Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Adakah Makcik Kiah terima apa dijanjikan?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

“Jadi, keseluruhan nilai manfaat yang akan diterima oleh keluarga Mak Cik Kiah termasuk pemberian tunai dan penjimatan ialah sebanyak RM7,864”.

Ini antara gambaran yang disampaikan sewaktu pembentangan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin pada bulan Mac yang lalu. 

Persoalannya sekarang ini, adakah Mak Cik Kiah dan mereka yang melalui situasi seumpama Makcik Kiah benar-benar menerima apa yang telah dijanjikan?

Hakikatnya di bawah sana kita tahu ramai lagi rakyat yang masih terjejas dengan cabaran ekonomi ekoran wabak Covid-19. Kehidupan mereka sekarang tidak menentu dan kini hanya bergantung kepada bantuan yang dijanjikan kerajaan untuk terus menyara keluarga dengan keperluan asas.

Sebagai contoh, terdapat satu kes yang saya terima di mana suami hilang sumber pendapatan oleh kerana pelaksanaan PKP.

Pada masa yang sama, beliau memiliki tanggungan dua orang anak, isteri yang sedang mengandung tujuh bulan anak ketiga. Disebabkan tiada wang, satu keluarga kini dihalau keluar daripada tempat tinggal mereka kerana tidak mampu membayar sewa bulanan. Adakah ini satu kes yang terpencil?

Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini telah melaporkan bahawa kesan daripada wabak Covid-19, kadar pengangguran telah bertambah dari bulan ke bulan: Februari 3.3 peratus, Mac 3.9 peratus dan April 5 peratus. Ini bersamaan dengan lebih 610,000 orang bagi Mac dan 778,800 orang bulan April.

Malah, seperti yang dilaporkan dalam The Edge Markets pada 15 Jun 2020, pakar ekonomi menjangkakan angka ini berpotensi untuk terus bertambah sehingga 7 peratus atau melebihi 1 juta orang.

Untuk pengetahuan, terdapat sejumlah 2.59 juta orang yang bekerja sendiri pada bulan April 2020. Kumpulan ini yang sebahagian besarnya terdiri daripada peniaga/pengusaha kecil-kecilan (pasar tani/ pasar malam/ katering/ freelancer), terdedah kepada risiko kehilangan pekerjaan dan pendapatan berikutan PKP.

Memang mudah untuk kita memberikan statistik dengan angka-angka dan peratusan seperti di atas. Tetapi bagi tuan punya diri yang menjadi sebahagian daripada statistik itu, lain ceritanya.

Tekanan daripada pelbagai sudut termasuk kewangan, mental dan psikologi sedang menghambat mereka. Inilah yang sedang dilalui oleh 778,800 orang yang telah hilang pekerjaan dan dijangka akan bertambah melebihi 1 juta orang. 

Jika dimasukkan bilangan tanggungan yang terbabit bagi setiap pekerja, jumlah mereka yang terkesan pasti jauh lebih tinggi.

Namun persoalan yang berlegar sekarang adalah sejauh manakah keberkesanan penyaluran bantuan melalui Pakej Prihatin yang bernilai RM22 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bernilai RM35 bilion ini?

Rakyat perlu tahu setiap perincian penyaluran dana yang dibuat kepada kumpulan sasaran bagi memastikan sistem penyampaian yang telus.

Ini bagi mengelakkan sebarang ketirisan yang biasa berlaku akibat daripada amalan orang tengah, komisen dan sebagainya.

Saya menuntut agar kerajaan membentangkan satu strategi yang holistik untuk menangani situasi pengangguran yang kian bertambah ini dalam sesi parlimen yang akan datang. Memandangkan sebelum ini langsung tiada perbincangan di peringkat Parlimen bagi meluluskan pakej-pakej ransangan ekonomi tersebut.


ZAHIR HASSAN ialah pengerusi PKR Wilayah Persekutuan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.