Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Malaysia perlu jadi pendesak di rantau Asean selesai isu Rohingya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kami kecewa isu Rohingya dalam sidang maya Asean tidak dibincangkan untuk menyelesaikan isu penindasan etnik tersebut oleh regim Myanmar.

Walaupun sidang tersebut adalah mengenai Covid-19, penindasan terhadap Rohingya telah berpanjangan dan menjadi isu paling utama bagi mewujudkan kestabilan di rantau ini.

Permintaan Malaysia kepada Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk bekerjasama erat dengan Asean bagi mempercepat proses penempatan semula pemegang kad UNHCR ke negara ketiga, tidak memadai. 

Ini kerana dalam situasi wabak Covid-19, amat sukar untuk menghantar mereka kenegara ketiga.

Memang negara lain perlu ambil tanggungjawab dalam usaha menempatkan pelarian Rohingya dan etnik lain yang tertindas ke negara ketiga seperti, tetapi sewajarnya itu bukan pilihan utama.

Pilihan utama adalah selesaikan konflik, sekat penyeludupan pelarian, kembalikan kewarganegaraan mereka.

Apa yang sepatutnya dibincangkan ialah menyelesaikan punca kepada masalah isu tersebut - iaitu menghentikan penindasan dan mengembalikan kerakyatan mereka sebagai warga Myanmar.

Sepatutnya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta Asean supaya fokus kepada desakan semua negara anggota untuk menekan Myanmar menyelesaikan krisis itu dengan mematuhi undang-undang antarabangsa.

Walaupun perdana menteri berkata Malaysia tidak lagi dapat menampung lebih ramai pelarian kerana sumber dan kapasiti yang sudah mencapai had, kami berpendapat Malaysia tetap perlu menunaikan tanggungjawab kemanusiaannya.

Kapasiti Malaysia memang terhad. Akan tetapi bila berhadapan dengan situasi genting melibatkan nyawa manusia terutama wanita dan kanak-kanak, menyelamatkan nyawa mereka tidak dapat dielakkan.

Walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967, kami berpendapat Malaysia tidak dapat mengelakkan tanggungjawab kemanusiaannya.

Kami bersetuju Muhyiddin membangkitkan isu penyeludupan, pemerdagangan manusia dan perhambaan.

Lantaran itu usaha memerangi dan membendung untuk mencegah dan menghukum anggota sindiket pemerdagangan manusia yang mengeksploitasi mangsa pelarian perlu diatasi diperingkat Asean.

Kami berpendapat kenyataan perdana menteri munasabah tetapi apa yang lebih penting ialah melaksanakan tanggungjawab kemanusiaan walaupun terpaksa berkorban sebahagian kecil sumber negara.


MOHD AZMI ABDUL HAMID ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.