Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Isyarat jalan sukar bakal dihadapi PH

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

SURAT | Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) dan seluruh kepimpinan DHPP mengucapkan tahniah kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz yang memenangi PRK DUN N58 Slim semalam.

Kemenangan ini adalah bukti kukuh bahawa Muafakat Nasional (MN) diterima oleh rakyat yang akan dimantapkan dengan penyertaan Bersatu nanti.

BN menang dengan jumlah undi 13,007 - lebih besar daripada gabungan undi BN dan PAS pada PRU ke-14.

Dari segi peratus, BN berjaya menguasai 84.37 peratus undi dalam PRK kali ini. Pada PRU14, peratusan undi bagi gabungan BN dan PAS adalah 67 peratus. BN menang di kesemua 13 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

BN berjaya memenangi 61.28 peratus (660 undi) di PDM Sungai Slim Utara. PDM ini amat signifikan kerana lebih 60 peratus pengundinya adalah daripada kaum Cina. 

Pada PRU14, BN hanya berjaya memenangi 17.9 peratus undi di PDM ini

Bagi PDM Ladang Sungkai yang memiliki 83.56 peratus pengundi India, BN berjaya memperoleh 68.3 peratus (157 undi). Peratusan ini jauh lebih tinggi berbanding gabungan peratusan yang diperoleh PAS dan Umno pada PRU ke-14 iaitu sebanyak 29.7 peratus.

Ini bermakna bukan sahaja Melayu, tetapi rakyat seluruh kaum telah meninggalkan pembangkang - memberi bayangan bahawa rakyat tidak percaya bahawa Muafakat Nasional bersifat perkauman.

Oleh yang demikian Tun Dr Mahathir Mohamad boleh lupa impian jadi Perdana Menteri, setelah kekalahan di PRK Dun Slim dan kemerosotan populariti Pakatan Harapan (PH) berturut-turut dalam siri kesemua Pilihanraya Kecil (PRK) sebelum ini, setelah PAS & UMNO bergabung dalam Muafakat Nasional (MN). 

Maka kemenangan ini adalah satu signal bahawa jalan sukar bakal dihadapi Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-15. 


S BARATHIDASAN ialah setiausaha Dewan Himpunan Penyokong Pas Pusat merangkap Pengarah Pilihanraya DHPP Pusat.