Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Uyghur dan China: Boleh berdamai

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Fenomena Islamophobia merupakan salah satu isu perdana di peringkat antarabangsa terutamanya pasca 11 September.

Bagaimanapun, tidak tepat jika dikatakan bahawa China turut mengalami fenomena tersebut. Mengikut sejarah, Islam telah wujud di China seawal abad ketujuh lagi.

Malah, terdapat juga beberapa pandangan mengatakan bahawa Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) merupakan aspirasi daripada salah seorang sahabat iaitu Saad Ibn Waqas.

Tidak dinafikan, kerajaan China telah mengetatkan langkah keselamatan terutamanya kesan dari 11 September di dunia barat.

Daripada perspektif ekonomi, selaras dengan hasrat kerajaan China untuk menghapuskan kemiskinan di wilayah barat negara tersebut, Presiden Xi Jinping meneruskan kempen Go West yang dipelopor oleh Jiang Zenming.

Hasil daripada kempen ini, nisbah pelaburan dapat dipertingkatkan kepada 1:4.

Malah, China turut telah menyertai Organisasi Perdagangan Dunia (WTO) kerana perdagangan mampu meningkatkan taraf ekonomi seramai 800 juta rakyat China sekali gus mengeluarkan mereka daripada kancah kemiskinan.

Tambahan pula, melalui BRI, China beraspirasi untuk melebarkan limpahan ekonominya kepada dunia dengan kerjasama hampir 67 negara-negara.

Menariknya, hampir 30 negara adalah negara Muslim. Oleh itu, China seharusnya mengambil pendekatan dasar berbeza berkaitan masyarakat Muslim Uyghur untuk mengelakkan terguris sensitiviti negara-negara Muslim lain.

Tidak dinafikan, China yang maju dan makmur bergantung kepada dasarnya yang adil dan saksama terutamanya dalam menguruskan masyarakat dalam kalangan agama Islam, Kristian dan masyarakat Uyghur, Hui dan Kazakh.

Untuk rekod, Malaysia dan Indonesia telah berjaya untuk menangkis penyebaran aktiviti pelampau kerana menyedari keadaan demografinya.

Malah, pelaksanaan dasar mass sterilization oleh China terhadap wanita bangsa Uyghur haruslah disiasat oleh pertubuhan antarabangsa sepertimana Presiden Xi Jinping bersetuju untuk menerima inkuiri antarabangsa oleh World Health Assembly demi memastikan konsep akauntabiliti dan keterbukaan dapat dijamin.

Semangat ini juga boleh dicontohi.


PHAR KIM BENG ialah presiden Strategic Pan Indo-Pacific Arena.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.