Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | WAO alu-alukan undang-undang antimenghendap

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) mengalu-alukan pengumuman kerajaan bahawa kertas kerja kabinet menjenayahkan tindakan menghendap kini sedang dalam perancangan.

Pengumuman yang diumumkan oleh Rina Harun, menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat (KPWKM) di Dewan Rakyat pada 21 Julai 2020, dalam maklum balas bertulis kepada soalan daripada ahli parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto mengatakan kertas kerja kabinet kini sedang disediakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri.

Kami menyeru kerajaan, khususnya Rina dan menteri undang-undang Takiyuddin Hassan supaya mengutamakan penggubalan undang-undang ini.

Dengan menjenayahkan tindakan menghendap akan melindungi rakyat Malaysia, selaras dengan amalan antarabangsa dan ia disokong penuh oleh petugas barisan hadapan kerajaan dan NGO.

Menghendap bukanlah satu jenayah di Malaysia.

Oleh itu, sekiranya seseorang berkali-kali menghubungi, mengekori, atau kerap kali muncul di tempat anda – yang mendatangkan ketakutan atau tekanan emosi – tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihak berkuasa.

Sekarang juga masih belum ada peruntukan undang-undang untuk mangsa hendap mendapatkan perintah menjauhkan diri.

Menjenayahkan menghendap akan meletakkan Malaysia selaras dengan amalan antarabangsa.

Negara-negara yang sudah memiliki peruntukan undang-undang mengenai menghendap termasuklah Filipina, Jepun, Australia, Afghanistan, India, Singapura, Mongolia, Amerika Syarikat, Kanada, New Zealand, Afrika Selatan, Jerman, Republik Czech, dan Britain.

Penggubalan undang-undang ini telah bermula sejak 2019.

Proses ini telah dikoordinasikan oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pihak-pihak berkepentingan yang pelbagai termasuklah BHEUU, KPWKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Peguam Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Kementerian Dalam Negeri, Majlis Peguam Malaysia, dan WAO.

Menggubal undang-undang perlindungan terhadap menghendap telah menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada ramai ahli parlimen dari setiap parti politik.


NATASHA DANDAVATI ialah ketua kempen Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) manakala YAP LAY SHENG pula bertugas sebagai pegawai kajian dan advokasi NGO itu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.