Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Segerakan lantikan senator belia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada ucapan perasmian Hari Belia Negara 2020 pada 15 Ogos 2020 yang lalu oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Secara spesifik terarah kepada kenyataan dia mengenai pelantikan wakil belia dalam Parlimen Malaysia di Dewan Negara.

PKPIM menyambut baik pengumuman perdana menteri, sebagai memperkukuh tekad kerajaan dalam mengetengahkan belia di setiap posisi utama mekanisme demokrasi negara.

Bukan semata-mata mengangkat suara dan membangkit rasa, bahkan membuahkan sinergi kerja yang lebih berkesan untuk manfaat negara.

PKPIM menganggap tekad ini memperkuatkan komitmen Reezal Merican Naina Merican, menteri belia dan sukan, yang dinyatakan kepada Majlis Tertinggi Majlis Belia Malaysia (DT MBM) yang turut dianggotai oleh PKPIM pada hari sebelum kenyataan perdana menteri ini dikeluarkan.

Menteri belia dan sukan bersetuju secara prinsip untuk memastikan pembangunan belia dilaksanakan secara efisien dan strategik, lebih-lebih lagi dalam merangka dan melaksanakan polisi menjelang pembentangan Bajet 2021 dan Rancangan Malaysia ke-12.

Sebagai sebuah pertubuhan non-partisan, PKPIM tegas menyatakan pendirian bahawasanya setiap agenda yang memberi manfaat secara langsung kepada belia akan kami sokong sepenuhnya.

Secara tidak langsung PKPIM menyatakan peringatan agar usaha-usaha murni ini tidak dicemari agenda politik yang 'meletihkan' belia.

Kepada para mahasiswa dan belia, PKPIM menyeru agar terus meningkatkan nilai tambah dan merit masing-masing bagi menyambut ruang yang diumumkan oleh kerajaan.

Jangan sampai belia memenuhi perjawatan kerana kuota semata-mata. Belia tidak selemah itu, bahkan kita punya kelebihan tersendiri dan maruah.

Kepada perdana menteri, PKPIM berkehendak agar lantikan ahli Dewan Negara mewakili belia ini dilakukan segera.

Kami mencadangkan diisi oleh pemimpin belia yang terbukti ketokohannya - Jufitri Joha, presiden MBM.


IRFAN MOHAMAD FAIRUS adalah setiausaha agung PKPIM sesi 2019/2020 merangkap ahli Dewan Tertinggi, Majlis Belia Malaysia (MBM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.