Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Asing jantina di pawagam: Hormati keputusan Terengganu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pengumuman kerajaan negeri Terengganu untuk membuka ruang kepada sektor hiburan untuk beroperasi wajar diraikan dan disambut baik, meskipun beberapa syarat diperkenalkan.

Sebanyak 95% penduduk di negeri Terengganu adalah merupakan masyarakat Melayu yang beragama Islam. Sudah pasti sosiobudayanya sedikit sebanyak berbeza berbanding negeri-negeri yang lain. Sebarang dasar yang diperkenalkan harus mengambil kira keadaan ini.

Apa yang lebih mustahak ialah kesediaan kerajaan negeri untuk membenarkan sektor hiburan beroperasi di negeri ini dengan beberapa garis panduan yang tertentu. Kerajaan negeri adalah merupakan kerajaan yang dipilih secara demokratik dan wajar diberikan ruang untuk mentadbir dengan sebaiknya.

Peribahasa 'lain padang lain belalang' perlu dicerna dengan sebaiknya oleh semua pihak. Setiap negeri mempunya resam dan tatacara kehidupan yang berbeza. Sebarang dasar yang diperkenalkan harus mengambil kira keadaan sosiobudaya setempat dan langkah pelaksanaanya haruslah secara berperingkat.

Sementara kita mengakui bahawa terdapat beberapa aspek yang perlu diperhalusi, kita juga percaya bahawa langkah sedemikian diambil oleh kerajaan negeri bagi memastikan bahawa sebarang dasar yang diperkenalkan dapat dilaksanakan dengan baik serta tidak terencat dan terhenti di pertengahan jalan.

Walaupun banyak pandangan telah di lontarkan pelbagai pihak, pelaksanaan pembukaan pawagam ini haruslah kena pada kesesuaian penduduk setempat yang telah dikaji oleh kerajaan negeri. Peluang juga harus diambil oleh pihak universiti tempatan khususnya Unisza dan UMT untuk mengkaji tentang impak positif dan kebaikan pelaksanaan dasar ini kepada rakyat negeri Terengganu di masa hadapan.

Hanya jauhari yang mengenal manikam. Apa yang pasti, kesediaan dan keterbukaan kerajaan negeri dalam perkara ini wajar disambut baik. Kita percaya Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan barisan kepimpinan kerajaan negeri akan sedaya upaya memastikan bahawa Terengganu dapat terus membangun dan berdaya saing.


DR AHMAD KUSYAIRI KHALID ialah koordinator Pemuda Negara, Terengganu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.