luar Negeri akan mempunyai kegemilangan tersendiri pada masa hadapan.


AB JALIL BACKER merupakan presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar) dan penganalisis politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.