Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Pati wajib dihantar pulang ke negara asal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Cadangan menteri dalam negeri untuk majikan mengambil pekerja dari depoh tahanan imigresen tidak praktikal kerana ia akan menyebabkan bertambah lagi bilangan penyeludupan Pati.

Majikan pastinya memburu Pati melalui ejen-ejen haram untuk bekerja dengan mereka kerana sekiranya ditangkap mereka akan diberi kelulusan permit yang sah untuk bekerja.

Bagi PPMM, syor ini akan mengalakkan kemasukan warga asing secara lawatan sosial daripada Bangladesh, India, China dan Indonesia.

Selepas pas lawatan sosial mereka tamat, mereka akan berstatus Pati. Tetapi mereka tidak bimbang lagi sekiranya ditangkap.

Pas lawatan kerja (PLKS/VPTE) menanti mereka sekiranya ada majikan menjamin mereka untuk berkerja. Maka masalah Pati tidak akan selesai sehingga dunia ini kiamat.

Sebelum dilaksanakan, adakah kerajaan telah mengambil kira lubang lubang tikus dan laluan ikan jerung yang selama ini bermaharajalela membawa Pati masuk agar tidak lagi mudah dibolosi sindiket pemerdagangan manusia.

Pati wajib dihantar balik. Kerajaan masing-masing wajib membayar kos tambang kapal terbang mereka.

Persiapkan penguatkuasaan kita dengan lebih teratur. Pastikan penguatkuasaan kita diambil alih oleh pegawai pegawai daripada jabatan yang berintegriti tinggi bersama dengan pegawai SPRM.

Apa yang kita ketahui sekarang ini, harapkan pegar, pegar makan padi. Tubuhkan unit baru memburu Pati dalam negara dan cegah mereka dari memasuki negara kita di darat dan laut.

Ubah akta untuk mengenakan hukuman berat.

Sekiranya ejen dan tali barut itu ditangkap, hukuman sebat, penjara seumur hidup seterusnya hukuman mati harus dikenakan pada pengkhianat negara ini.


LT COL (H) CHE HASSAN CHE JOHAN ialah Presiden Persatuan Penguna Melayu Malaysia (PPMM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.