Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah medan terbaik selesai isu 'kerajaan tebuk atap'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin konsep pengasingan kuasa antara legislatif (parlimen), eksekutif (kabinet termasuk perdana menteri) dan sistem kehakiman (mahkamah).

Ketiga-tiga institusi di atas bergerak secara bebas di atas landasan doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Di atas ketiga-tiga institusi yang bebas ini ada Yang di-Pertuan Agong dengan fungsi fungsi yang telah di nyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi Perlembagaan Persekutuan juga ada Majlis Raja-Raja yang melantik Yang Di Pertuan Agong. Sekiranya ada apa-apa keperluan Majlis Raja-Raja boleh menukar/ memecat Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong juga boleh dihadapkan ke Mahkamah Jenayah atau Sivil Khas sekiranya ada apa-apa isu salah laku jenayah ataupun sivil. Ini juga dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas.

Parlimen asalnya di jadualkan bersidang pada bulan Mac 2020 di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun selepas berlaku jenayah serius 'rampasan kuasa' pada sekitar 23hb Februari 2020 yang mana rampasan kuasa merupakan pelbagai jenayah di bawah Kanun Keseksaan.

Parlimen ditunda kepada 18hb Mei 2020 oleh 'kerajaan haram' yang tidak di pilih rakyat yang di beri julukan kerajaan tebuk atap ini.

Selepas itu, parlimen juga dilapor akan bersidang cuma sehari iaitu untuk mendengar titah ucapan Yang di-Pertuan Agong yang akan membacakan teks titah yang asasnya disediakan oleh pihak kerajaan yang tidak dipilih oleh rakyat itu.

Kerajaan yang ada ialah kerajaan yang lahir daripada perbincangan sesama ahli parlimen tanpa mengambil kira langsung kehendak rakyat yang keluar mengundi pada Pilihanraya umum ke 14.

Ahli-ahli parlimen yang melakukan perubahan ini boleh didakwa atas kesalahan pecah amanah jenayah iaitu, amanah yang di beri oleh rakyat telah mereka pecah dengan menjatuhkan kerajaan yang di pilih secara sah secara demokrasi yang merupakan sekurangnya ada tiga kesalahan di bawah Kanun Keseksaan iaitu:

Sabotaj demokrasi negara dengan menjatuhkan kerajaan yang di pilih secara sah menerusi pilihan raya.

Bohong pada Agong boleh dianggap isytihar perang 

Sabotaj ekonomi negara dengan menjatuhkan kerajaan yang sah di pilih menerusi pilihan raya di mana beberapa hari pertama selepas rampasan kuasa media melaporkan nilai pasaran kerugian RM43 bilion malah kini telah rugi jauh lebih tinggi.

Kegagalan membuktikan jumlah sokongan kepada kerajaan tebuk atap ketika mengadap Yang di-Pertuan Agong namun dengan selamba meyakinkan Yang di-Pertuan Agong tentang jumlah sokongan ketika itu bermaksud satu pembohongan telah dilakukan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pembohongan kepada Yang di-Pertuan Agong boleh dianggap sebagai mengisytihar perang kepada Yang di-Pertuan Agong yang merupakan kesalahan jenayah yang amat berat di bawah Kanun Keseksaan.

Menteri yang menjaga hal ehwal parlimen dipetik media sebagai berkata parlimen ditetapkan sehari atas nasihat Kementerian Kesihatan atas alasan wabak Covid-19.

Bagaimanapun, keesokan harinya, ketika sidang media harian oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah beliau menafikan ada memberi sebarang arahan, beliau tidak campurtangan hal-hal polisi pendabiran negara.

Justeru tindakan menghina parlimen boleh di ambil terhadap menteri berkenaan serta rakyat yang beliau wakili juga boleh mengambil tindakan jenayah dan sivil. Jenayah kerana cubaan mensabotaj demokrasi berparlimen dengan berbohong dan mengelirukan masyarakat manakala sivil untuk tuntutan 'kerosakan' bagi setiap orang yang di wakilinya di kawasannya kerana telah memusnahkan harapan pengundi untuk beliau bertugas dengan jujur dan amanah maka para pengundi terpaksa menanggung kerugian selama mana beliau masih menjadi Menteri dan melakukan pelbagai kerosakkan pada negara.

Apa sebab tak yakin?

Begitu juga dengan semua yang menjatuhkan kerajaan, para pengundi di kawasan masing masing boleh cuba mendapakan pelbagai kategori ganti rugi kerana merosakkan negara yang jika pengundi tahu akan berlaku demikian mereka tidak akan memilih beliau sebagai wakil rakyat.

Tindakan pecah amanah jenayah juga boleh diambil dengan membuat laporan polis terhadap ahli ahli parlimen yang 'merampas kuasa' dan bersubahat dengan parti-parti yang kalah pilihanraya umum ke 14.

Seterusnya agenda parlimen sehari turut diubah di mana selepas titah terus berakhir sedangkan sebelum ini ada persidangan urusan kerajaan tebuk atap.

