SURAT | Wajarkah sekolah vernakular dihapuskan?
Menteri Perpaduan Negara, Halimah Sadique, ketika sidang parlimen (25 Ogos 2020) berkata kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular, demi mewujudkan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Secara peribadi, saya setuju yang usaha memupuk perpaduan antara kaum perlu digerakkan sejak di bangku sekolah lagi.
Ini kerana, anak-anak kecil lebih mudah mempelajari sesuatu perkara jika mereka mendapat pendidikan sejak kecil lagi.
Penggabungan sekolah kebangsaan, jenis kebangsaan dan agama adalah cara terbaik untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan menggalakkan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara ini.
Penggabungan ini bermaksud setiap sekolah menggunakan sukatan pelajaran yang sama, satu bahasa yang sama dan silibus pendidikan yang sama.
Perpaduan yang utuh boleh disemai sekiranya setiap masyarakat mampu berbahasa Melayu dengan baik.
Di setiap sekolah vernakular, contohnya sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina, SJK Tamil, mereka lebih menggunakan bahasa ibunda masing-masing menyebabkan mereka kurang menguasai bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.
Yang menjadi masalahnya sekarang adalah penubuhan sekolah pelbagai aliran yang mana telah menghalang pembentukan perpaduan kaum di Malaysia. Sebagai contoh, penubuhan sekolah vernakular dan sekolah aliran Inggeris (era British).
Ini kerana, perpaduan bermula sejak bangku sekolah lagi. Jika anak-anak kecil dibezakan sekolah, mereka tidak dapat bergaul dengan bangsa lain yang mana akan menjadikan mereka tidak dapat berinteraksi dan mengenali budaya kaum lain secara holistik.
Mujurlah, tidak lama selepas kemerdekaan dan selepas beberapa laporan pelajaran dibuat, telah diumumkan bahawa bahasa Melayu akan menjadi bahasa pengantar utama di semua sekolah kerajaan, kecualilah bagi pengajaran bahasa lain.
Antara ciri-ciri pendidikan vernakular adalah penggunaan bahasa ibunda dalam urusan harian, sekolah berorientasikan kaum dan sukatan pendidikan yang lebih memihak kepada sesebuah kaum.
Terpisah sejak bangku sekolah
Sistem seperti ini dilihat sebagai penghalang kepada perpaduan kerana setiap pelajar tidak dapat berinteraksi secara terus dengan sesuatu kaum.
Sekolah SMK biasanya didominasi oleh kaum Melayu, SJKC oleh kaum Cina dan SJKT oleh kaum Tamil.
Bagaimana hendak memupuk perpaduan jika hendak bersemuka pun tidak boleh.
Bagaimana untuk mewujudkan perpaduan sekiranya mereka sudah terpisah sejak dari bangku sekolah lagi.
Melalui penubuhan kelab Rukun Negara di peringkat sekolah sahaja tidak cukup untuk memupuk perpaduan.
Jalan terbaik adalah dengan hapuskan sekolah vernakular dan digantikan dengan sekolah satu aliran.
Dengan cara ini, barulah setiap kaum dapat mengenali bahasa, budaya, adat resam, dan wajah sebenar kaum lain di negara ini dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Jadi sekolah satu aliran yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar adalah cara terbaik untuk mendidik serta memupuk integrasi nasional dalam kalangan generasi masa depan yang bakal mewarisi negara ini.
Jika kita memahami adat budaya kaum lain, tidak mustahil negara kita akan menikmati kestabilan politik dan kemakmuran agihan ekonomi secara bersama.
MOHD ASRI YUSOF MD AZHARI adalah mahasiswa sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai