Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT l Statistik jenayah rogol, kebimbangan yang perlu diatasi

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Melihat kepada statistik peningkatan jenayah rogol di negara ini, melahirkan rasa kebimbangan dalam diri saya tentang apa akan jadi kepada generasi masa depan jika perkara ini gagal ditangani secara berkesan.

Lebih membimbangkan lagi, jenayah ini berlaku dalam lingkungan anak muda khsusunya remaja dan juga pelajar sekolah.

Untuk rekod, sepanjang tempoh Januari hingga Oktober 2018, sebanyak 480 kes rogol dalam kalangan remaja termasuk pelajar dilaporkan.

Jumlah itu meningkat kepada 491 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah itu, 168 kes pada 2018 membabitkan pelajar dan statistik menunjukkan peningkatan kepada 194 kes sehingga Oktober lalu.

Melihat kepada statistik ini ia adalah sesuatu yang membimbangkan bukan saja kepada ibu bapa tetapi juga masyarakat mengenai tahap keselamatan khsusunya mereka yang mempunyai anak remaja perempuan.

Kenapa jenayah ini terus meningkat, apakah kerana kurangnya kesedaran atau pun undang-undang yang ada ketika ini belum cukup kuat untuk membendung jenayah ini.

Bagi saya golongan lelaki perlu tahu dan sedar tanggungjawab masing-masing dalam usaha mengelak peningkatan statistik kes rogol ini.

Golongan lelaki memainkan peranan penting bagi menghentikan keganasan ataupun jenayah ini.

Selain kesedaran ini, pendidikan seksual juga perku diterapkan sejak dari awal lagi bagi memberi kesedaran kepada anak-anak supaya mereka dapat menjaga diri daripada jenayah ini.

Mangsa rogol juga perlu diberi perhatian, mereka perlu menjalani sesi kaunseling bagi membantu mereka menyembuhkan diri sama ada dari segi psikologi dan fizikal.

Kebanyakan mangsa rogol memilih untuk hidup dalam keadaan tertekan sehingga tidak mahu keluar rumah, ada juga yang memilih untuk teruskan kehidupan seperti biasa. Tetapi itu hanyalah penafian diri.

Mereka ini memerlukan sesi kaunseling untuk terus diberikan motivasi dan pastikan mereka mendapatkan rawatan yang sepatutnya di hospital.

Ibu bapa perlu peka terhadap perubahan sikap terhadap anak mereka jika menjadi mangsa rogol dan tindakan drastik perlu segara diambil.


DIRA ABU ZAHAR adalah anggota Majlis Tertinggi Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.