Apakah yang menyebabkan selepas ditukar dari bulan Mac ke Mei pun pihak kerajaan tebuk atap masih tidak yakin untuk meneruskan sidang parlimen?

Sedarkah mereka yang segala perbelanjaan wang negara adalah tidak sah? Mereka tidak boleh membentangkan Rang Undang Undang Perbekalan Tambahan untuk di ‘back-date’ dengan ‘restropective- effect’ kerana Akta Perbekalan yang asal di bentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) bukannya kerajaan tebuk atap.

Cuma kerajaan asal iaitu PH saja yang boleh membentangkan Rang Undang Undang Tambahan kerana Akta Perbekalan yang asal di luluskan oleh kerajaan PH.

Justeru apakah belanja yang hendak di tambah kerana kerajaan tebuk atap belum mempunyai belanjawan mereka sendiri selepas merampas kuasa? Oleh demikian segala perbelanjaan mereka menggunakan dana negara sekarang boleh dianggap melakukan kesalahan jenayah pelbagai kategori bawah Kanun Keseksaan dan juga kerugian dana negara yang boleh dituntut menerusi tindakan sivil.

Parlimen terbubar jika tak panggil sidang 18 Mei

Kesalahan-kesalahan jenayah serius ini boleh diambil tindakan secara proaktif oleh kesemua badan penguatkuasaan undang-undang termasuk PDRM dan ATM tanpa perlu merujuk kepada menteri yang bertanggungjawab menjaga logistik PDRM dan ATM kerana mereka adalah sebahagian daripada sistem kerajaan tebuk atap yang muncul selepas jenayah 'rampasan kuasa'.

Dunia memerhati tahap ketegasan badan-badan penguatkuasaan undang-undang kita yang sebatutnya melakukan tugas dengan jujur, amanah serta without fear or favor memandangkan segala peralatan kelengkapan logistik badan badan penguatkuasaan undang undang dibiayai oleh rakyat Malaysia yang membayar pelbagai cukai kerajaan dan juga contohnya membeli setem dan lain lain lagi yang merupakan pendapatan kepada kerajaan yang sebahagiannya dibelanjakan untuk membiayai PDRM dan ATM termasuklah gaji serta elaun.

Justeru, melindungi rakyat serta pengundi yang menegakkan sistem demokrasi negara menerusi sistem pilihan raya amat penting sekali. Ini kerana rakyat cuma bergantung harap kepada badan-badan ini untuk berlaku adil bukannya 'perampas kuasa' yang akan bermuka-muka mulut manis kerana mereka sedar bila-bila masa mereka boleh diangkut ke dalam trak orang salah oleh pihak penguatkuasa undang-undang.

Seterusnya amatlah pelik jika sidang parlimen disingkatkan atas alasan 'masalah penjarakan sosial' sedangkan hampir kesemua sektor ekonomi telah dibuka. 

Adakah kompleks membeli belah lebih penting daripada parlimen?

Justeru, penguatkuasa undang-undang boleh proaktif dengan menahan semua perampas kuasa dan menyerahkan kembali kuasa kepada kerajaan sah yang dipilih rakyat pada PRU14 yang lalu.

Adakah tujuan mengadakan sidang parlimen cuma bagi mengelakkan terbubarnya parlimen jika tidak dipanggil bersidang untuk mendengar titah?

Ujian terbaik sokongan PM di parlimen

Yang di-Pertuan Agong pada asasnya bertindak atas nasihat perdana menteri. Bagaimanapun apabila status perdana menteri dan kerajaan tidak jelas maka Yang di-Pertuan Agong boleh mendapatkan nasihat daripada Panglima Angkatan Tentera mungkin bertujuan untuk menitahkan perdana menteri memperbetulkan keadaan dengan cara baik dan juga menitahkan perdana menteri akan patuh pada sumpah yang di angkat ketika di lantik menjadi perdana menteri.

Yang di-Pertuan Agong ketika melantik perdana menteri tempohari melantik bersandarkan frasa dalam Perlembagaan Persekutuan yang mana baginda fikirkan dalam pemikiran baginda "is likely to command the majority support from Members of Parliament" iaitu sekadar "likely" sahaja bukannya "definitely crystal clear sure."

Maknanya boleh jadi ada, boleh jadi tiada sokongan majoriti justeru lokasi terbaik untuk menguji sokongan selepas dilantik adalah di Dewan Rakyat.

Jika Dewan Rakyat tidak boleh berbuat demikian kerana sidang pelik untuk mendengar titah Tuanku yang teksnya biasanya disediakan oleh kerajaan yang memerintah dan ketika ini ialah kerajaan tebuk atap.

Amat juga pelik untuk menteri yang menjaga parlimen merujuk kepada sidang-sidang Dewan Undangan Negeri yang biasanya pendek dan singkat. Itu adalah amalan biasa kebanyakan sidang Dewan Undangan Negeri untuk bersidang sehari dua sekalipun tiada wabak Covid -19.

