Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | RUU355: Faiz Fadzil jangan menangguk di air keruh

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Seperti hujan yang akan turun selepas guruh kedengaran, juga kita pasti akan mendengar suara-suara sumbang daripada pemimpin Amanah ini yang juga anak kepada pemimpin tersohor PAS iaitu Allahyarham Ustaz Fadzil Noor. Ternyata, kuah tidak semestinya tumpah ke nasi, sifat berhati-hati dan bersangka baik yang menjadi sinonim kepada peribadi ayahanda beliau tidak diwarisinya secara semulajadi.

Perikatan Nasional (PN) baru berusia enam bulan dan tertubuh untuk menyelamatkan Malaysia yang telah kehilangan kerajaan akibat perletakan jawatan perdana menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Baru enam bulan dan mengambil kira kekangan kerajaan dalam keadaan negara mengharungi wabak Covid-19, susuk bernama Faiz Fadzil ini cuba menangguk di air yang keruh dan menjadi batu api.

Seperti sebuah orkestra, pemimpin muda Amanah ini meniup serulingnya seraya konduktor memberikan isyarat kepadanya. Penuh tekun dan disiplin, seruling ditiup memainkan melodi yang diarahkan – tanpa cacat atau cela. Penonton dapat meneka siapa gerangan konduktor tersebut namun wajahnya masih belum dapat ditatap dengan jelas. Konduktor orkestra ini lebih selesa untuk beroperasi dalam kerahsiaan.

Kenapa Faiz begitu ghairah untuk menembak PAS dengan isu RUU 355? Beliau tahu fokus negara ketika ini adalah untuk menyelamatkan rakyat dan negara daripada kemudaratan yang amat besar daripada wabak Covid-19. Faiz memilih untuk berpolitik dan memainkan isu yang beliau tahu akan menimbulkan persepsi yang kurang enak terhadap PAS.

Faiz tanpa berselindung memulakan langkah dengan kenyataan beliau yang merujuk terus kepada ‘orang Melayu Islam’. Mungkin pada pandangan beliau, hanya orang Melayu Islam yang prihatin kepada isu RUU 355 ini dan orang Islam daripada kaum-kaum yang lain tidak. Beliau telah mendedahkan bahawa fokus Amanah adalah hanya Melayu Islam, yang secara ‘kebetulan’ juga merupakan pendokong kuat Muafakat Nasional. Bacaan politik mudah adalah Faiz ingin menanam gelisah dan prasangka di kalangan penyokong Muafakat Nasional.


BacaRUU355: PAS kini dah jadi khadam MCA? - Faiz Fadzil


Faiz masih terbawa-bawa sikap dan perangai yang membawa kepada kejatuhan PH setelah 22 bulan memerintah. Sikap terlalu fokus dan terlalu banyak berpolitik berbanding mentadbir. Beliau gagal untuk melihat PN kini sibuk mentadbir dan memastikan negara terselamat daripada kesan buruk dari segi ekonomi dan kesihatan awam.

Benar, RUU 355 ini adalah penting dan menjadi isu fokus umat Islam di negara kita, tetapi setiap isu ada masa dan ketika yang sesuai untuk diketengahkan. Seorang yang mengangkat diri sebagai pemimpin masa hadapan untuk Amanah perlu tahu untuk meletakkan sesuatu isu berdasarkan keutamaan. Isu RUU 355 adalah penting, tetapi Covid-19 dan memulihkan ekonomi adalah lebih 'time sensitive'.

Jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Marzuk adalah jelas dan mudah difahami. Kerajaan akan melihat RUU 355 ini mengikut garis panduan yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan pertimbangan yang menyeluruh akan diambil. Sebagai seorang yang beragama Islam, mungkin lebih elok jika Faiz boleh mengambil sikap bersangka baik dan membiarkan perkara yang lebih utama dahulu diselesaikan.

Mudarat Covid 19 dan kesan sampingan kemerosotan ekonomi adalah lebih utama. Adakah Faiz Fadzil lebih sanggup berdebat mengenai RUU 355 di Parlimen tatkala kebajikan rakyat diabaikan, kadar pengangguran semakin meningkat, kes aktif Covid-19 gagal dikurangkan dan semakin bertambah?

PH telah diberikan peluang untuk memerintah dan gagal untuk memanfaatkan peluang tersebut. PN adalah kerajaan sah dan sedang gigih berusaha untuk menyelamatkan negara daripada krisis yang tidak pernah kita lalui. Lebih elok jika Faiz menyeru rakan seperjuangan untuk menunjukkan solidariti dan patriotisme dalam menyokong usaha melawan krisis ini.

Tindakan menuduh parti yang didominasi orang Cina iaitu MCA menjadikan PAS - yang menjadi wadah politik Melayu Islam kedua terbesar di negara ini- sebagai khadam adalah bersifat provokatif dan boleh memecahbelahkan perpaduan negara, yang amat kita perlukan di saat negara berdepan krisis.

Sebagai peniup seruling sebuah orkestra, Faiz perlu mengikut arahan konduktor orkestra, itupun jika beliau hanya ingin kekal menjadi seorang peniup seruling – mengikut rentak dan melodi yang digubah oleh orang lain.


SHAHIR ADNAN ialah Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia merangkap Naib Pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.