Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Musa Aman saman TYT untuk tutup malu

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tindakan Musa Aman dan kumpulannya menyaman Yang di-Pertua Negeri Sabah adalah biadab menunjukkan ia tidak menghormati kuasa Perlembagaan Sabah.

Dalam perlembagaan negeri, Tuan Yang Terutama (TYT) mempunyai kuasa mutlak untuk melantik ketua menteri dan berkuasa membubarkan dewan undangan negeri (DUN) dengan nasihat ketua menteri.

Tindakan Musa dan kumpulannya itu langsung tidak menghormati peranan dan kuasa yang ada pada TYT dalam pentadbiran kerajaan Sabah.

TYT dan Istana Negeri merupakan hieraki tertinggi dalam pentadbiran kerajaan Sabah. Ia memiliki martabat dan kedaulatan undang-undang negeri.

Tindakan mereka bukan saja menujukkan sikap tidak percaya akan kewibawaan TYT malah mempersoalan kemampuan beliau untuk membuat keputusan terbaik untuk rakyat Sabah.

Selain itu tindakan menyaman TYT bukan sahaja mempersoal kuasa beliau dalam perlembagaan malahan secara sewenang-wenangnya menarik sistem kehakiman negara ke kancah krisis perlembagaan.

Tindakan Musa dan kumpulannya bersifat angkuh dan mementingkan diri sendiri. Mungkin kerana Musa mempunyai sumber kewangan yang sangat besar hingga mendatangkan perasaan yang dia boleh berbuat apa saja demi mencapai cita-cita peribadi tanpa mempedulikan kepentingan rakyat dan negeri.

Inikah jenis pemimpin yang perlu kita beri kepercayaan menerajui negeri Sabah?

Mereka bukan sahaja memporak-perandakan kerajaan negeri dengan rancangan jahat mengambil alih kerajaan melalui pintu belakang pada saat kita berdepan dengan krisis ekonomi dan pandemik Covid-19.

Musa dan kumpulannya malah memberikan tekanan kepada TYT untuk membuat keputusan sukar membubarkan DUN lebih awal sungguhpun kerajaan Warisan pimpinan Mohd Shafie Apdal masih ada tempoh tiga tahun lagi untuk menerajui Sabah.

Mereka menyaman TYT hanya untuk menutup malu dan menunjukkan keenganan mereka mengambil tanggungjawab atas keruntuhan kerajaan kesan tindakan tidak beretika mereka membelakangi mandat rakyat.

Rakyat Sabah pandai menilai mereka yang durhaka terhadap TYT dan akan menghukum mereka di kotak undi nanti.


ADRIAN LASIMBANG ialah anggota Dewan Negara merangkap Pengarah Pendidikan Politik DAP Sabah. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.