Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Jangan bebankan siswa dengan keputusan terburu-buru

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Baru-baru ini difahamkan bahawa Menteri Pendidikan Tinggi Noraini Ahmad meminta IPTA menangguhkan pendaftaran kemasukan kembali pelajar dari zon merah wabak Covid-19 ke kampus masing-masing yang sebelum dijadualkan bermula pada bulan Oktober.

Walaupun ramai memahami keputusan berikut, namun Kementerian Pendidikan Tinggi seharusnya memikirkan bahawa keputusan yang dibuat di saat akhir, beberapa hari sebelum bulan Oktober ini akan membebankan para mahasiswa yang terbabit terutamanya bagi pelajar yang daripada negeri lain atau jauh.

Keputusan saat akhir dan u-turn seperti ini bukanlah kali pertama terjadi di bawah menteri pendidikan tinggi yang sekarang. Sebelum ini keputusan untuk menangguhkan sesi pembelajaran IPTA ke tahun 2021 telah ditukar kepada Oktober 2020. Apabila keputusan ini diumumkan, ia juga telah membebankan para mahasiswa.

Difahamkan bahawa ada juga pelajar terbabit yang telah membayar deposit hostel serta membeli tiket kapal terbang untuk balik ke kampus masing-masing bagi semester yang akan datang. Dengan penangguhan oleh IPTA, ini hanya akan merugikan pelajar yang terbabit dari segi kewangan sekali gus akan menambah beban para pelajar khususnya daripada golongan B40.

Kementerian Pendidikan Tinggi harus mencari jalan untuk memudahkan penebusan deposit hostel serta bekerjasama dengan syarikat pengangkutan terutamanya syarikat kapal terbang untuk menuntut balik pembayaran tiket kapal terbang atau memberikan fleksibiliti menukar jadual penerbangan tanpa melibatkan sebarang kos.

Kerajaan juga disarankan untuk memberikan elaun atau bantuan kewangan bagi golongan mahasiswa daripada golongan B40 kerana bagi sesetengah mahasiswa, kerja sambilan pun amat susah dicari akibat ketidaktentuan ekonomi negara. Difahamkan ramai pelajar yang berstatus bujang tidak layak mendapat BPN 2.0 yang diumumkan oleh perdana menteri.

Kebajikan mahasiswa harus dijadikan keutamaan. Perancangan untuk 'norma baharu' bagi pelajar dan pembelajaran di IPTA harus dilaksanakan dengan berhemah dan terancang tanpa membebankan mahasiswa, dan bukannya dibuat secara terburu-buru di saat akhir dan berkali-kali u-turn.


MUHAMMAD SHAKIR AMEER ialah naib ketua pemuda DAP.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.