Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Lebih baik tiada pertandingan di Chini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada 15 Mei lalu Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun mengumumkan pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai ini.

Kita sedar bahawa Perkara 22(1) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Pahang mengesahkan sesuatu kerusi DUN akan menjadi kosong disebabkan oleh kematian wakil rakyatnya.

Kita juga akur bahawa Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan supaya perlu diadakan PRK dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan berlaku.

Mengikut perkiraan, kekosongan bagi kawasan Chini ini berlaku lebih dari dua tahun sebelum berakhir tempoh penggal pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

Namun begitu dalam usaha kita secara bersama untuk menangani penularan wabak Covid-19, menjadi kewajipan kepada kita untuk menyelamatkan nyawa manusia berbanding tuntutan dan kehendak lain.

Ini selaras dengan maqasid syariah yang dituntut Islam supaya menjaga nyawa dan keselamatan diri.

Tidak perlu lagi dihuraikan apakah wabak Covid-19 ini kerana bukan segelintir orang yang terkesan dengannya, malah di seluruh dunia semuanya terjejas teruk.

Ramai yang kehilangan sumber pendapatan, menganggur dan paling menyedihkan ialah mereka kehilangan anggota keluarga dan insan tersayang disebabkan oleh wabak tersebut.

Justeru kami dari Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PPUGFM) terpanggil untuk menyarankan agar tidak perlu wujud pertandingan bagi kerusi DUN Chini.

Biarlah DUN Chini terus diwakili oleh wakil dari Umno sehingga tempoh penggal PRU ke-14 ini berakhir.

Keputusan PRU lalu bagi DUN Chini juga menunjukkan bahawa sokongan pengundi kepada Umno - yang diwakili Allahyarham Abu Bakar Harun - mendapat majoriti yang besar.

Jika diambil kira kewujudan Muafakat Nasional pada masa kini, sudah tentu kita dapat mengagak parti manakah yang menjadi pilihan para pengundi buat masa ini.

Adakah saranan ini berlawanan dengan semangat demokrasi?

PPUGFM bukannya menidakkan tuntutan demokrasi bahkan kami sangat menyanjung tinggi amalan berkenaan di negara ini. Namun jika SPR mempunyai kaedah lain pada masa akan datang dan dibenarkan undang-undang untuk menjalankan pilihan raya secara dalam talian misalnya, maka kami amat menyokong usaha berkenaan supaya amalan demokrasi ini diangkat ke tempat selayaknya.

Namun, buat masa ini adalah lebih baik untuk tidak ada pertandingan bagi mengelakkan bencana yang lebih buruk kepada rakyat dan negara.

Marilah kita bersama-sama putuskan rantaian Covid-19 secara bersungguh-sungguh dan bersepadu. Insya-Allah kita akan menang.


MOHD ROSIDI HASSAN ialah presiden Persatuan Pengamal Undang-undang Generasi Felda Malaysia (PUGFM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.