Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Hobi ‘mencarut’ di parlimen dan DUN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Wakil rakyat atau pemimpin negara adalah orang yang memimpin komuniti, atas dasar mereka dipilih oleh rakyat itu sendiri. Atas nama mereka sebagai pemimpin, mereka seharusnya sedar dan dapat merasakan apakah bentuk keadaan dunia yang sedang dihadapi kini, serta persiapan dan tindakan yang harus dipersiapkan kepada rakyat di negara ini. Mereka sebagai wakil rakyat yang berperanan sebagai pemimpin seharusnya tahu arah dan matlamat yang ingin dituju demi kebaikan bersama.

Rakyat masih boleh memaafkan sekiranya ramai wakil rakyat kita yang kurang membaca ataupun tidak pernah langsung ketemu dengan pandangan-pandangan baru melalui pembacaan. Masih dikira ‘tak apa’. Tetapi rakyat merasa gusar kini apabila terdapat agak ramai wakil rakyat yang tidak dapat meletakkan diri sebagai wakil rakyat menepati erti kata sebenarnya. Pendek kata rakyat amat tidak ‘selesa’ apabila berhadapan dengan tindakan wakil rakyat yang memalukan.

Walaupun tidak ramai yang berkelakuan tidak senonoh, namun rakyat akan melabelkan tindakan wakil rakyat tersebut memalukan. Seekor kerbau (atau lembu) yang membawa lumpur maka pastinya semua terpalit. Disebabkan dua tiga ‘ekor’ yang melakukan tindakan tidak wajar sebagai seorang wakil rakyat, maka rakyat sedikit sebanyak akan menuduh bahawa kebanyakan wakil rakyat adalah bersikap demikian.

Orang tua-tua dahulu selalu berkata, ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’. Peribahasa ini membayangkan sesuatu perkara buruk itu pasti tidak dapat dilindungi dan lambat laun akan diketahui juga. Itu dulu. Kini setelah kemunculan media sosial yang begitu meluas, tentulah apa saja perkara yang membabitkan wakil rakyat akan diketahui dengan cepat oleh rakyat. Apatah lagi yang berkaitan dengan perkara-perkara buruk seseorang wakil rakyat itu.

Akhir-akhir ini terdapat wakil rakyat sama ada wakil parlimen atau Adun yang mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya diucapkan oleh seorang wakil rakyat. Seolah-olah tidak memikirkan terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kata-kata. Ramai antara wakil rakyat yang memiliki hobi ‘mencarut’ sebagai budaya mereka di parlimen dan di DUN. Hal ini membayangkan keadaan sedemikian sudah menjadi budaya yang sentiasa diamalkan mereka setiap hari samada di rumah atau pun apabila berada di majlis-majlis. Sesetengah wakil rakyat juga ada yang ‘tidur’ semasa parlimen bersidang.

Rakyat biasanya mengharapkan sesuatu yang murni daripada seorang wakil rakyat, sama ada dari segi tingkah lakunya, percakapannya ataupun cara mereka berhubung dengan rakyat. Sekiranya seseorang wakil rakyat itu tidak menampakkan penonjolan nilai-nilai murni dalam diri maka pastinya mereka tidak akan mendapat penghormatan daripada rakyat. Rakyat kadang-kadang tertanya dan agak ‘bingung’ melihatkan tingkah laku wakil rakyat yang kononnya berkelulusan tinggi tetapi cara hujah dan penyampaiannya di parlimen tidak menggambarkan langsung sebagai seseorang berkelulusan tinggi.

Tidak berapa lama dahulu telah timbul gelaran ‘Profesor Kangkung’ yang diberikan kepada para profesor di universiti kita. Ini kerana mereka tidak langsung menampakkan diri mereka sebagai seorang profesor berbanding sesetengah profesor yang mendapat penghormatan tinggi dari rakyat. Profesor Ungku Aziz misalnya terus menerus mendapat penghormatan rakyat. Ini kerana kemampuannya meletakkan dirinya sebagai seorang profesor sebenar.

‘Menggalas’ status lulusan tinggi

Begitu jugalah dengan keadaan wakil rakyat yang tidak dapat menempatkan diri mereka sebagai seorang wakil rakyat, yang tugasnya adalah merangka undang-undang negara dan membawa suara rakyat di parlimen. Rakyat pastinya mempersoalkan kredibiliti mereka sebagai wakil mereka, dan rakyat sendiri masih merasakan mereka belum begitu layak untuk diberikan pengiktirafan.

Sepatutnya apabila menjelang abad ke-21, tidak ada lagi wakil rakyat kita yang bersikap seperti sesetengah wakil rakyat sewaktu tahun-tahun selepas mendapat kemerdekaan dahulu. Rakyat boleh memaafkan wakil rakyat berkenaan, atas dasar mereka sememangnya golongan yang tidak mendapat pendidikan agak sempurna berbanding dengan sekarang. Ramai yang hanya berkelulusan Darjah 5 atau Darjah 6 sekolah Melayu sahaja dan tentu rakyat dapat memaafkan. Kini sudah ramai wakil parlimen kita yang berkelulusan tinggi, tetapi tidak menampakkan kemampuan untuk ‘menggalas’ status lulusan tinggi mereka. Tentu keadaan ini malang sekali.

Antara faktor yang menyumbang kebanyakan wakil rakyat bersikap tidak sepatutnya adalah:

Kurang membaca. Mereka telah tidak diketemukan dengan fakta dan maklumat yang terkini yang sedang berlegar di dunia. Mereka mungkin tidak melibatkan diri mereka dalam the knowledge society kini. Lantas mereka agak ketinggalan dan tidak berapa tahu apa yang berlaku dalam dunia sekarang.

Mereka hanya bertemu dengan watak-watak ‘yes man’ yang sentiasa mengangguk apa saja yang diperkatakan oleh mereka, walaupun fakta yang diperkatakan tidak munasabah. Hujah seseorang wakil rakyat itu menjadi tidak berasas sama sekali. Lantas wakil rakyat sedemikian adalah sentiasa dalam keadaan ‘syok sendiri’. Sentiasa berada di kawasan ‘zon selesa’.

Berjuang hanya untuk diri sendiri. Menjadi wakil rakyat atau pemimpin hanya untuk populariti dan keuntungan diri semata-mata. Lupa yang menjadi wakil rakyat tujuannya adalah untuk berbakti dan menyumbang pada masyarakat.

Bercakap besar. Kata-kata yang dikeluarkan sesetengah wakil rakyat hanya ‘dilepaskan’ tanpa memikirkan sensitiviti masyarakat.

Agama dan moral diketepikan. Menjadi wakil rakyat atau pemimpin tetapi lupa nilai-nilai murni yang sepatutnya diamalkan apabila menjadi seorang pemimpin.

Kesimpulannya, wakil rakyat dan pemimpin seharusnya peka dengan suara masyarakat semasa. Peranan mereka bukan sahaja dapat dilihat oleh rakyat Malaysia, tetapi memberikan gambaran dan imej yang akan diperhatikan oleh seluruh dunia. Jika mereka berkhidmat dengan baik, rakyat juga akan senang hati dan memberi sokongan penuh kepada kepimpinan mereka. Mandat yang diberi oleh masyarakat bukan untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk menyumbang dan berbakti demi masa depan masyarakat dan juga negara.


MUHAMMAD EFFENDI ISMAIL ialah pelajar ijazah doktor falsafah (sains politik), Universiti Malaya (UM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.