Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan tak wajar dibatal

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kelab Gemilang berkongsi kekecewaan sebilangan besar rakyat Malaysia akan keputusan yang telah diambil oleh Tuan Ibrahim Tuan Man selaku menteri alam sekitar dan air untuk membatalkan penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan seperti yang telah diumumkan beliau di dalam Dewan Rakyat pada tarikh 3 Ogos 2020 yang lalu.

Akta Jerebu Rentas Sempadan ini dipercayai telah dicadangkan demi mewujudkan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan dan penambahbaikan pengurusan pembakaran hutan dalam sektor pertanian dan peladangan.

Dalam erti kata lain, peruntukan di dalam akta ini akan memberi kuasa kepada mahkamah dalam negara untuk menghukum syarikat-syarikat Malaysia yang telah mengakibatkan jerebu di luar negara.

Penggubalan Akta Jerebu Rentas Sempadan ini penting bagi menangkis persepsi masyarakat dunia bahawa syarikat-syarikat Malaysia adalah di antara penyebab utama kebakaran hutan di luar negara yang menyebabkan krisis jerebu yang saban tahun terus melanda Asia Tenggara.

Pihak kami menggesa kerajaan Malaysia untuk memperkenalkan Akta Jerebu Rentas Sempadan ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk melenyapkan ancaman jerebu di rantau ini dan menghukum pesalah-pesalah yang telah mencemarkan alam sekitar di samping membahayakan nyawa penduduk di Asia Tenggara demi mengaut keuntungan semata-mata.


NA’IM BRUNDAGE ialah pengerusi Kelab Gemilang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.