Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Tentang ‘ultimate loser’ selepas 14 kali PRU

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Saya terasa sangat pelik, kadang-kadang memualkan apabila orang politik berkata-kata mengenai perpaduan.

Bagaimana orang politik bercakap mengenai perpaduan sedangkan mereka sendiri tiada perpaduan, apatah lagi nak bersatu.

Soal pembahagian kerusi dan meja pun tiada kesudahan untuk orang politik.

Jadi bagaimana mereka ini ingin membentuk perpaduan atau menyatukan rakyat?

Itu belum cukup cerita-cerita perkauman dan agama sering dimainkan bagi meraih undi dan sudah tentulah, untuk kemenangan mereka.

Mengelar pihak lawan dengan pelbagai nama yang buruk tetapi mereka sungguh mulia sekali. Hanya mereka menjaga bangsa, hanya mereka menjaga agama.

Yang lain membawa fahaman buruk kepada rakyat. Pihak lawan membawa anasir bahaya kepada negara.

Mereka juga seolah-olah diberi lesen mutlak menjaga agama dan kaum/ negara. Hanya pada mereka semuanya akan terjamin.

Dalam tak sedar atau sengaja mereka semua ini sudah memecah belah rakyat yang tidak berdosa.

Adakah ini semua rekaan saya? Pernah dengar sembelihan kumpulan tertentu walaupun beragama Islam haram dimakan?

Pernah dengar suami dan isteri bercerai kerana fahaman politik yang berbeza? Pernah dengar puak yang lain kafir kerana fahaman puak sana tak sama dengan fahaman mereka?

Pernah dengar kata-kata Malaysia telah dikuasai kaum Cina? Pernah dengar kata-kata hak orang Melayu mulai tergadai kepada Cina? Ini semua kata-kata siapa?

Sudah 14 kali PRU dibuat. Dah banyak PRK dan PRN dibuat. Dah berapa janji-janji tertunai? Dah siap ke jalan-jalan tar yang diminta rakyat?

Dah siap ke bekalan air bersih untuk rakyat? Janji tinggal janji. Apa jaminan perpaduan dibawa oleh mulut-mulut orang seperti ini?

Tetapi, saya tak salahkan mereka (orang politik), kerana memang kerja mereka begitu. Dalam permainan ini ultimate loser adalah orang yang mengundi mereka.

Ya, ultimate loser. Pengundi yang terus diperbodohkan setiap kali musim mengundi. Kesian.

Tidak kiralah yang berkopiah, bersongkok, berserban, bertudung atau yang tak pakai apa pun, bila dah nama orang politik, mereka mahukan kuasa.

Dengan kuasa mereka berkuasa melakukan apa sahaja. Tak kisahlah kuasa itu diperoleh dengan cara betul atau pun salah. Asalkan berkuasa.

Jika rakyat memilih parti-parti tertentu kerana agamanya atau kaumnya atau perpaduan sekalipun, selepas 14 PRU, rakyat Malaysia masih ultimate loser dan jika PRU 15 datang, ‘Loser-loser’ inilah akan turun mengundi lagi.

Kata-kata tentang kelebihan Malaysia mendapat kemerdekaan untuk rakyatnya bebas mengundi sebenarnya hanyalah cita-cita politik bagi memerdekakan orang politik untuk terus mendapat habuan berterusan sehingga bercucu cicit.


Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.