Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | ‘Tuduh bawah Seksyen 143 seakan-akan hina keluarga arwah Adib’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pada 27 September 2019, Mahkamah Koroner Shah Alam telah memutuskan bahawa kematian Muhammad Adib adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui. Allahyarham Muhammad Adib merupakan seorang kakitangan kerajaan yang berkorban nyawa dalam melaksanakan tugasnya dalam menyelamatkan nyawa orang lain.

Beliau bukanlah seorang ahli politik, bukan seorang bekas menteri atau bukan seorang pemimpin mana-mana organisasi yang mempunyai pengikut yang ramai. Maka, tidak hairanlah, kes beliau kian dipandang sepi. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menyeru kerajaan Perikatan Nasional agar tidak melengahkan siasatan dan perbicaraan kes pembunuhan beliau.

Sepanjang prosiding inkues bermula Februari 2019, seramai 30 saksi termasuk beberapa saksi pakar serta bapa Muhammad Adib, Mohd Kassim Abdul Hamid, dipanggil memberi keterangan dengan 137 bahan bukti dikemukakan. Keputusan inkues menunjukkan kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan Perikatan Nasional untuk tidak menukar tuduhan terhadap 12 orang suspek utama daripada tuduhan membunuh kepada tuduhan lebih ringan seperti rusuhan. Keadilan harus diberikan kepada Allahyarham Muhammad Adib.

Seksyen 143 Kanun Keseksaan adalah hukuman bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang, di mana pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali. Hukuman ini adalah tidak setimpal dengan kematian Allahyarham Muhammad Adib, dan seakan-akan menghina keluarga beliau serta keseluruhan anggota penjawat awam.

Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) menggesa kerajaan Perikatan Nasional untuk lebih prihatin dan peka akan implikasi memulakan semula inkues ini dan menukar tuduhan suspek terbabit. Keadaan ini pasti meranapkan sisa-sisa harapan rakyat Malaysia yang mahukan keadilan buat Allahyarham Muhammad Adib.


SHAHIR ADNAN ialah ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Parti Ikatan Bangsa Malaysia merangkap naib pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.