Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | PKPIM alu-alukan idea parti politik generasi baru

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik dan mengalu-alukan penubuhan apa jua gerakan politik berlandaskan anak muda dan generasi baru.

PKPIM optimis kemampuan gerakan parti politik baru dikemudi anak muda bagi membawa naratif baru dalam sistem politik tanah air.

Situasi politik negara yang kurang stabil dan dikotori politikus yang tidak matang harus diisi dengan alternatif yang lebih baik untuk Malaysia.

PKPIM berpandangan apa jua gerakan politik anak muda harus melibatkan seluruh ketumbukan anak muda yang datang dari apa jua latar kaum, agama mahupun latar politik berpaksikan anak muda.


BACA BERKAITAN:

Siapa pemimpin muda?

Menjawab persoalan siapa pemimpin muda

Syed Saddiq tak sertai Pejuang, tubuh parti anak muda


Pemegang taruh utama belia Malaysia harus dilibatkan bagi memastikan sokongan belia akar umbi dapat digerakkan bersama.

PKPIM menaruh harapan agar gerakan politik anak muda dapat membawa budaya politik baru bukannya hanya membawa jenama baru tetapi pembaharuan budaya dan nilai politik yang segar jauh daripada naratif politik lama.

PKPIM percaya bahawa usaha gerakan politik anak muda ini mampu menjulang perjuangan dan suara anak muda ke tahap yang selayaknya, namun perlu bebas daripada bayangan atau terkait dengan agenda-agenda politikus veteran yang hanya memikirkan kelangsungan dan kepentingan politik mereka sahaja.

PKPIM bersedia bekerjasama, berunding dan menjadi perantara bagi mana-mana organisasi untuk memperkukuh suara anak muda demi Malaysia yang lebih baik.


AHMAD FARHAN ROSLI ialah Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.