Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tolong beri laluan pada BN di Chini - KAF

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ekoran kekosongan kerusi N23 DUN Chini setelah kematian allahyarham YB Abu Bakar Harun pada 7 Mei yang lalu, Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) telah menetapkan pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini ditetapkan pada Sabtu, 4 Julai.

Tarikh penamaan calon ialah pada 2 Jun dan pengundian awal akan diadakan pada 30 Jun.

Sesungguhnya pemergian allahyarham Abu Bakar amat dirasai oleh seluruh rakyat Pahang khasnya Gugusan Felda Chini.

Beliau merupakan wakil rakyat yang komited dengan tugas dan berjaya menjalankan tanggungjawab yang diberikan, banyak berbakti dan menabur jasa kepada pengundi pengundi di DUN Chini.

Khidmat cemerlang beliau terbukti dengan berjaya mempertahankan DUN Chini sejak mula bertanding pada PRU ke-11 sehingga PRU14.

Beliau memperoleh majoriti besar dengan memperolehi 4,622 undi menewaskan Mohd Razali Ithnain dan Mohd Fadhil Noor Abdul Karim.

Memandangkan negara ketika ini sedang bertungkus lumus melawan wabak pendemik Covid-19, nyawa dan kesejahteraan rakyat adalah wajar menjadi fokus utama semua pihak.

Negara juga tidak dapat lari dari masalah ekonomi memandangkan banyak aktiviti ekonomi terjejas akibat pendemik Covid.

Sehubungan dengan itu KAF menyeru agar parti-parti politik sama ada dari Pakatan Harapan mahupun mana-mana calon bebas tidak bertanding pada PRK N23 Chini dan memberi laluan kepada BN selaku penyandang jawatan.

Tindakan tidak bertanding akan menjimatkan perbelanjaan SPR sebanyak RM4.3 juta yang boleh digunakan bagi tujuan lebih penting seperti pembangunan ekonomi.

Prestasi cemerlang calon BN yang diwakili oleh allahyarham selama empat penggal bermula PRU ke 11 hingga PRU 14 menunjukkan N 23 DUN Chini bawah parlimen Pekan merupakan kubu kuat BN sejak sekian lama.

Kesediaan parti-parti politik dari Pakatan Harapan mahupun calon bebas memberikan laluan kepada BN selaku penyandang kerusi N23 akan memberikan banyak faedah kepada rakyat kerana semua pihak perlu fokus membantu rakyat dan ekonomi yang terjejas akibat Covid-19.

Diharapkan semua pihak berjiwa besar bersama menghadapi ancaman Covid-19 dan mengelakkan kewujudan kluster DUN Chini atau Kluster PRK.

Selesaikanlah ancaman pandemik yang kritikal ini dahulu dan selepas itu kembalilah semua parti ke medan pilihan raya bagi mendapat undi rakyat.


AHMAD SHAHRIL ZAILUDIN ialah pengerusi Kami Anak Felda (KAF) Felda Chini Timur 1.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.