Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Ke mana nasyid kita nak dibawa?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Beberapa hari lepas, bekas mufti Wilayah Persekutuan yang kini menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri mengutarakan pelan khusus untuk membangunkan semula industri nasyid demi meningkatkan perkembangan psikospiritual masyarakat.

Saya melihat idea dibawa menteri bekas mufti itu sedikit absurd memandangkan terdapat banyak lagi masalah lain yang menuntut penyelesaian segera selepas terjejas teruk akibat Covid-19.

Misalnya isu berkaitan hal ehwal keagamaan yang sememangnya berada di bawah portfolio Dr Zulkifli Mohamad.

Saya secara peribadi begitu dekat dengan nasyid. Ia seakan-akan menjadi darah daging semasa zaman bersekolah dulu.

Kalau terjatuh sewaktu bermain basikal, darah yang keluar dari luka itu akan dilayan mengikut alunan Bayyati dan Nahawand. Apabila berjalan, mandi serta mundar mandir, gema nasyid sahajalah yang berkumandang dalam kepala.

Pendek kata, serba-serbi hidup ini matlamat serta perjuangannya adalah nasyid. Saya juga pernah berpegang pada slogan "nasyid for life". Malah saya nyaris-nyaris meletakkan perkataan "nasyid" sebagai nama pertengahan saya.

Nauzubillah.

Minat mendengar nasyid saya bagaimanapun bukanlah datang dari langit.

Sebagai anak sulung, saya lebih terdorong kepada perkara di sekeliling saja. Dalam rumah, tidak ada lain yang dibenarkan bermain atau berkumandang di radio melainkan lagu nasyid, ceramah agama, lagu Arab, zikir dan selawat.

Jangankan kata Ramones, kalau nak layan XPDC pun saya kena tunggu sepupu datang membawa kaset dan kami pun menumpang radio di rumah pakcik.

Kumpulan nasyid Hijjaz

Kecenderungan pada nasyid tidak terhenti setakat mendengar dan menghafal bait-baitnya saja pada ketika itu. Saya mula terikut-ikut menyanyi setiap kali kaset diputar.

Setakat melagukan Ghazal Untuk Rabiah (ya, ia bukan nasyid tapi ada bunyi kearab-araban), saya pernah 'tarik' sewaktu mengigau.

Jadi apalah sangat kalau dibandingkan dengan Rabiatul Adawiyah ataupun Ainul Mardhiah. Semuanya saya mampu tarik selamba dalam mimpi.

Pengaruh nasyid ini berpanjangan dari usia saya di bangku sekolah rendah - dengan menyanyi di surau sempena majlis Maulidur Rasul - terbawa sehingga ke usia akhir remaja.

Sampai ke hari ini pun saya masih mendengar nasyid lagi jika moodnya menyeru. Tidak pula secara menggelabah saya terus menolak nasyid secara total tanpa angin ribut melanda walau semakin berusia.

Kebanyakan lagu dalam arena nasyid 90-an hingga awal 2000 masih boleh berputar dengan baik dalam kepala saya pada bila-bila masa jika perlu. Sama ada pada zaman Soutussafwa, kepada Nada Murni dan The Zikr, berhijrah ke arus kontemporari pop seperti Rabbani (moden versi KRU), Hijjaz dan anak-anak kelahiran mereka.

Cuma, dari dulu saya terkeliru tentang apakah perimakna nasyid ini. Kalau diterjemah secara literal, ia hanyalah sekadar lagu. Tidak lebih dan tidak juga kurang.

Ustaz Yazid yang mengajar begitu sewaktu kelas Bahasa Arab dulu. Kalau dia tipu, maka saya tertipulah. Kalau dilihat pada makna menyeluruh pula ia adalah lagu-lagu berunsur keagamaan dan ketuhanan.

Kekeliruan ini hanya mula timbul apabila nasyid sudah semakin pop dengan lirik-lirik cringe tangkap cintan.

Sedikit demi sedikit irama padang pasir terhakis, langsung beralih ke irama pop kontemporari.

Unsur keagamaan dan ketuhanan berubah tidak lebih daripada dijadikan jubah satin penghias pada percintaan yang beralas dan berlapik. Kata budak sekolah, boleh pegang tangan tapi lapik kain. Lebih kurang.

Jarang sekali lagu nasyid bertemakan perjuangan kaum tertindas diangkat sepertimana lagu-lagu nasyid tangkap cintan. Memang ada, tapi boleh dikira dengan jari. Sedangkan, ia sepatutnya menjadi tunjang kenasyidan seiring unsur keagamaan dan ketuhanan yang ingin dibawa oleh khalifah di muka bumi tuhan ini.

Pernah sesekali berborak dengan rakan senasyid tentang perihal nasyid-pop cintan ini, namun ia hanya disimpulkan dengan perkaitan definisi cinta maha luas kepada Yang Maha Esa. Begitulah.

Kalau dilihat dari transisi perubahan nasyider (kalau rock disebut rocker), kebanyakannya berubah mendekati budaya pop dalam masyarakat. Dari berserban tebal kepada kupiah stylish dan akhirnya berimej rambut slop. Dari memalu bonggo dan congga kepada gitar dan Alif Satar.

Jadinya, sampai hari ini saya masih tak tahu kenapa Ukays tu bukan kumpulan nasyid?


JOHNNY NEPP ialah seorang pengusaha kerepek secara indie yang masih lagi mentah dalam selok belok dunia perkerepekan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.