Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Langkah pertama perjalanan intelektualisme

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Berdepan dengan cabaran adalah lumrah bagi mana-mana organisasi sekalipun. Apatah lagi untuk sebuah organisasi yang baharu berputik.

Naratif Malaysia (NM), sebuah kumpulan dan gerakan penyelidikan sosial mungkin baharu setahun jagung. Walau bagaimanapun, dalam usia mengkalnya, NM boleh dipuji kerana telah pun berjaya merintis, membentuk serta menyambut cabaran zaman untuk menyediakan suatu pelantar (platform) bagi kelompok intelektual muda tanah air.

Pada saya, pelantar ini tampaknya memberi sedikit harapan kepada kegersangan tradisi intelektual tanahair kita dewasa ini. Dalam beberapa tempoh, kita sangat terkesan dengan kelesuan budaya aktivisme-intelektualisme. Kelesuan ini bukan sahaja terdapat dalam masyarakat awam, tetapi juga dalam masyarakat kampus. Walau bagaimanapun, Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda Sains Sosial anjuran NM baru-baru ini membibit sinar baharu kepada kebangkitan intelektual muda kita.

Bengkel anjuran NM dalam tema “Creating Think-Space for Political Narratives” dengan kerjasama Malaysia Reform Initiative (MARI), USAID dan Kedutaan Amerika Syarikat ini, memberi harapan betapa suatu perkumpulan intelektual dapat dibentuk sekiranya disusun dengan sungguh-sungguh seperti yang dilakukan oleh NM.

Apa yang lebih menarik, bengkel tersebut bukan bermula dengan kosong; bermaksud, bukan bermula dengan sejarah yang kosong. Sebaliknya, bengkel (serta kegiatan sampingan lain) tersebut berusaha untuk merangkaikan kalangan intelektual muda tanah air dengan kalangan intelektual mapan.

Ini termasuk seperti Prof Norani Othman, Prof Abdul Halim Ali, Prof Rashila Ramli, Diana Wong, Syed Husin Ali, Francis Loh, Cecilia Ng, Shamsul Amri Baharuddin dan Ahmat Adam. Paling ketara, bengkel ini turut menghadirkan intelektual disegani ramai, Profesor Emeritus Dr Abdul Rahman Embong, mantan presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM).

Sebagai intelektual sains sosial yang berpengalaman, ternyata Prof Abdul Rahman tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya dengan generasi intelektual baharu, terutamanya generasi intelektual yang terlibat dalam sains sosial. Sewaktu berkongsi pengalamannya ini, dan mengagaskan pembangunan suatu gerakan sains sosial yang mandiri, Prof Abdul Rahman menggariskan tiga cabaran yang wajar disambut oleh para intelektual muda yang membara semangatnya ini.

Pertama, cabaran struktur dan institusi. Sudah tentu, cabaran ini merujuk sistem pendidikan pendidikan tinggi yang masih berpegang kuat kepada Barat, selain usaha pengkorporatan universiti dan penggunaan Key Performance Index (KPI) sebagai ukuran output. Cabaran ini pasti merujuk kepada penekanan universiti kepada KPI khususnya kriteria penerbitan dalam jurnal tertentu (hanya manfaatkan hanya sebilangan kecil pembaca) yang mana ini akhirnya menyumbang kepada penerbitan artikel jurnal yang kurang berkualiti serta mendorong kemunculan sindrom pembonceng gratis.

Ketergantungan korpus ilmu Malaysia

Kedua, cabaran ketergantungan korpus ilmu Malaysia kepada ilmuan luar dan kekurangan karya tempatan di peringkat teori. Dalam hal ini, sarjana-sarjana di Malaysia masih lagi bergelut dalam paras imprikal serta masih lagi gagal untuk mengangkat mutu analisis mereka ke paras teori.

Manakala cabaran ketiga ialah jurang generasi di antara intelektual mapan dengan generasi pelapis. Cabaran ini merujuk kepada generasi angkatan lama yang sudah tidak ada atau tidak lagi aktif sementara hanya sebahagian kecil sahaja yang masih aktif membuat sumbangan di luar kerangka institusi. Pada masa yang sama, generasi pelapis pula sedang bergelut dengan pelbagai cabaran dan tuntutan sekaligus menimbulkan cabaran tentang penggantian pembawa obor sains sosial dan membawanya ke hadapan.

Walau bagaimanapun, tanpa mahu menafikan usaha menyambung generasi mapan dengan generasi pelapis sudahpun dimulakan lebih awal, akan tetapi pembentukan suatu barisan intelektual pelapis di kalangan generasi muda masih lagi belum benar-benar disahut.

Persatuan Sains Sosial Malaysia (PSSM) yang ditubuhkan pada 1978 telahpun merintis jalan awal ini. Malangnya, rintisan ini belum memadai untuk mengisi kekosongan dalam pembentukan generasi intelektual muda tanahair. Mungkin kita boleh memberi sedikit pujian kepada IKMAS, UKM yang telahpun membangun generasi intelektual muda menerusi aneka penyelidikan mereka, khususnya berkaitan dengan globalisasi semenjak 1990-an. Namun, sekali lagi, ini masih lagi belum memadai untuk memperkasakan generasi intelektual muda tanahair ini.

Hanya saja, kekecewaan ini sedikit terubat menerusi harapan yang lahir menerusi Bengkel Pembinaan Kapasiti Penyelidik Muda anjuran NM tersebut yang bertemakan “Sains Sosial Abad ke-21: Menerus Tradisi Intelektual, Menanggap Transformasi Sosial”. Bengkel yang disertai oleh 24 intelektual muda tanah air yang begitu ghairah untuk menyambut tiga cabaran yang dinyatakan.

Walau bagaimanapun, ghairah sahaja tidak membawa ke mana-mana. Ia perlu diiringi dengan kesedaran betapa untuk membangunkan generasi pelapis memerlukan lebih dari sekadar janji-janji manis untuk mendobrak zaman.

Paling penting, generasi pelapis ini perlu membuktikan diri mereka terlebih dahulu menerusi kajian-kajian sendiri yang baharu, asli dan relevan. Dalam kata lain, kajian yang dilakukan tidak terperangkap dalam “more of the same” dan hanya sekadar “saw dusts”—yang berterbangan apabila ditiup angin yang mana ini dengan sendirinya menunjukkan kerapuhan kajian-kajian sains sosial di Malaysia. Iktibar kita, kesilapan generasi lama tidak wajar diulangi oleh generasi intelektual muda ini.

Oleh yang demikian, saya berpendapat bahawa amat perlu setiap intelektual muda untuk terus mempertingkatkan mutu penyelidikan mereka. Ini bukan sahaja dengan memperkemaskan pengumpalan data yang berwibawa, tetapi juga mengangkat data tersebut ke paras teori. Meskipun ini kerja sukar, tetapi ini juga bukanlah kerja yang mustahil; dengan syarat, setiap intelektual muda ini haruslah benar-benar menguasai bidang mereka.

Langkah pertama perjalanan intelektualisme ialah dengan membina perkumpulan intelektual muda yang sihat; dan, langkah pertama ini sudahpun dimulakan oleh mereka. Setiap perjalanan memang bermula dengan langkah pertama. Kini, sudah menjadi harapan kita agar perkumpulan intelektual muda ini tidak berhenti pada langkah pertama ini sahaja. Teruskan melangkah sampai melangkahi zamannya sendiri.


ZAHARUL ABDULLAH merupakan pelajar PhD IKMAS, UKM. Beliau merupakan peserta bengkel pembinaan kapasiti penyelidik muda anjuran NM pada 24-26 Julai 2020.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.