Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Apa merit bekas ketua Umno Cheras dibawa ke pusat zakat?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Dalam surat saya minggu lalu (Perihal menteri agama yang terlalu mencuba), saya ada memberi isyarat mengenai posisi Menteri di Jabatan Perdana Menterim, Dr Zulkifli Mohamad, yang masih belum membuat apa-apa lantikan politik untuk Perikatan Nasional (PN).

Kita belum dapat menduga adakah ahli politik akan mendapat tempat di dalam agensi-agensi agama di bawah naungan menteri agama.

Malangnya apa yang diharapkan meleset sama sekali.

Sempena 100 hari pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, Zulkifli memulakan langkah - yang nampaknya tempang - dengan melantik ahli politik sebagai pengerusi Pusat Pungatan Zakat di Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).

Pelantikan bekas Ketua Umno Cheras, Syed Ali Al-Habshee, sebagai Pengerusi PPZ-MAIWP hanya melengkapkan lagi siri lantikan politik kerajaan PN di agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sekadar rekod, jawatan pengerusi PPZ-MAIWP selama ini tidak disandang oleh ahli politik.

Meskipun pengerusi pertama PPZ-MAIWP, Allahyarham Abdul Rahim Abu Bakar memang merupakan seorang ahli politik yang pernah menjadi Menteri Besar Pahang.

Namun orang ramai maklum bahawa Abdul Rahim tidak lagi aktif di dalam Umno sewaktu beliau menjadi pengerusi PPZ-MAIWP pada awal 1990-an.

Berani ziarahi Muhyiddin

Malah Allahyarham lebih dikenali sebagai tokoh teknokrat yang berjaya melakukan transformasi ke atas PPZ-MAIWP berbanding pencapaian beliau di dalam bidang politik.

Jawatan pengerusi PPZ-MAIWP kemudian disandang oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Mustafa Abdul Rahman mlai tahun 2007 hingga 2013.

Pengerusi ketiga PPZ-MAIWP ialah Che Mat Che Ali yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan beliau memegang jawatan tersebut dari 2013 hingga Mei 2020.

Rekod ini membuktikan bahawa ketika di zaman pemerintahan BN dan Najib Razak sebagai perdana menteri pun, PPZ-MAIWP tidak diketuai oleh orang politik.

Namun di bawah pemerintahan PN, Zulkifli merestui pelantikan ahli politik seperti Syed Ali yang sebelum ini pernah menjadi Setiausaha Umno Wilayah Persekutuan.

Apakah merit dan kelayakan Syed Ali di dalam bidang zakat tidaklah dapat dipastikan. 

Namun rekod juga membuktikan beliau merupakan antara segelintir pemimpin Umno yang ‘berani’ menziarahi Muhyiddin di kediaman ahli parlimen Pagoh itu ketika beliau baru dipecat sebagai timbalan perdana menteri pada Julai 2015.

Selepas tumbangnya BN dalam pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018, Syed Ali mengisytiharkan keluar dari Umno kira-kira empat bulan kemudian.

Tidak banyak yang diketahui mengenai perkembangannya selepas itu namun akhir-akhir ini - selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan - Syed Ali rancak menyerang Dr Mahathir Mohamad pula.

Menurut Syed Ali orang Melayu sudah meluat dengan langkah politik Mahathir.

Demikianlah wajah seorang politikus. Ketika Mahathir berkuasa, tidak pula kedengaran kecaman sedemikian.

Beginikah wajah yang bakal disajikan di dalam agensi-agensi agama di bawah menteri agama?

Apakah dalil-dalil yang boleh kita gunakan untuk menyucikan keputusan beliau ini? Atau beliau sebenarnya secara perlahan-lahan sudah mula bertatih menjadi ahli politik juga?


ABU AMMAR AN-NADI merupakan pembaca Malaysiakini 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi portal ini.