SURAT | Ayuh kembali bersoladiriti
Kita faham kebimbangan masyarakat apabila kes Covid-19 meningkat kebelakangan ini.
Tetapi kita juga harus meletakkan kepercayaan kepada kerajaan, sama seperti kepercayaan yang kita berikan pada awal penularan virus berbahaya ini lebih kurang empat bulan lalu.
Ketika itu, majoriti daripada kita patuh sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, mengikut arahan dan garis panduan pihak berkuasa, memakai pelitup muka, cecair basmi kuman dibawa ke mana-mana, penjarakan sosial dijadikan amalan.
Namun, semakin kes jangkitan berkurangan, amalan itu semakin dilupakan, alpa menggantikan sikap berjaga-jaga dan waspada, SOP diambil mudah, penjarakan fizikal hilang entah ke mana.
Lalu, timbul saranan agar perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan semula. Memang PKP antara senjata berkesan dalam perang melawan wabak, tetapi implikasinya sangat menjejaskan.
Hampir semua sektor ekonomi menerima kesan, banyak perniagaan ditutup atau mengecilkan operasi, ramai yang hilang kerja dan menganggur sehingga kini.
Saya melihat pola penularan kebelakangan ini bukan seperti gelombang pertama dulu, kebanyakan kes sekarang dalam kalangan tahanan di penjara, kawasan PKP Diperketatkan Bersasar (PKPDB) dan dari kluster yang telah dikenal pasti dan kini dikawal.
Penularan di Sabah pula didapati berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati) dari negara jiran.
Tetapi tindakan sewajarnya sudah diambil kerajaan termasuk menambah petugas kesihatan untuk menjalankan proses saringan dan rawatan.
Seperti jaminan diberikan perdana menteri, Muhyiddin Yassin, kesemua kawasan kluster dan PKPDB dipantau setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif bagi memastikan kes-kes positif dapat dikesan dan diasingkan.
Hal itu juga menyebabkan lebih banyak kes positif Covid-19 dapat dikesan dan menyumbang kepada peningkatan dalam statistik harian di dalam negara, tetapi sedang diuruskan dengan baik oleh agensi-agensi kerajaan yang terlibat.
Anggota keselamatan negara juga ditambah untuk mengawal sempadan bagi mengekang kemasukan Pati khususnya di Sabah, aset-aset diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara.
Kesiapsiagaan negara
Perdana menteri juga memberi jaminan bahawa kesiapsiagaan negara adalah pada tahap yang tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang kita telah lalui sebelum ini.
Jaminan itu melegakan kerana penulis percaya ramai berharap PKP tidak dilaksanakan semula, memadai PKPD atau PKPDB kerana kebanyakan kes sekarang hanya di lokaliti tertentu, bukan seluruh negara.
Pelaksanaan PKPD sebelum ini sudah terbukti berkesan kerana kita masih boleh bertahan dan jika perlu pun, hanya tarik semula sedikit kelonggaran yang diberikan.
Ibarat menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Contohnya, operasi kedai makan mungkin boleh dipendekkan semula daripada jam dua pagi kepada 12 tengah malam.
Bagi pusat ibadat, SOP sedia ada sudah cukup lengkap.
Patuhi penjarakan fizikal dan elak perhimpunan ramai, manakala bagi masjid atau surau pula, minta kembali jemaah membawa sendiri sejadah dan berwujud di rumah.
Dalam isu penutupan sekolah pula, Kementerian Pendidikan sudah memberi jaminan walaupun arahan itu bertumpu kepada sekolah di zon merah yang menyaksikan peningkatan mendadak kes, ia akan turut membabitkan sekolah di kawasan lain berdasarkan kes dan risiko.
Bagi aktiviti ekonomi dan sosial di kawasan lain yang tidak terjejas, ia boleh diteruskan dengan amalan SOP ketat serta penguatkuasaan undang-undang yang tegas.
Kepada mereka yang sengaja menangguk di air keruh dengan mempolitikkan masalah dihadapi negara, usah buang masa kerana ia langsung tidak bermanfaat.
Cukup-cukuplah berpolitik, kita tentu tidak mahu melihat apa yang berlaku di Amerika Syarikat menimpa kita pula apabila semuanya mahu dipolitikkan, benang yang basah mahu ditegakkan sehingga berjuta orang dijangkiti dan kira-kira 200,000 penduduk mati.
Tiada faedah terlalu berpolitik dalam keadaan sekarang, tiada guna menang sorak tapi kampung tergadai.
Apa guna menanam kebencian terhadap satu pihak sedangkan pada masa sama, kita melihat semakin ramai terlantar di hospital atau menemui ajal akibat virus ini.
Berdebat sampai bila-bila
Memang benar kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah menjadi antara punca penularan wabak, malah ia diakui sendiri oleh perdana menteri, tetapi proses itu tidak boleh ditangguhkan kerana tuntutan perlembagaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah menetapkan SOP bagi memastikan wabak tidak merebak pada kempen PRN, malangnya ada SOP tidak dipatuhi, misalnya penjarakan fizikal dan ia membabitkan kedua-dua belah pihak, pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.
Memang mudah meletakkan kesalahan kepada orang lain, lebih-lebih lagi pemimpin politik yang tidak sama ideologinya dengan kita, tetapi sekarang bukan masanya untuk menanam kebencian, sebaliknya bantu sebarkan mesej-mesej positif yang boleh merangsang semangat rakyat dalam melawan Covid-19.
Tidak salah kalau tidak bersetuju, malah boleh berdebat sampai bila-bila pun mencari siapa yang salah, siapa yang betul.
Namun, apa yang diperlukan sekarang adalah kita bersatu hati dalam usaha mengatasi ancaman ini.
Sedarlah kini bukan masa mencari kesalahan untuk kemenangan politik, bukan masanya menuding jari cuba menangguk di air keruh, sebaliknya menyokong usaha pihak-pihak berwajib untuk memerangi musuh yang tidak kelihatan ini.
Ingatlah, virus ini tidak memilih mangsa, tiada diskriminasi siapa dijangkiti, baik pemimpin kerajaan atau pembangkang.
Kita sendiri tahu siapa pemimpin parti kerajaan dan parti pembangkang yang sudah dijangkiti.
Ayuhlah kita semua bersama-sama memerangi Covid-19.
Semua rakyat tanpa mengira usia, latar belakang, pangkat dan darjat harus sentiasa berwaspada, patuhi SOP dan garis panduan yang ditetapkan.
Ayuh semua, kita kembali semua bersoladiriti.
HALIM YAHYA RAHMAN
Kota Samarahan, Sarawak
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai