Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Isma bawa pulang pelajar Mesir

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dengan kerjasama Yayasan Maghfirah sebelum ini telah melancarkan tabung Aku Ingin Pulang: Misi Kasih Pelajar Mesir untuk menampung sebahagian kos tiket penerbangan pelajar-pelajar yang ingin pulang disebabkan wabak Covid-19 tetapi tidak berkemampuan.

Sehingga hari ini kira-kira 50% daripada sasaran kutipan dana telah berjaya dikumpul untuk membawa pulang kira-kira 300 orang pelajar dari keseluruhan 5,000 orang yang masih berada di Mesir.

Pada 16 Julai 2020, 22 orang pelajar kumpulan pertama telah dibawa pulang melalui penerbangan Etihad yang berlepas jam 5.30 petang waktu Mesir dan telah tiba di KLIA jam 12.30 tengahari waktu tempatan.

Kesemua pelajar ini telah mengambil ujian rapid test sebelum berlepas dan akan melalui ujian kedua di KLIA sewaktu ketibaan hari ini.

Ogos depan pula seramai 80 orang pelajar akan di bawa pulang ke Malaysia setelah mereka tamat peperiksaan akhir di universiti masing-masing.

Isma dengan kerjasama Yayasan Maghfirah mengambil tanggungjawab untuk membantu membawa pulang para pelajar ini dari bahaya wabak Covid-19 yang masih tidak menentu di Mesir.

Dana masih diperlukan untuk membawa lebih ramai lagi pelajar pulang dan kami sangat mengalu-alukan sebarang sumbangan kewangan daripada syarikat korporat dan orang ramai untuk menjayakan projek ini.

Sumbangan ini boleh disalurkan melalui akaun Yayasan Maghfirah.

Marilah kita bersama-sama berganding bahu agar tabung sumbangan yang dilancarkan ini mampu mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Semoga dengan sumbangan semua nanti tercapailah hasrat mereka untuk kembali ke pangkuan keluarga di kampung dengan selamat dan sejahtera.


MOHD NOOR AZIB ASMANGI ialah pengarah kempen Aku Ingin Pulang, Ikatan Muslimin Malaysia.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.