Skip to main
Logo Malaysiakini

SURAT | Covid-19: Amalan tahnik bayi perlu dihentikan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Sunnah mentahnik bayi dan apa jua amalan yang melibatkan “sentuhan luar” perlu dihentikan sepanjang risiko Covid-19.

Perbuatan mentahnik bayi yang baru dilahirkan adalah sunnah mengikut sebahagian ulama berdasarkan hadith Aisyah RA (wafat 57 H) dan dianggap sebagai ijmak menurut Imam Al-Nawawi rahimahullah (wafat 676 H). [Syarh al-Minhaj ‘ala Sahih Muslim]

Bagaimanapun ia bukanlah wajib dan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dan ancaman wabak Covid-19 ini ia hendaklah dihentikan.

Ini berdasarkan kaedah (bermaksud) “menolak kemudaratan itu lebih utama daripada mendapatkan maslahah”.

Dan hadith yang menyebut (bermaksud) “'Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan”. [HR. Ibn Majah dll]

Walaupun kita tidak dapat melaksanakan sunnah ini namun pahala tetap diperoleh berdasarkan niat dan kesungguhan kita untuk mengikuti sunnah, berdasarkan hadith Abu Musa Al-Asya'ari RA (wafat 44 H), bahawa Rasulullah SAW bersabda (maksudnya):

“Jika seorang hamba itu sakit atau melakukan safar (perjalanan jauh), maka dicatat baginya pahala sebagaimana kebiasaan dia ketika mukim dan ketika sihat.” (HR. Bukhari, no 2,996)

Ibnu Hajar Al-Asqalani rahimahullah (wafat 852 H) mengatakan (bermaksud):

“Hadith di atas berlaku untuk orang yang ingin melakukan ketaatan lantas terhalang daripada melakukannya.

“Sedangkan dia sudah berniat sekiranya tiada yang menghalang, maka amalan itu akan dilakukan sebagaimana rutin yang berterusan.” [Fath Al-Bari, Ibn Hajar]


EMRAN AHMAD EMRAN AHMAD ialah pendakwah bebas yang bertugas sebagai penasihat Maahad Tahfiz Bayt Az Zakiah di Meru, Ipoh.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.