Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Elak PRU ketika gelombang Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa semua parti politik tanah air, terutamanya pihak Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional untuk melaksanakan “gencatan politik” buat sementara waktu di kala negara dilanda gelombang kedua Covid-19 yang menggerunkan rakyat.

Semalam dilaporkan 287 kes baru Covid-19, menjadikan ia jangkitan harian paling tinggi sejak wabak ini menular di negara kita. Lebih membimbangkan, semua kes semalam merupakan penularan tempatan dan ini menjadikan bilangan kes positif terkumpul sebanyak 11,771 kes.

Tidak dinafikan bahawa gelombang penularan Covid-19 pada kali ini berkait rapat dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Seperti semua sedia maklum, PRN Sabah dilaksanakan kerana konflik politik Sabah sehingga berlakunya pembubaran DUN Sabah. 

Semua ahli politik perlu mengambil iktibar daripada rentetan krisis politik Sabah sehingga menyebabkan penularan wabak Covid-19 pada kali ini.

Sekali lagi Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menggesa agar pemimpin politik memikirkan keresahan dan kebimbangan rakyat.

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun mempunyai majoriti Dewan Rakyat yang tipis, perlu menumpukan masa, tenaga dan keringat beliau untuk membendung penularan wabak Covid-19 di negara kita. 

Usaha menjatuhkan perdana menteri, bermakna bakal menyebabkan pembubaran parlimen, seterusnya pilihan raya umum seluruh negara.

Dengan keruncingan penularan Covid-19 hari ini, PRU adalah langkah yang bakal membahayakan seluruh rakyat Malaysia dan meranapkan ekonomi negara.

Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) menyeru semua presiden parti politik untuk memberikan fokus mereka kepada penyelesaian isu rakyat, terutama membendung Covid-19.

Terbukti bahawa seluruh barisan hadapan dan rakyat negara kita telah berjaya melandaikan penularan Covid-19 pada peringkat awal, sehingga diiktiraf antara negara terbaik di dunia dalam mengekang wabak ini. Jangan sia-siakan jasa dan pengorbanan rakyat yang telah memberikan jiwa dan raga mereka untuk negara.


SHAHIR ADNAN ialah Ketua Dewan Pemuda Ikatan Malaysia (DPIM) Parti IKATAN Bangsa Malaysia merangkap naib pengerusi Ikatan Kelantan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.