Mana boleh disamakan dengan Dewan Rakyat yang menjaga kesemua negeri di seluruh Malaysia dengan pelbagai hal yang termaktub dalam senarai persekutuan (federal list) dan senarai bersama (concurrent list), di bawah jadual berkaitan Perlembagaan Persekutuan.

Parlimen adalah badan bebas dengan kuasa Dewan Rakyat di tangan Speaker Dewan Rakyat. Speaker Dewan Rakyat itu di lantik dengan persetujuan majoriti ahli ahli Dewan Rakyat bagi menjamin agar kuasa Speaker Dewan Rakyat terjamin bebas dan tidak boleh di pengaruhi oleh mana mana ahli Dewan Rakyat.

Ini penting untuk menjaga prinsip pengasingan kuasa yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Sekalipun perdana menteri adalah ketua majlis mesyuarat Dewan Rakyat tetapi perdana menteri adalah dari badan eksekutif yang turut secara kolektif bertanggungjawap dan tertakluk pada parlimen tanpa boleh sesuka hati membuat keputusan untuk melindungi kepentingan peribadi yang boleh di anggap mengatasi kepentingan negara dan kepentingan keadilan.

Artikel 43(3), Perlembagaan Persekutuan menyebut, "political executive is collectively responsible to parliament." Oleh itu, untuk menjadi bertanggungjawab mestilah menerusi tindakan-tindakan yang tidak merugikan negara.

Mengadakan sidang parlimen memerlukan perbelanjaan yang agak besar dan alangkah ruginya jika ianya di bazirkan untuk datang tanpa ada agenda khusus untuk ahli ahli parlimen kecuali mendengar titah ucapan tuanku yang disediakan oleh kerajaan yang memerintah.

Prof Emeritus Dr Shad Faruqi (gambar, atas) iaitu pemegang Kerusi Tunku Abdul Rahman, di Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya dalam buku beliau mengenai Perlembagaan Persekutuan, Document of Destiny terbit pada 2008, lama sebelum wujudnya kerajaan tebuk atap telah menulis:

"A cabinet that conduct itself totally against the wishes of Parliament may be defeated and removed from office by a vote of no-confidence in the Dewan Rakyat."

Kuasa mengendalikan Dewan Rakyat terletak di tangan Speaker Dewan Rakyat sepenuhnya dan tiada mana-mana cabang eksekutif termasuk menteri yang menjaga hal ehwal parlimen sekalipun tidak berhak mencampuri urusan perjalanan Dewan Rakyat dan cara ianya di kendalikan speaker.

Agenda boleh disediakan kerajaan yang memerintah namun bila terdapat usul-usul penting yang mendesak atas kepentingan umum (public interest), ianya kuasa speaker sepenuhnya untuk membuat keputusan di mana pihak-pihak yang tidak berpuas hati, dipersilakan berhujah dan berdebat sampai Subuh sekalipun.

Apakah kerana ketiadaan hujah maka pihak yang 'merampas kuasa' fikir mereka boleh melanggar Perlembagaan Persekutuan, undang undang tertinggi di negara ini yang mengatasi apa-apa kertas bercorak kepentingan peribadi dan kuncu-kuncu 'perampas kuasa' yang di keluarkan oleh pejabat perdana menteri sekalipun.

Justeru kedegilan eskekutif untuk meneruskan sesi Dewan Rakyat dengan sekadar titah Tuanku patut dibawa ke mahkamah segera kerana badan ketiga yang sepatutnya bebas daripada pengaruh eksekutif ialah sistem kehakiman/ mahkamah.

Mahkamah boleh membuat keputusan dengan without fear or favor kerana kebebasan mahkamah di jamin sepenuhnya oleh Perlembagaan Persekutuan. Jika kesemua sekali hakim ingin menjaga nama baik mereka sekurang-kurangnya di mata ahli keluarga mereka, maka mereka boleh menjalankan tugas tanpa rasa terhutang budi kepada eksekutif.

Ini sekalipun ada yang sudah mendapat pelbagai gelaran dan penghormatan. Pengiktirafan itu kerana jasa dan kerja mereka yang baik. Itu sahaja. Golongan profesion perundangan majoritinya berdiri teguh di belakang sistem kehakiman dan pendakwaan yang bebas yang baru di pulihkan sebelum 'rampasan kuasa' justeru teruskan khidmat cemerlang - without fear or favor.

Ingat api neraka sebelum tersilap. Jika sesuatu perkara dilakukan oleh eksekutif terhadap kebebasan kehakiman dan pendakwaan Insyaallah dengan kembalinya kerajaan yang betul kesemuanya akan dipulihkan dengan penghormatan sebagai hero dan heroin negara, Insyaallah.

Akhir kalam, mahkamah adalah lokasi terbaik untuk mendapatkan keadilan menerusi akibat perbuatan tidak menentu para perampas kuasa sekalipun setelah bersabar mematuhi kehendak mereka sendiri yang menangguhkan sidang asal dari bulan Mac 2020 ke 18 Mei 2020.


SAIDINA UMAR AL KHATTAB JUNIOR ialah nama pena kepada seorang peguam bela dan peguam cara di Kuala Lumpur

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.